Kongsi kisah ‘ditendang’ dari universiti, doktor ini akui hidup atas berkat dan harapan ibu yang ada kemahuan, imaginasi juga impian – “10 tahun lepas tak terbayang dapat bantu pesakit”

Dr Ahmad Samhan berkongsi di sebalik perjalanan beliau untuk bergelar doktor. Foto Facebook Ahmad Samhan

SIAPA tak kenal Dr Ahmad Samhan, seorang doktor viral yang sering berkongsi pengalaman mengenai dunia kedoktoran, perubatan dan kemasyarakatan.

Di sebalik kejayaan itu, tiada siapa yang boleh meneka dugaan dan pengorbanan yang beliau lalui.

Dr Ahmad Samhan mendedahkan bahawa beliau pernah 'ditendang' dari universiti sehingga merasakan putusnya sebuah harapan untuk bergelar doktor.

ARTIKEL BERKAITAN: Semut seekor pun tak boleh 'dekat', sanggup beratur 2 jam beli keropok viral... doktor sebak terima kunjungan mak ayah - "Rumah pun dia sanggup pikul"

ARTIKEL BERKAITAN: "Kami dituduh pembunuh" - Doktor kongsi tak mudah berdepan saat kematian, sampai satu tahap perlu patuh pada ketentuan

"Hilang minat. Lenyap cita-cita. Sungguh! Pensyarah-pensyarah pun tak mampu untuk menolong. Rayuan tak lagi diterima. Keputusan universiti adalah muktamad.

"Makin kelam. Gelap. Langsung dah tak nampak masa depan," tulisnya menerusi satu perkongsian di halaman Facebook beliau.

Dr Ahmad Samhan sebelum ini terpaksa menghentikan pengajian dalam bidang perubatan di sebuah universiti tempatan kerana gagal dalam peperiksaan pada 2010, sebelum meneruskan pengajian di Universiti Tanta di Mesir.



Dr Ahmad Samhan mempunyai pengalaman bertugas di HKL.

Mempunyai pengalaman bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Samhan bagaimanapun berkata, fikiran ibunya terhadap beliau adalah sebaliknya.

"Ma (panggilan ibu) nampak dengan jelas anaknya ini akan jadi seorang doktor. Seorang yang berbakti pada masyarakat.

"Dia cari juga jalan apa cara sekalipun. Bulat dan tekad sebuah harapan untuk anaknya jadi doktor tercapai. Itulah ibu. Bermimpi yang tak pernah kaput.

"Pekakkan telinga, butakan mata. Pedulikan segala halangan yang datang. Dia mahukan yang terbaik buat anak," katanya.



Ibu merupakan pembakar semangat untuk beliau mengecapi kejayaan.

Menurut Dr Ahmad Samhan, di atas sebab beliau menjadi doktor hari ini, ramai pesakit dapat menerima rawatan.

"(Pesakit) kembali sihat, kembali senyum, kembali hilang kesengsaraan. Sihat Alhamdulillah. Begitu juga yang dapat manfaat atas penulisan saya dari ilmu kedoktoran yang saya pelajari.

"Saya kongsikan segala suka duka perjalanan hidup saya selama ini tanpa rasa malu. Semua pun bukan sebab usaha saya kerana ia bermula dari segunung harapan insan yang bergelar ibu.

Bulat dan tekad sebuah harapan untuk anaknya jadi doktor tercapai. Itulah ibu

DR AHMAD SAMHAN

"Dia berani untuk bermimpi dan berani untuk mewujudkan. Ibu saya mempunyai kemahuan, imaginasi dan impian.

"Dia mahu melihat anaknya jadi doktor. Terima kasih Ma... hidup atas berkat ibu," ujarnya yang merupakan ahli lembaga pengarah di sebuah klinik di Kuala Terengganu, Terengganu.



Perkongsian Dr Ahmad Samhan di Facebook.

Mengimbas kembali pengalaman sedekad lalu, Dr Ahmad Samhan berkata, apabila pesakit datang dengan kesakitan dan pulang dengan senyuman sememangnya sebuah perasaan yang sukar untuk diceritakan.

"10 tahun lepas tak terbayang akan dapat bantu pesakit seperti sekarang. Tiada dalam akal dan langsung tak pernah pula terlintas dalam fikiran untuk jadi seorang doktor," katanya.

"Terima kasih doktor," satu ungkapan penghargaan daripada seorang pesakit yang bagi Dr Ahmad Samhan, malah mana-mana doktor pastinya tersemat penuh kegembiraan dan rasa bersyukur kerana tanggungjawab berbakti kepada masyarakat dan negara dipemudahkanNya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
harapan, ibu, ma, Dr Ahmad Samhan,

Artikel Berkaitan

Artikel Lain