suria

Pemuda bina bilik tersembunyi di rumah pusaka usia lebih 100 tahun... masuk kena merangkak, tak boleh berdiri! - “Dulu bangun tidur je ada kesan cakar”

Na'im duduk bersila di dalam bilik tidurnya di bawah rumah. (gambar kecil) Na'm perlu merangkak masuk ke dalam bilik.

SEJAK kebelakangan ini, ramai anak muda berkongsi kisah mereka melakukan ‘make over’ atau pengubahsuaian dengan dekorasi mengikut tema kesukaan masing-masing.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama yang dilaksanakan di seluruh negara pada Mac tahun lalu telah memberikan idea kepada seorang pemuda untuk menghias bilik baharunya.

Menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok, pemuda tersebut menggelarkan biliknya sebagai ‘Man Cave’ yang merupakan satu bahagian di bawah lantai rumahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Niat tak nak susahkan mak ayah buka hati si abang... graduan kolej terus bangkit selepas bisnes tak laku, siap bilik jadi studio kasut - "Tingkap penuh tracking number..."

ARTIKEL BERKAITAN: Tak ada duit sambung belajar, pemuda balik kampung dan buka kedai kopi dalam bilik tidur... kini harapkan rezeki di lorong belakang

Pemuda berkenaan, Hassratul Jannatin Na'im Hassan berkata, 'Man Cave' terbina selepas rumah tinggalan nenek moyangnya di Kampung Mortern di Melaka Tengah, Melaka menjalani proses pengubahsuaian dari kayu sepenuhnya kepada binaan separuh kayu dan batu.



Rumah tinggalan nenek moyang Na'im di Kampung Morten di Melaka Tengah.

Anak muda berusia 25 tahun itu memberitahu, pengubahsuaian tersebut dibuat bagi mengelakkan rumah kampung yang berusia lebih 100 tahun itu dimakan anai-anai.

"Asalnya rumah kampung ni adalah kayu sepenuhnya. Bila dah dibuat separuh batu, ada ruang untuk dijadikan stor sebelum ditukarkan sebagai bilik saya.

"Ini kerana rumah kampung ni dibahagikan tiga bahagian berasingan yang dihuni oleh nenek, nenek saudara dan bapa saudara. Untuk bahagian nenek saya didiami oleh nenek, ibu, kakak dan abang ipar serta saya... jadi ruang adalah terhad," katanya kepada mStar.



Di sebalik tangga tersebut adalah bilik tidur Na'im.

Lebih mesra disapa Na'im, katanya, rumah tersebut diubah suai pada pertengahan 2019, namun biliknya di bawah lantai rumah itu mula dihasilkan sejak PKP tahun lalu.

"Masa PKP tu ada banyak masa duduk di rumah, jadi sikit demi sikit saya jadikan ruang bawah rumah sebagai bilik tidur saya.

"Sebelum ni saya tidur di ruang tamu, tapi ada masalah kalau ada tetamu atau saudara-mara ramai datang ke rumah. Kalau nak buat bilik kat loteng panas pula," ujarnya yang berasal dari Melaka Tengah.



Na'im berketinggian 176 sentimeter.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, idea menghias bilik bawah rumah itu dilakukan selepas mendapatkan inspirasi daripada carian di laman Pinterest dan beberapa filem.

Pemuda berketinggian 176 sentimeter itu menambah, ruang bawah rumah yang rendah itu menyebabkan dia terpaksa masuk ke bilik tersebut secara merangkak.

Bilik ni tak panas sebab ini adalah bawah rumah bukannya bawah tanah. Cuma masa mula-mula tu kurang selesa, rasa macam ada aura negatif

HASSRATUL JANNATIN NA'IM HASSAN

"Di ruang masuk lebih rendah, jadi terpaksa merangkak. Bila dah masuk ke bahagian dalam, saya boleh duduk bersila atau mencangkung dan kepala saya hampir mencecah bahagian atas atau lantai rumah.

"Kalau nak membongkok pun susah lebih-lebih lagi dengan ketinggian saya, untuk berdiri lagi tak boleh. Dari segi keluasan bilik, boleh muat untuk lima orang dewasa tidur," jelas Na'im.



Selain duduk, Na'im hanya boleh mencangkung di biliknya.

Berkongsi pengalaman, Na'im mengakui pada mulanya agar sukar untuk membiasakan diri tidur di bilik tersebut kerana asalnya ia adalah ruang bawah rumah sejak lebih 100 tahun.

"Sebenarnya bilik ni tak panas sebab ini adalah bawah rumah bukannya bawah tanah. Cuma masa mula-mula tu kurang selesa, rasa macam ada aura negatif.

"Dulu bangun je dari tidur tengok paha ada kesan cakar, lebam. Tapi lepas baca atau pasang ayat-ayat suci al-Quran, dah okay," jelasnya yang merujuk kepada gangguan makhluk halus.



Na'im menonton TV di bilik.

Na'im yang mengusahakan kedai makan bersama keluarganya berkata, bilik itu dilengkapi dengan tilam, kipas, TV, meja kecil dan rak kasut serta kemudahan internet.

"Almari baju tak muat, jadi ditempatkan di bahagian lain di rumah. Segala-galanya okay, cuma ada lubang yang ditebuk tikus, sampai lipas pun pernah masuk dalam ni.

"Akan datang saya rancang untuk tutup lubang tu, buat pintu masuk untuk keselamatan dan pasang projektor bagi keselesaan saya menonton filem di bilik bawah rumah ni. Barulah ada class," ujarnya secara berseloroh.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain