“Jangan sesekali beritahu ayah, tunggu di syurga nanti, baru beritahu” - Terpikat dengan solat, pemuda ini nekad peluk Islam selepas dapat restu ibu - Viral | mStar

“Jangan sesekali beritahu ayah, tunggu di syurga nanti, baru beritahu” - Terpikat dengan solat, pemuda ini nekad peluk Islam selepas dapat restu ibu

Imran memeluk Islam pada Selasa lalu selepas tertarik dan kagum melihat rakan-rakannya mengerjakan solat.

BENARLAH, sesungguhnya hidayah itu adalah milik Allah.

Bermula dengan rasa kagum melihat rakan sekerja mendirikan solat lima waktu, tanpa diduga pemuda berketurunan Iban ini terbuka hati untuk memeluk agama Islam.

Sudah lama dia perhatikan gerak-geri rakan Islam yang lain, dan akhirnya pemuda bernama Muhammad Nur Imran Abdullah tekad untuk mengucap dua kalimah syahadah.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa makcik tua di klinik kesihatan, bayi Cina disuruh letak nama Melayu... tiga bulan kemudian lelaki ini bawa 2 isteri, 6 anak peluk Islam

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ebit kongsi 3 petua buat mualaf bimbing insan tersayang - “Depan mereka saya buat-buat tabah, dalam kereta saya menangis”

Berkongsi cerita dengan mStar, dia yang mesra disapa Imran berkata, segala-galanya berlaku tanpa diduga dengan kuasa dan perancangan hebat Allah.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2014, saya berhijrah ke Melaka dari Sarawak mengikut makcik bekerja. Sebenarnya saya ada dapat tawaran melanjutkan pelajaran, namun saya mahu membantu keluarga terlebih dahulu. Di situ saya bergaul dengan rakan-rakan yang beragama Islam.

“Kemudian dapat tawaran kerja yang lebih baik. Di tempat kerja baharu itu juga saya dikelilingi ramai rakan sekerja yang beragama Islam, dan dari situ saya mula tertarik dengan agama ini apabila melihat rakan-rakan solat. Dalam hati saya berkata, ‘bagusnya mereka, patuh kepada agama, rajin bersolat’.

Perkongsian Imran mengenai penghijrahannya di Twitter menjadi tular apabila meraih sehingga 7,300 retweet.

“Mereka ajak saya peluk Islam namun saya menolak kerana ketika itu masih belum bersedia. Pada 2017, saya mula tahu mengenai Ustaz Ebit Lew dan selalu menonton videonya. Sehinggalah Selasa lalu, saya suka-suka meluahkan perasaan di Twitter mengenai apa yang saya lalui.

“Tanpa diduga, ada dua hamba Allah yang merupakan sepasang suami isteri memberi mesej melalui Direct Message (DM) di Twitter mengatakan mereka mahu membantu saya. Malam itu (Selasa lalu) dengan bantuan mereka yang sanggup datang dari Cheras ke Puchong, saya lafaz dua kalimah syahadah,” ujarnya dalam nada sebak.

Cerita anak kedua daripada tiga adik beradik ini, dia sangat bersyukur apabila niatnya untuk memeluk Islam dipermudahkan, walaupun dalam masa yang sama diselubungi perasaan takut sekiranya perkara itu diketahui oleh bapanya.

Imran mengucap dua kalimah syahadah di sebuah surau di Puchong pada 14 Januari lalu. 

“Ibu dan ayah merupakan penganut Kristian yang kuat. Namun seminggu sebelum saya ucap dua kalimah syahadah, saya ada beritahu hasrat nak peluk Islam kepada ibu cuma masa itu tak tahu bila nak peluk Islam lagi. Ibu hanya beritahu ‘Saya tak kisah kerana itu jalan kamu. Namun jangan sesekali beritahu ayah’. Tunggu ayah di 'syurga', baru beritahu,” kata Imran mengimbas kata-kata ibunya.

Pemuda berusia 24 tahun itu memeluk Islam secara rasmi pada tanggal 15 Januari lalu selepas mendapat pengesahan daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Tanpa diduga, ada dua hamba Allah yang merupakan sepasang suami isteri memberi mesej melalui Direct Message (DM) di Twitter mengatakan mereka mahu membantu saya. 

MUHAMMAD NUR IMRAN ABDULLAH

SAUDARA BARU

“Mak tidak menentang cuma sedikit kecewa. Ayah saya setakat ini belum tahu. Saya hanya mampu bertawakal dan berdoa kepada Allah agar dibukakan serta dilembutkan hati mereka. Hubungan saya dan ibu baik, saya sering menghubunginya seperti selalu,” katanya yang bekerja sebagai pembantu jurujual di sebuah pasaraya di Puchong, Selangor.

Menurut Imran, hidupnya rasa lebih tenang selepas memeluk Islam, tambahan pula sentiasa dikelilingi orang yang baik dan positif.

Tangkap layar dari aplikasi WhatsApp perbualan Imran dan ibunya dalam bahasa Iban. 

“Alhamdulillah, saya bersyukur rezeki yang Allah kurniakan selepas memeluk Islam. Rezeki tak semestinya wang, ia datang dalam pelbagai bentuk. Rakan yang baik pun adalah rezeki. Ada juga saya dapat hadiah macam-macam seperti sejadah, kopiah, baju Melayu dan sebagainya.

“Sekarang ini saya masih dalam proses pembelajaran, menghafal surah-surah. Sungguhpun ia sedikit mencabar, namun saya bersemangat untuk bersolat terutama solat Subuh.

“Saya berdoa semoga Allah tetapkan hati dan istiqomah dengan Islam. Dalam masa yang sama, saya berdoa agar ibu bapa saya juga dilembutkan hati kerana saya mahu mereka mati dalam Islam,” ujarnya mengakhiri bicara.  

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain