Ustaz Ebit kongsi 3 petua buat mualaf bimbing insan tersayang - “Depan mereka saya buat-buat tabah, dalam kereta saya menangis”

Sebahagian rakaman program itu yang dimuat naik di Facebook Ebit Lew.

SETIAP insan pastinya mengharapkan pengakhiran yang baik buat diri mereka serta ahli keluarga tersayang.

Namun, wanita muallaf ini ternyata tidak dapat membendung kesedihan tatkala memikirkan ahli keluarganya yang belum memeluk Islam.

Luahan wanita itu menerusi satu sesi ceramah yang disampaikan pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ustaz Ebit Lew ternyata turut meruntun hati netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Sampainya hati! Baru sehari peluk Islam, dah ada yang tipu mualaf, “Menangis bukan sebab duit tapi sebab nak al-Quran”

ARTIKEL BERKAITAN:  “Dia ambil makanan tak banyak...” - Siapa lelaki berjubah, berkopiah, tapi di leher ada tatu bunga ros?

Video melibatkan wanita itu turut dimuat naik menerusi Facebook rasmi Ustaz Ebit sehingga menerima hampir 800,000 tontonan.

"Saya seorang muallaf, saya mahu keluarga bersama-sama di syurga. Maksudnya saya mahu mereka pun mati dalam Islam.

"Tapi saya tidak tahu macam mana saya mahu bawa mereka untuk bersama saya dalam Islam, sebab mereka pun sudah ada pegangan agama.

"So saya mahu tanya macam mana ustaz bimbing famili ustaz," soal wanita itu.

Tambahnya, dia yang sudah mendirikan rumah tangga memeluk Islam pada 2011, sekitar lapan tahun lalu.

Soalan yang diajukan wanita itu pantas dijawab oleh Ustaz Ebit sambil disaksikan hadirin yang lain.

Sebesar-besar musibah dalam dunia, paling teruk sekali bila orang kita sayang mati tanpa Islam. Mati tanpa iman tanpa Islam, dia akan susah selamanya.

USTAZ EBIT LEW

PENDAKWAH

Malah, Ustaz Ebit turut memberi contoh mengenai keluarganya sendiri termasuk ayahnya yang kini berusia 80 tahun.

"Saya ada ayah umur 80 tahun. Dia selalu menangis fikir adik-adik dia yang lain belum Islam. Saya ada abang kakak enam orang belum Islam.

"Saya seronok balik kampung raya Cina, saya seronok balik raya, tapi bila mereka meninggal saya menangis.

"Depan mereka saya buat-buat tabah, masuk kereta saya menangis. Sampai berhari-hari saya menangis, mungkin tak jumpa dia lagi sampai bila-bila," ujar Ustaz Ebit.

Kata Ustaz Ebit kepada wanita itu, usahlah berhenti berdoa agar keluarganya suatu hari nanti akan menerima Islam.

Tambahnya, kematian orang tersayang yang belum sempat memeluk Islam disifatkan sebagai musibah paling teruk.

Posting di Facebook Ustaz Ebit.

"Sebesar-besar musibah dalam dunia, paling teruk sekali bila orang kita sayang mati tanpa Islam. Mati tanpa iman tanpa Islam, dia akan susah selamanya.

"Pertama, kita hari-hari sembahyang hajat doa dan menangis untuk mereka. Saya pun masih buat perkara sama. Yang kedua, kita sentiasa buat baik kepada mereka.

"Sentiasa kita balas keburukan mereka dengan kebaikan. Ini pula kalau mereka buat baik, kita buat lebih baik lagi dan ketiga, ada peluang sekali sekala, bila perlu, beri nasihat pada mereka," kata Ustaz Ebit lagi.

Pada penghujung video, Ustaz Ebit turut berdoa agar seluruh ahli keluarga wanita itu diberikan hidayah suatu hari nanti.

Dalam pada itu, rata-rata netizen turut meninggalkan komen mereka pada posting video berkenaan.

"Ya Allah semoga Allah bukakan pintu hati family kakak ni untuk memeluk Islam. Nampak sangat kakak ni sayang family dia.

"Alhamdulillah. Ya Allah kau permudahkanlah urusan hambamu ini, Kau berilah hidayah buat seluruh ahli keluarganya untuk memeluk Islam," tulis beberapa netizen.

Ustaz Ebit Lew, muallaf, ceramah, keluarga

Artikel Berkaitan

Artikel Lain