suria

Semut seekor pun tak boleh ‘dekat’, sanggup beratur 2 jam beli keropok viral... doktor sebak terima kunjungan mak ayah - “Rumah pun dia sanggup pikul”

Dr Ahmad Samhan (kiri) berkongsi kisah mengenai ibu (kanan) dan bapanya yang datang dari kampung di Kelantan. Foto Facebook Ahmad Samhan

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Begitulah pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak tanpa mengira usia mereka, walaupun telah berkahwin.

Seorang doktor berkongsi kisah mengenai dirinya yang tidak berpeluang untuk balik ke kampung di Kelantan sejak beberapa minggu, disebabkan kekangan cuti isterinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terdiam gambar konvo tadika RM20, tarik tangan anak tinggalkan dewan - "Tu motosikal bos dia, pinjam nak pergi konvo"

ARTIKEL BERKAITAN: Simpan rahsia 6 bulan, akhirnya 2 jam sebelum 'naik belon' ke Sarawak ibu terima kejutan - "Dari pilot hingga tukang masak, semua mak canang"

Namun kata doktor itu, ibu bapanya pula dengan senang hati datang melawat ke rumahnya di Terengganu.

"Rancang untuk balik minggu ini tapi ma, abah kata nak datang Terengganu. Dari dulu ma begini. Tak berubah.

"Bak kata abah, ma ni, kalau boleh bawa rumah, rumah pun dia sanggup pikul nak bawa. Aku angkat satu persatu barang yang ma bawa dari kereta. Tiba-tiba rasa sebak," tulis Dr Ahmad Samhan menerusi satu perkongsian di halaman Facebook beliau.



Buah tangan yang dibawa oleh ibu bapa Dr Ahmad Samhan.

Menurut doktor itu, bapanya berkongsi kisah di sebalik sebakul rambutan yang mana buah dikait olehnya, manakala ibunya menunggu di bawah pokok untuk mengutip buah.

"Asingkan yang mana elok. Buang semut yang melekat. Hanya yang elok dibawa. Begitu juga dengan langsat. Semua masih bertangkai. Tiada satu pun terlerai.

"Buah langsat ni kalau jatuh ke tanah memang lerai. Kalau bertangkai, sama ada dipanjat atau disambut dengan lembut dan baik," katanya yang merupakan ahli lembaga pengarah di sebuah klinik di Kuala Terengganu.

Bukan setakat buah-buhan, Dr Ahmad Samhan berkata, ibu bapanya juga membawa pelbagai jenis ikan seperti ikan bawal, ikan tenggiri dan ikan kembung.

Ia bukan semata-mata rambutan, langsat, ikan, keropok dan sura. Tapi ia adalah kasih sayang

DR AHMAD SAMHAN

Walaupun semua ikan itu boleh dicarinya di Terengganu, tetapi beliau dimaklumkan bahawa kesemuanya adalah paling segar yang dicari oleh ibunya.

"Aku lihat keropok ada dua plastik. Masih panas. Bukan keropok biasa, keropok viral. Aku tanya, Kenapa banyak sangat keropok ma beli? (Jawab ibunya) Biarlah. Baru puas makan.

"Abah menyampuk, ma beratur hampir dua jam. Sah tekaan aku. Kedai keropok tu, tak beratur panjang memang tak sah. Aku dari awal dah surrender (menyerah kalah). Tapi, ma tidak," katanya.



Perkongsian Dr Ahmad Samhan di Facebook.

Tidak cukup setakat itu, beliau memberitahu ibunya turut membawa bubur asyura seperti yang diingininya.

"Aku cuma sebut teringin nak makan sura (bubur asyura). Ma bukan bawa satu bekas tapi lima. Sura ni sumpah bukan senang nak buat.

"Dari pagi kacau, belum tentu tengahari boleh makan. Berpeluh toksah cerita," tambahnya.

Keadaan itu membuat Dr Ahmad Samhan tidak dapat menyembunyikan perasaan sebaknya di atas pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapanya.

"Sukar untuk tampung air mata dari mengalir bila tengok semua barang yang ma, abah bawa. Ia bukan semata-mata rambutan, langsat, ikan, keropok dan sura.

"Tapi ia adalah kasih sayang. Kasih sayang seorang ibu dan ayah pada seorang anak. Kasih sayang yang tiada syarat.

"Ya Allah, kau rahmati kedua ibu bapaku seperti mereka mengasihaniku sewaktu aku kecil. Ampunkanlah dosa-dosa mereka," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain