suria

Dulu hidup menumpang di rumah wanita anti kucing, kini 16 anak bulus dapat pindah masuk banglo RM7,000 - “Masa kecil, langsung tak benarkan bela”

Impian Deena untuk menempatkan kesemua kucing peliharaannya di sebuah 'banglo' akhirnya tercapai.

KUCING sering dijadikan sebagai haiwan peliharaan kerana kecomelan dan keletahnya yang manja.

Kebiasaannya, pemilik haiwan memelihara haiwan bulus ini di dalam rumah atau ditempatkan di dalam sangkar khas.

Bagi Deena Khalil, dia memilih untuk menempatkan anak-anak bulus peliharaannya di dalam sebuah 'banglo' demi keselesaan haiwan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Apa-apa hal boleh tanya kucing akak!” - Ramai terhibur tengok abang kurier berdepan Bubu ‘buat teruk’ terima parcel, terbeliak biji mata

ARTIKEL BERKAITAN: Nota ditinggalkan rider jawab punca kematian kucing kesayangan, apa yang ditulis buat air mata pemilik gugur kali kedua

Terdahulu, perkongsiannya di Facebook mengenai 'banglo' anak-anak bulusnya menjadi tular dan mendapat perhatian netizen.

"Alhamdulillah, rezeki dari Allah... akhirnya anak-anak bulus dapat duduk dalam 'banglo'. Sponsored by my mother and monitored by my dad. Tolong doakan ibu ayah murah rezeki dan sihat selalu," demikian tulisnya pada perkongsian tersebut.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang senang disapa Deena ini berkata idea asal untuk membina sebuah rumah khas untuk kucing peliharaan dicetuskan oleh dirinya sendiri.



Posting Deena di Facebook mengundang perhatian netizen.

Ini kerana dia memiliki 16 ekor kucing yang sebelum ini ditempatkan sementara di rumah kedua orang tuanya.

"Haiwan ini merupakan 'anak-anak' saya... memandangkan ada ruang di dalam kawasan rumah, saya minta izin daripada suami terlebih dahulu.

"Saya mahu haiwan-haiwan ini selesa dan berada dalam keadaan yang bersih. Sebelum ini mereka ditempatkan di dalam sangkar tapi agak sempit, susah pula nak bersihkan. Bila ada tempat yang luas sikit, senang kerja nak bersihkan.

"Kebersihan tu perkara penting... kena pastikan supaya bersih dan tidak mengganggu jiran-jiran sekeliling," ujar wanita berusia 33 tahun ini.



Deena sendiri yang membuat lakaran banglo anak-anak bulus miliknya.

Bercerita lebih lanjut, Deena yang memiliki sebuah syarikat berkaitan pembinaan dan juga ejen pelancongan berkata, 'banglo' itu mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan.

"Saya yang bertanggungjawab membuat lakaran (design). 'Banglo' ini ada dua partition (ruang) berasingan, siap dengan tempat bersantai dan juga dipasang jubin.

Kucing bukan saja haiwan peliharaan tetapi dah macam ahli keluarga juga. Kalau ada rezeki lebih, mungkin boleh buat tempat khas untuk kucing mengikut bajet dan kemampuan masing-masing.

DEENA KHALIL

PEMILIK KUCING

"Untuk siapkannya, ia menelan kos kira-kira RM7,000. Alhamdulillah, rezeki haiwan-haiwan ini apabila ibu saya yang mahu sponsor kosnya.

"Saya rasa terharu sangat sebab ibu sebelum ini bukanlah seorang pencinta kucing. Ingat lagi dulu masa saya kecil, langsung tak benarkan saya bela.



'Banglo' ini dibina dengan konsep santai di mana kucing peliharaan Deena mempunyai ruang luas untuk bersantai.

"Tapi selepas saya mula memelihara dua ekor kucing tiga tahun lalu, ibu bertukar menjadi penyayang kepada haiwan-haiwan ini. Sehinggalah kucing-kucing kami pernah mencecah 30 ekor. Namun kini hanya tinggal 16 saja selepas yang lain mati akibat penyakit," cerita anak jati Sungai Petani, Kedah ini.

Tidak menyangka perkongsiannya mengundang perhatian netizen, Deena dalam masa yang sama melahirkan rasa syukur dan terharu dengan sokongan dan maklum balas yang diberikan.



Antara kucing peliharaan Deena yang terdiri daripada baka Parsi dan kacukan kampung.

"Alhamdulillah, ada yang terinspirasi selepas saya kongsikan di Facebook. Ada yang tagged pasangan masing-masing. Bagi saya, jika pelihara haiwan, tiada salahnya untuk melabur sedikit untuk mereka.

"Kucing bukan saja haiwan peliharaan tetapi dah macam ahli keluarga juga. Kalau ada rezeki lebih, mungkin boleh buat tempat khas untuk kucing mengikut bajet dan kemampuan masing-masing," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
banglo, bulus, ibu, taja, anti kucing

Artikel Lain