Bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di sebuah kontena simpanan milik sebuah kelab ragbi di Wales. -Foto FB/Trimsaran RFC
DETIK cemas menyelubungi sebuah kelab ragbi apabila jeritan meminta tolong membongkar kejadian seorang budak lelaki berusia 11 tahun terperangkap di dalam sebuah kontena simpanan yang sedang marak terbakar.Dalam kejadian tragis di Trimsaran RFC berhampiran Kidwelly, Carmarthenshire, Wales itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat bahang api sebelum dikejarkan ke Hospital Morriston bagi mendapatkan rawatan kecemasan.Pihak Polis Dyfed-Powys mengesahkan bahawa kebakaran tersebut berlaku sekitar pukul 6.15 petang pada Sabtu, melibatkan sebuah kontena yang berfungsi sebagai tempat menyimpan peralatan kelab berkenaan. Menurut polis, kontena tersebut dipercayai dibakar dengan sengaja sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada struktur dan barangan di dalamnya.Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam perbuatan khianat dengan api serta cubaan membunuh.Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan ikat jamin bersyarat sementara siasatan lanjut dijalankan.Dalam kenyataan di Facebook, pihak Trimsaran RFC memaklumkan kebakaran itu menyebabkan banyak kerosakan kepada peralatan kelab.Mereka turut memuji tindakan pantas beberapa ahli kelab yang disifatkan sebagai 'wira' kerana membantu menyelamatkan mangsa daripada kebakaran tersebut.Menurut polis, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di hospital.Bagaimanapun tiada maklumat lanjut mengenai identiti serta hubungan antara mangsa dengan suspek. -Agensi