Dah 6 tahun tak terlepas bayar PTPTN, personal shopper kongsi update terkini... masih berbaki RM35,000! - “Sama macam pinjam duit orang”

Menurut Neyra, semua peminjam PTPTPN tidak seharusnya melengahkan bayaran bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa akan datang. (Gambar Hiasan)

KEMUNCULAN semula tweet yang dimuat naik seorang wanita pada lima tahun lalu ternyata mengimbas segala memori sewaktu dia bergelar mahasiswi.

Menerusi tweet pada Mac 2015, dia berkongsi mengenai baki bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM57,750 yang harus dilunaskannya.

Pada Isnin lalu, dia sekali lagi berkongsi tweet itu dengan update terbaharu mengenai baki pinjaman PTPTN yang belum dilangsaikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Berita baik! Bayaran balik pinjaman PTPTN ditangguh hingga 30 Jun

ARTIKEL BERKAITAN: Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

"Lima tahun lalu saya tweet mengenai hal ini. Tahun 2020: Saya masih ada RM35,000 untuk dibayar," tulis Neyra Shazeyra di Twitter.

Menurut wanita berusia 32 tahun itu, dia sudah melunaskan RM22,000 sejak mula membuat pembayaran balik enam tahun lalu, bermula Julai 2014.

Biarpun masih banyak berbaki, dia menyifatkan tweet yang dikongsi itu sebagai peringatan bersama khususnya buat lepasan universiti yang lain.

Neyra menganggap perkongsian di Twitter itu sebagai peringatan bersama khususya buat peminjam PTPTN.

"Hari tu keluar balik tweet lama saya. Kebetulan masa tu baru lepas bayar PTPTN. Jadi saya tengok baki sekarang, banding dengan apa yang saya tweet lima tahun lepas.

"Rupa-rupanya ada banyak lagi, dalam RM35,000. Saya bayar setiap bulan secara konsisten. Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun saya tetap bayar.

"Sebab nak cepat, saya bayar lebih sikit. Tapi bergantung pada kemampuan juga. PTPTN pun ada bagi pelan struktur, estimate 20 tahun maksimum untuk habis bayar," ujarnya kepada mStar.

Jadi, janganlah bazirkan duit PTPTN beli bukan-bukan. Habis belajar, terus cari kerja dan mula bayar.

NEYRA SHAZEYRA

Mesra disapa Neyra, dia mengakui tidak pernah menyesal apabila perlu membayar pinjaman itu secara bulanan memandangkan ia sebelum ini digunakan untuk menampung kos pengajiannya.

Malah kata Neyra, pinjaman itu bagaikan satu tanggungjawab yang mana konsepnya sama sahaja sebagaimana kita berhutang dengan individu lain.

"Tak menyesal sebab saya guna PTPTN untuk belajar. Itu tanggungjawab kita. Sama juga macam kita pinjam duit orang.

Tweet yang dikongsi Neyra menjadi tular di Twitter.

"Bagi saya, RM57,750 tu banyak. Kalau tak bayar selepas habis belajar, makin banyaklah nak kena bayar pada masa akan datang.

"Rata-rata komen di Twitter cukup bagus. Sekurang-kurangnya ada yang pandang positif, galakkan orang untuk bayar. Sebab saya yang dah bayar enam tahun pun masih banyak berbaki.

"Jadi, janganlah bazirkan duit PTPTN beli bukan-bukan. Habis belajar, terus cari kerja dan mula bayar. Jangan tangguh, nanti menyusahkan kalau jadi apa-apa pada masa akan datang," kata Neyra lagi.

Neyra menasihati golongan pelajar agar tidak membazir wang PTPTN yang diberikan kepada mereka.

Menurut Neyra yang sudah mendirikan rumah tangga sekitar dua tahun lalu, dia bertugas sebagai eksekutif projek dengan sebuah syarikat di ibu negara selepas menamatkan pengajian di Univerisiti Teknologi Petronas (UTP) pada 2013.

Dia yang kini menetap di Alor Star, Kedah bagaimanapun telah berhenti kerja dan fokus menjadi personal shopper khususnya untuk produk dari negara Thailand.

Sehingga kini, tweet Neyra mengenai kisah PTPTN itu turut menerima lebih 4,100 ulang kicau (Retweet).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain