suria

Niat tak nak susahkan mak ayah buka hati si abang... graduan kolej terus bangkit selepas bisnes tak laku, siap bilik jadi studio kasut – “Tingkap penuh tracking number...”

(kiri) Keadaan bilik tidur Saipuddin sebelum diubah menjadi studo kasut. (kanan) Saipuddin dengan stok kasut bundle. Foto ihsan Mohamad Alif Shafiq Abdul Hisham

BERSUSAH-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, dan hidup ini memerlukan pengorbanan.

Begitulah yang terpaksa dilalui oleh seorang pemuda yang nekad untuk menceburi bisnes secara kecil-kecilan.

"Aku nak kasi duit bulan-bulan tak boleh, tapi aku kasi modal untuk kau buat bisnes," tulis seorang pengguna Twitter mengenai adik lelakinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak ada duit sambung belajar, pemuda balik kampung dan buka kedai kopi dalam bilik tidur... kini harapkan rezeki di lorong belakang

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda OKU kerja lebih ketika PKP, tak menang tangan terima tempahan - "Kalau ada yang cancel beli, kami faham..."

Abang berkenaan, Mohamad Alif Shafiq Abdul Hisham, 23, berkata, dia membantu adik lelakinya, Mohamad Alif Saipuddin, 21, dengan modal permulaan sebanyak RM1,500.



Perkongsian Shafiq mengenai bisnes adiknnya.

Lebih mesra disapa Shafiq, katanya, adiknya hanya menghabiskan masa kira-kira setahun di rumah selepas tamat pengajian di sebuah kolej tempatan.

"Adik sebelum ini dah cuba cari macam-macam kerja, malah dah minta kerja kilang pun. Tapi belum ada rezeki, tak ada kekosongan.

"Saya ada buat bisnes kecil-kecilan. Pada masa sama, saya masih belajar di universiti, dan adik pula dah habis belajar cuba untuk tidak menyusahkan mak ayah," katanya kepada mStar.

Penglibatan Shafiq menjual telefon dan aksesori gajet secara dalam talian sejak empat tahun lalu sedikit-sebanyak memberi semangat kepada adiknya, Saipuddin untuk turut berniaga.



Bilik Saipuddin yang diubah suai menjadi studio kasut.

Saipuddin yang juga lepasan graduan Diploma Kepolisian Penyiasatan di Kolej Unikop di Batu Caves, Selangor cuba menggunakan bantuan modal daripada abangnya sehabis baik dengan mula menjual kasut terpakai (bundle) juga secara dalam talian.

"Dengan modal yang terhad, saya perlu lakukan sesuatu. Bilik tidur saya diubah sebagai studio kasut untuk fotografi dan simpana bekalan stok.

"Katil yang saya tidur sedap bertahun-tahun ini dibawa keluar dari bilik. Kemudian, bilik dicat untuk nampak lebih kemas," ujar anak keempat daripada lima beradik itu.



Shafiq (kiri) bersama adiknya, Saipuddin.

Menurut Saipuddin, persiapan untuk memulakan bisnes kasut bundle dan bekalan stok dilakukan secara berperingkat sejak Jun lalu dan sedia untuk jualan sebulan selepas itu.

"Sekarang ni saya hanya tidur atas karpet. Sekarang tidur tak lagi sesedap tidur atas katil macam dulu, tapi ini sedikit pengorbanan untuk saya ceburi bisnes.

Sekarang tidur tak lagi sesedap tidur atas katil macam dulu, tapi ini sedikit pengorbanan untuk saya ceburi bisnes

MOHAMAD ALIF SAIPUDDIN ABDUL HISHAM

"Saya dari dulu minat nak jual kasut, malah pernah jual kasut baharu online dengan harga antara RM100 hingga RM150. Tapi bisnes tak berapa baik sebab harga kasut masih tinggi.

"Tapi saya tak putus asa, cuma kali ini saya bertukar angin jual kasut bundle pula dengan harga antara RM40 dan RM80. Harga lebih murah dan lebih ramai orang berminat untuk membeli," ujarnya yang menetap bersama keluarga di Ijok di Kuala Selangor, Selangor.



Sebahagian kasut yang ditempah pelanggan.

Pada peringkat permulaan, jualan kasut bundle yang diusahakan Saipuddin agak dingin sehinggalah abangnya membantu membuat perkongsian mengenai bisnes tersebut di laman sosial dan seterusnya menjadi tular.

"Alhamdulillah, bisnes kasut bundle saya walaupun kecil-kecilan, tapi orang dah mula nampak dan sudah ada yang membuat pesanan," ujar Saipuddin.



Salinan rujukan tracking number pelanggan Shafiq ditampal pada tingkap bilik tidur Saipuddin.

Sementara itu, Shafiq berkata, tingkap di bilik tidur adiknya kini ditampal dengan salinan rujukan tracking number bagi penghantaran barang-barang yang ditempah pelanggannya sebelum ini.

"Tingkap penuh salinan tracking number untuk bakar semangat kepada adik saya supaya dia bersungguh-sungguh. Bila ada pelanggan beli barang, barulah ada tracking number untuk hantar barang.

"Biar dia tengok salinan tracking number kat tingkap tu setiap hari supaya dia tahu itu tanda progres apabila berniaga online. Bukan senang nak berniaga, tapi semangat itu dia kena ada," ujar Shafiq yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Landskap di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Selangor.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain