Lama pendam hasrat peluk Islam, mudahnya urusan ‘hijrah’ wanita ini... lebih terharu keluarga tumpang gembira - “Saya doa mereka sama-sama cium syurga”

Nur Jessica Kiroh berkongsi pengalamannya bergelar saudara baharu selepas hampir empat tahun memendam hasrat.

BENARLAH, sesungguhnya hidayah itu milik Allah.

Hampir empat tahun menyimpan niat untuk memeluk agama Islam, akhirnya gadis ini melafazkan dua kalimah syahadah pada 13 September lalu.

Gadis bernama Nur Jessica Kiroh atau senang disapa sebagai Jess turut berkongsi momen penuh bermakna dalam hidupnya itu di laman Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan sesekali beritahu ayah, tunggu di syurga nanti, baru beritahu” - Terpikat dengan solat, pemuda ini nekad peluk Islam selepas dapat restu ibu

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis terpinga bangun pagi BF ajak ke pejabat agama, lagi bingung urusan dirahsiakan - “Sampai sana baru tahu...”

"Assalamualaikum. Alhamdulillah, converted to Islam today," demikian tulisnya pada perkongsian tersebut sambil turut memuat naik sekeping gambarnya yang manis mengenakan hijab.

Perkongsian yang meraih sehingga 8,000 retweet dan lebih 43,000 likes itu turut dibanjiri dengan komen netizen yang mengucapkan tahniah dan berkongsi rasa gembira mereka, selain turut mendoakan yang terbaik buat gadis ini.

Berkongsi cerita dengan mStar, Jess turut melahirkan rasa terharu dengan sokongan dan komen-komen positif yang diterimanya daripada kenalan dan juga netizen selepas berkongsi khabar tersebut di media sosial.



Jess bersyukur urusan hijrahnya dipermudahkan dan mula mengenakan hijab.

"Alhamdulillah saya benar-benar terharu dengan komen positif yang diterima. Ramai juga yang hantar mesej di Direct Message (DM) Twitter ucapkan tahniah, doakan semuanya dipermudahkan dan agar saya istiqamah.

"Orang yang paling gembira tentunya mereka yang terdekat seperti keluarga dan rakan-rakan rapat. Saya beritahu keluarga saya terlebih dahulu, dan selepas selesai urusan di pejabat agama, barulah saya share dengan rakan-rakan.

"Mereka terkejut sangat walaupun ada yang sudah tahu niat saya sebelum ini, tapi bila dengar berita tu, mereka terkejut dan mengucapkan tahniah selain mengalukan-alukan saya sebagai saudara baru," ujar wanita berusia 23 tahun ini.

Berasal dari Sibu, Sarawak, wanita ini berkata dia mula berminat dengan agama Islam sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Saya ada seorang rakan baik ketika di bangku sekolah menengah dulu dan dia selalu tanya bila nak masuk Islam. Saya hanya jawab 'nanti'. Mungkin ini antaranya daripada doa rakan saya.

NUR JESSICA KIROH

Dikelilingi ramai rakan yang beragama Islam sejak kecil juga menyebabkan dirinya lebih terdedah dengan agama ini.

"Ibu dan bapa kandung memang berasal dari Sibu dan beragama Kristian. Namun saya membesar dan menerima pendidikan di Semenanjung selepas berhijrah ke Johor Bahru.

"Saya ada seorang rakan baik ketika di bangku sekolah menengah dulu dan dia selalu tanya bila nak masuk Islam. Saya hanya jawab 'nanti'. Mungkin ini antaranya daripada doa rakan saya," katanya yang kini bekerja dalam sektor swasta.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga, Jess berkata orang tuanya tidak pernah menghalang pilihannya malah turut gembira dengan berita tersebut.



Jess bersama dua rakan baik yang banyak menyokong dan memberi kata-kata semangat.

"Sebenarnya mereka memang tahu kecenderungan saya. Jadi bila saya suarakan nak peluk Islam, mereka dah boleh jangka. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan," ceritanya.

Menurutnya, dia kini dalam proses untuk mengikuti pembelajaran bagi lebih mendalami ilmu agama yang baharu dianutinya itu.

"Sebelum ini saya tahu beberapa perkara asas dalam Islam, antaranya solat, puasa dan kewajipan menutup aurat. Saya juga pernah cuba berpuasa sebelum ini, dan sudah boleh menghafal surah Al-Fatihah.

"Kini, saya mula belajar doa-doa lain khususnya bacaan dalam solat. Dalam masa yang sama saya juga mula belajar mengaji. Satu cabaran baharu namun saya ambil inisiatif sendiri juga dengan merujuk YouTube," katanya.



Jess bersyukur dan gembira dikelilingi sahabat yang sangat memahami.

Mengulas lebih lanjut, Jess berkata tiada apa yang diharapkan melainkan dirinya kekal istiqamah dengan Islam dan mempelajari lebih mendalam mengenai agama tersebut.

"Selain itu, saya tak pernah lupa juga mendoakan agar orang tua dan keluarga. Saya sangat-sangat berharap mereka juga dikurnaiakan hidayah satu hari nanti kerana mahu sama-sama mencium syurga.

"Akhir kata, bagi rakan-rakan yang mahu mengambil keputusan seperti ini, nasihat saya jangan belakangkan keluarga. Jika beritahu niat kita, insyaAllah pasti dipermudahkan," ujarnya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

hijrah, peluk Islam, mualaf, hidayah

Artikel Berkaitan

Artikel Lain