suria

Sopan dan ayu... penyelam otai terkejut 2 puteri raja berani cabar diri diving di Balok! - “Risiko kawasan ini lebih tinggi dari di pulau”

Siapa sangka, di sebalik keperibadian yang sopan dan ayu, Tengku Jihan dan Tengku Afzan suka melakukan aktiviti selam skuba. Foto: Raja Tatina Raja Musa

BERPENAMPILAN sopan, ayu dan berwajah jelita, siapa sangka kedua-dua puteri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ini meminati aktiviti mencabar.

Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan adindanya Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah rupa-rupanya meminati aktiviti selam skuba, iaitu aktiviti yang bukan calang-calang cabarannya jika tidak mempunyai keberanian.

ARTIKEL BERKAITAN: Wah! Mahu kerja dengan dua puteri jelita, Tunku Azizah beri respons positif... pemuda bertuah kata “best day ever”

ARTIKEL BERKAITAN: Apabila Tengku Jihan kongsi aksi selam skuba, peminat si puteri pun sibuk 'up' foto dalam laut... 'hadiah' mini love, coral - “Rajin-rajinlah dive ke hati saya”

"Kedua-dua Tengku Puteri walaupun penampilan mereka kelihatan lembut, tetapi berani dan curious cuba menyelam di tapak lokasi selaman yang baharu.

"Dari kaca mata seorang rakyat, kedua-duanya boleh dijadikan idola wanita lemah lembut, namun berani dan kental melakukan aktiviti lasak," demikian dedah Raja Tatina Raja Musa, pengasas Divingbalok iaitu sebuah syarikat pemuliharaan dan kelestarian laut mengenai pengalamannya bersama kerabat diraja Pahang itu pada awal bulan ini.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita berusia 50 tahun ini berkata dia bagaikan tidak percaya apabila dihubungi pihak istana memaklumkan kedua-dua puteri berkenaan menyatakan hasrat menggunakan perkhidmatan Diving.balok.



Terumbu karang dan spesies ikan di perairan Balok.

"Ketika dihubungi pihak Tengku Afzan dan Tengku Jihan, saya terkejut juga kenapa mereka nak dive di Balok, sebabnya risiko di kawasan ini lebih tinggi berbanding di pulau-pulau. Lagipun fasiliti di sini sangat basic.

"Hanya penyelam skuba berpengalaman sahaja yang selalu dive di sini. Saya terangkan perkara ini kepada pihak tersebut dan juga bertanyakan beberapa soalan. Kena wajib buat screening sebab ini soal keselamatan nyawa," kata wanita yang berpengalaman sebagai penyelam skuba selama hampir dua dekad yang mana 11 tahun sebagai peneroka marin perairan Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun menurut Raja Tatina, dia begitu kagum dengan kemahiran dan keberanian yang dipamerkan Tengku Afzan dan Tengku Jihan, tatkala diberi peluang untuk menjadi 'buddy' mereka baru-baru ini.



Bukan sahaja ayu dan jelita, siapa sangka kedua-dua puteri ini juga menggemari aktiviti lasak dan mencabar.

"Kami amat senang sekali menyelam dengan mereka menunjukkan pelbagai hidupan marin kerana apungan badan mereka bagus dan mereka menurut segala protokol keselamatan menyelam.

"Mereka tekun mendengar taklimat keselamatan sebelum aktiviti menyelam, begitu juga ketika di dalam air, mereka menurut segala tata-tertib keselamatan.

"Kedua-dua puteri itu juga memberi tindak balas segera apabila kami berkomunikasi di dalam air. Tingkah laku ini amat penting supaya kami tahu mereka di dalam keadaan selamat dan sentiasa selesa," katanya.

Kami amat senang sekali menyelam dengan mereka menunjukkan pelbagai hidupan marin kerana apungan badan mereka bagus dan mereka menurut segala protokol keselamatan menyelam.

RAJA TATINA RAJA MUSA

PENGASAS DIVINGBALOK

Sungguhpun hanya meluangkan masa kira-kira enam jam, namun menurut Raja Tatina, pihaknya amat berbesar hati dapat berkongsi pengalaman dan lokasi skuba di perairan Balok dengan Tengku Afzan dan Tengku Jihan.

"Mereka teruja dapat merasai keunikan lokasi skuba di Balok. Mereka tidak sangka ada lokasi skuba di perairan Balok yang penuh dengan kepelbagaian biodiversiti; dari ikan bersaiz kecil, sedang dan besar, udang, ketam, nudibranch, hinggalah batu karang yang bermacam spesies.

"Kami berbual mengenai sejarah menyelam di Balok. Setelah maklum mengenai aktiviti konservasi terumbu karang Divingbalok dan aktiviti fotografi makro kami, Tengku Afzan berminat untuk melawat galeri komuniti kami di Pasar Nelayan Balok suatu hari nanti.



Raja Tatina (empat, kiri) semasa aktiviti pembersihan terumbu karang di Balok baru-baru ini.

"Mereka juga teruja melihat bot Divingbalok kami yang lengkap dengan pancuran air (shower) untuk kami bilas muka dan badan sejurus naik dari laut," ujarnya sambil menyifatkan kedua-dua puteri itu seorang yang sangat ringkas, merendah diri dan mudah bermesra dengan orang sekeliling.

Dalam pada itu, Raja Tatina juga berkata Divingbalok turut menganjurkan program konservasi terumbu karang di beberapa lokasi yang terpilih setiap tahun.



Aktiviti membersihkan pukat-pukat hanyut.

"Lokasi dipilih berdasarkan jumlah pukat hanyut yang terdapat di batu-batu karang dan di tukun-tukun tiruan. Sekiranya pukat-pukat ini tidak dibersihkan, terumbu karang akan mati dan kawasan itu tidak akan menjadi pusat penetasan benih ikan, sotong dan ketam.

"Bagi menentukan kelestarian terumbu karang, kami kerap menganjurkan program selaman gotong royong membersihkan kawasan bersama nelayan dan agensi, jabatan yang berminat.

"Pada bulan ini kami telah bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan Kuantan dan Nenasi untuk program konservasi terumbu karang di tukun-tukun tiruan LKIM di Balok dan Nenasi," katanya yang bertanggunjawab mengumpul penyelam sukarelawan berpengalaman untuk kerja-kerja pembersihan itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain