SEORANG pelajar universiti ditahan polis selepas dipercayai menyalahgunakan puluhan motosikal sewa dengan menggadaikan kenderaan-kenderaan tersebut untuk kepentingan peribadi.Kejadian dilaporkan berlaku di Semarang, Jawa Tengah di Indonesia. Ketua Polis Ngaliyan, Komisioner Aliet Alphard berkata, suspek Ibra Maulana, 23, merupakan pelajar semester tujuh di sebuah universiti di Semarang.Menurut beliau, perbuatan tersebut terbongkar selepas salah seorang mangsa bersetuju menyewakan motosikal kepada suspek pada 7 Mei lalu kerana tertarik dengan bayaran sewa yang ditawarkan."Mangsa menyangka wang sewaan itu dapat membantu menampung perbelanjaan harian lalu menyerahkan motosikalnya kepada suspek," katanya pada Isnin.Bagaimanapun, selepas beberapa hari, mangsa mendapati motosikal miliknya telah digadaikan.Dia kemudian membuat laporan polis pada 19 Mei selepas gagal menghubungi suspek bagi mendapatkan kepastian.Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di sebuah kawasan perumahan di Kaliwungu, Kendal pada 4 Jun lalu.Mengulas lanjut, ujarnya, setakat ini polis berjaya mendapatkan semula 23 buah motosikal daripada 25 kes yang dilaporkan, manakala dua lagi masih dalam usaha dikesan.Tambahnya, sebahagian motosikal lain telah diambil semula oleh pemilik masing-masing sebelum laporan polis dibuat.Dalam pada itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Ngaliyan, Inspektor Pertama Nur Azam Makhrus berkata, suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan.Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai menggelapkan sebanyak 40 buah motosikal.Ujar beliau, modus operandi yang dilakukan suspek adalah mendapatkan motosikal melalui kaedah menyewa daripada pemilik sebelum menggadaikannya. -Agensi