suria

Tak ada duit sambung belajar, pemuda balik kampung dan buka kedai kopi dalam bilik tidur... kini harapkan rezeki di lorong belakang

(kiri) Iman berniaga kopi dari rumah dan (kanan) beroperasi secara kecil-kecilan di sebuah kedai kopi. Foto Muhammad Nur Iman Roslan

BUKAN biasa-biasa apabila video menerusi aplikasi TikTok menunjukkan seorang pemuda membuka kedai kopi dari bilik tidur.

Kedengaran pelik tapi itulah hakikat dilalui pemuda ini yang menerima impak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Menerusi video TikTok itu juga, pemuda tersebut membuka kedai kopi di rumahnya selepas tidak mampu dari segi kewangan untuk meneruskan pengajiannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Simpanan licin, pemuda hilang kerja akibat PKP tak sangka bisnes masyuk! Menu dari seberang buat pelanggan jauh pun terliur, nak order banyak

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda OKU kerja lebih ketika PKP, tak menang tangan terima tempahan - "Kalau ada yang cancel beli, kami faham..."

Siapa sangka umurnya baru 21 tahun, dan anak muda berkenaan, Muhammad Nur Iman Roslan mengakui terpaksa berhenti belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur, susulan kerja sambilannya di sebuah kafe berakhir ketika PKP.



Bilik tidur Iman ditukar menjadi kedai kopi.

"Ekoran PKP, saya tak lagi bekerja sebagai pekerja kafe. Saya kemudian pulang ke kampung di Alor Setar, Kedah kerana tiada lagi sumber kewangan untuk membayar yuran pengajian.

"Saya sebelum ini ada membeli kelengkapan membuat kopi dan ketika PKPB (PKP Bersyarat) membolehkan saya berniaga secara kecil-kecilan dari rumah," katanya kepada mStar.



(kiri) Laluan ke kedai kopi di rumah Iman. (kanan) Iman kini memberi tumpuan kepada bisnes kopi.

Lebih mesra disapa Iman, dia berkata rumah kampungnya di Kampung Chegar mempunyai anjung yang membolehkan orang luar untuk naik ke atas rumah yang menempatkan bilik tidurnya.

"Saya terfikir menukarkan bilik tidur itu dengan menjadikannya sebagai kedai kopi. Dengan pengalaman kerja sebagai barista di sebuah kafe sebelum ini, saya menjual pelbagai jenis kopi.

Hasrat untuk sambung belajar itu sudah tentu ada, tapi saya bukanlah dari keluarga senang.

MUHAMMAD NUR IMAN ROSLAN

"Saya alihkan katil dan almari serta perabot lain, dan gantikan dengan tempat membuat kopi dan meja serta kerusi buat pelanggan.

"Apa yang lebih penting, saya dapat berniaga tanpa mengganggu keluarga kerana pintu masuk utama terletak di aras bawah yang juga menempatkan ruang tamu utama," ujar anak ketiga daripada empat beradik itu.



Proses untuk membuka kedai kopi di lorong belakang bangunan kedai.

Selepas dua bulan beroperasi dari rumah, Iman memberitahu dia mula berniaga di sebuah kedai kopi bersama rakan niaga yang juga tunang kepada kakaknya.

"Kedai kopi ni mengambil ruang di bahagian belakang di sebuah kedai baju bundle, menghadap lorong belakang. Tak besar, tapi boleh menempatkan beberapa meja dan kerusi.

"Selain enam jenis kopi, air soda dan coklat ais, kami juga menyajikan hidangan halal snack pack yang merupakan kentang goreng bersalut keju dan beberapa sos," katanya.



Antara ruang di kedai kopi di Pekan Cina, Alor Setar.

Menyedari pandemik Covid-19 menjadi satu cabaran buat dirinya, Iman berkata, dia mengambil keputusan untuk berhenti belajar kerana mahu mendapatkan sumber kewangan yang stabil.

"Hasrat untuk sambung belajar itu sudah tentu ada, tapi saya bukanlah dari keluarga senang. Masa nak belajar dulu pun saya guna duit hasil bekerja.

"Jadi, biarlah saya memberi tumpuan kepada bisnes kopi terlebih dahulu. Semangat untuk belajar itu ada dan saya tidak mahu berputus asa.

"Buat masa sekarang, saya buat mengikut kemampuan. Saya mahu menggunakan peluang sebaik mungkin untuk mengembangkan bisnes ini, dari bilik tidur ke kedai di lorong belakang, dan mana tahu berubah menjadi lebih besar pada masa akan datang," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain