suria

“Apa-apa hal boleh tanya kucing akak!” - Ramai terhibur tengok abang kurier berdepan Bubu ‘buat teruk’ terima parcel, terbeliak biji mata

Perkongsian seorang pelayar Twitter, Ikha Suhaimi mengenai mesej lucu pekerja syarikat penghantaran dan gelagat kucingnya menghiburkan netizen.

"BARANG akak dah sampai dan saya letak kat (dekat) kerusi. Apa-apa hal boleh tanya kucing akak."

Demikian mesej yang ditulis oleh seorang pekerja syarikat penghantaran (kurier) kepada seorang gadis selepas meninggalkan bungkusan barang yang dipesannya di atas kerusi.

Bersama mesej itu, pekerja berkenaan turut menghantar sekeping gambar menunjukkan bungkusan (parcel) yang diletakkan betul-betul di sebelah kucing berbulu kelabu yang sedang tidur.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Akak baju putih’ berlari pegang kucing dalam berita TV dikenal pasti... ada masalah ke? – “Setiap kali roadblock saya pura-pura tidur”

ARTIKEL BERKAITAN: “Oyen memang suka buat benda mengarut” - Pasang hazard light minta bantuan, pemilik akui kucingnya pelik... minum guna tangan

Mesej itu kemudian dimuatnaik oleh Ikha Suhaimi di laman Twitter miliknya, sekadar berkongsi mesej menghiburkan bersama para pengikutnya.

Namun tanpa disangka, perkongsian itu meraih melebihi 26,000 retweet dan 33,000 likes daripada netizen yang rata-ratanya terhibur dengan ayat pekerja syarikat penghantaran berkenaan.



Ikha berkongsi mesej lucu yang dihantar oleh seorang pekerja syarikat penghantaran kepada adiknya baru-baru ini.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Ikha berkata bungkusan berkenaan adalah kepunyaan adiknya yang memesan barangan secara dalam talian.

"Adik hantar mesej tu dalam WhatsApp group keluarga kami. Saya kemudian post dekat Twitter sebab rasa lucu. Memang tak sangka pula boleh jadi viral," ujar gadis berusia 20 tahun ini.

Bercerita lebih lanjut, Ikha berkata ketika pekerja syarikat penghantaran itu tiba di kediaman ibu bapa mereka di Rembau, Negeri Sembilan, kesemua penghuni rumah berkenaan keluar bekerja dan ada yang ke sekolah.

Ada yang kaitkan dengan Oyen. Selalu kucing warna oyen (Oren) yang 'buat teruk'... yang ini warna kelabu pun 'buat teruk' juga.

IKHA SUHAIMI

"Sebelum sampai, pekerja tu dah hubungi adik saya. Adik beritahu tak ada orang dekat rumah. Jadi abang (pekerja) tu minta kebenaran untuk masuk dalam pagar dan letakkan di kerusi.

"Tak sangka dia letak di sebelah kucing kami, Bubu, dan hantar mesej lucu seperti itu, siap tangkap gambar pula tu," ujarnya yang merupakan anak sulung daripada empat adik beradik.

Bukan sahaja mesej lucu pekerja syarikat penghantaran itu yang menjadi 'bahan' netizen, malah kucing peliharaan keluarga Ikha turut menjadi tumpuan netizen gara-gara matanya yang sedikit terbeliak sebagaimana gambar yang dimuat naik.



Gelagat Bubu yang tidur dengan mata terbeliak sempat dirakam oleh pekerja syarikat penghantaran tersebut sebelum gambarnya dihantar kepada adik Ikha.

"Ramai yang bagi komen-komen lucu. Ada yang kata dia 'buat teruk' konon barang tu berat sangat tindih sampai biji mata terbeliak.

"Ada yang kaitkan dengan Oyen. Selalu kucing warna oyen (Oren) yang 'buat teruk'... yang ini warna kelabu pun 'buat teruk' juga. Ada yang kata, mujur bukan Oyen... kalau Oyen, memang terkoyaklah parcel.

"Komen-komen tu buat kami semua ketawa. Sebenarnya Bubu kalau tidur, memang matanya macam tu, terbeliak sikit. Kerusi itu pula memang port dia tidur," ceritanya yang merupakan pekerja syarikat swasta.



Sebahagian komen netizen yang terhibur dengan perkongsian Ikha.

Gelagat kucing berwarna oren atau sering digelar Oyen kerap kali menjadi perbualan gara-gara sering membuat onar dan kebanyakannya nakal.

Antaranya, perkongsian seorang pelayar baru-baru ini yang memuat naik video si bulus itu mengoyakkan buku latihan milik adiknya.

Sebelum itu, beberapa pelayar lain juga turut berkongsi gelagat Oyen masing-masing sehingga menjadi tular di media sosial.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain