suria

Gadis nyaris putus asa belajar ketika pandemik, surat dari UK beri sinar baharu - “Dapat emel tapi masa tu hati saya masih mati”

Sofia (kanan), pelajar A-Level menerima tawaran belajar di United Kingdom.

DALAM suasana dunia yang tidak menentu akibat pandemik Covid-19, siapa tidak gembira apabila mendapat perkhabaran gembira melibatkan masa depan diri.

Situasi inilah yang dihadapi seorang pelajar A-Level yang terpaksa berdepan detik sukar apabila perlu menghabiskan banyak silibus dan dalam masa sama perlu menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran yang sering bertukar.

Dia yang hampir putus asa bagaimanapun seolah-olah mendapat sinar baharu apabila menerima surat tawaran untuk melanjutkan pengajian dari sebuah universiti di United Kingdom (UK).

"Ini mungkin tidak seberapa untuk sesetengah orang tetapi tawaran ini sangat bermakna dalam hidup saya," tulisnya dalam satu video di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Dikagumi kerana 7 semester dapat 4 flat, Neelofa pun offer hadiah... graduan dedah hampir tukar jurusan - "Saya pernah menangis, banyak kali"

ARTIKEL BERKAITAN: "Kau belajar main-main macam mana nak dapat" - Tragis kisah selempang pink... abah sebak, mak merajuk 2 hari

Ketika dihubungi mStar, Sharifah Sofiatul Balqis Engku Hassan, 20 memberitahu tawaran yang diterima bagaikan memberi nafas baharu kepada dirinya yang sebelum ini patah semangat untuk meneruskan pengajian.



Video yang dimuat naik Sofia di aplikasi TikTok menjadi tular.

Lebih mesra disapa Sofia, pelajar Taylor's University ini berkata situasi semasa penularan Covid-19 ini telah membuatkan dirinya hampir berputus asa atas beberapa alasan.

"Biasalah pandemik Covid-19 ini banyak beri kesan. Saya juga tidak terkecuali. Sekejap belajar online, tiba-tiba secara bersemuka.

"Silibus saya pula untuk kali ini banyak sebab ini peperiksaan akhir saya.

"Bukan senang dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang. Saya di rumah perlu jaga adik, bantu ibu dalam perniagaan dan banyak lagi," katanya yang bakal menduduki ujian kelayakan Bahasa Inggeris Cambridge, A2 Key.

Menurut Sofia, sebelum surat tawaran sampai ke rumahnya, dia sudah dimaklumkan melalui emel tetapi mengakui pada masa itu hatinya masih mati.

"Masa tu gembira tidak, sedih pun tidak, mungkin sebab akhir-akhir ini 'down' sangat sampai rasa nak putus asa.

"Tapi bila surat sampai ke rumah perasaan jadi lain. Saya nampak masa depan mulai cerah dan lebih bersemangat nak menduduki peperiksaan pada Mei depan," katanya yang mendapat tawaran dari Aberystwyth University.



Sofia mendedahkan dirinya hampir berputus asa.

Anak sulung daripada lima beradik kelahiran Terengganu ini berkata, dia bersyukur dengan rezeki ini walaupun masih belum pasti dirinya akan diterima masuk ke universiti atau sebaliknya.

Ini kerana, kata Sofia, pihak universiti hanya membuat tawaran tempat terlebih dahulu dan jika dia mendapat keputusan cemerlang barulah dia secara rasmi diterima sebagai pelajar.

"Tawaran ini macam 'secure' tempat dahulu.

"Saya diterima mungkin disebabkan penulisan mengenai diri (personal statement) kepada mereka yang menyatakan minat, sumbangan dan pencapaian dalam bidang saya mohon," katanya.

Bila surat sampai ke rumah perasaan jadi lain. Saya nampak masa depan mulai cerah dan lebih bersemangat nak menduduki peperiksaan

SHARIFAH SOFIATUL BALQIS ENGKU HASSAN

Perkongsian video yang dimuat naik Sofia di aplikasi TikTok mendapat perhatian netizen sehingga meraih 11,000 tanda suka dan 300 komen.

Bercerita mengenai pengajiannya, Sofia berkata apa yang sedang diusahakan kini bukan sahaja melibatkan masa depan dirinya tetapi juga mempunyai kaitan dengan keluarga.



Sofia (kanan) bersama keluarga.

Sofia berkata dia memasang niat untuk belajar jurusan hortikultur kerana ibunya kini menguruskan perniagaan bunga ros.

"Kalau ikut perancangan, saya akan melanjutkan pengajian dalam jurusan tu sebab mahu kembangkan bisnes ibu.

"Saya tengok bisnes ni ada potensi tinggi sebab belum ada lagi teknologi pembiakan bunga ros di Malaysia. Kami pun ambil dari Thailand.

"Siapa tahu saya dan ibu boleh jadi orang pertama yang mula memulakan teknologi pembiakan bunga ros di negara kita," jelasnya.

Ibunya, Sh Marzety Adibah Al Sayed Mohamad, 43, sudah lima tahun menceburi perniagaan ini, manakala bapanya, Engku Hassan Engku Wok Zin, 52 yang merupakan guru sekolah menengah telah bersara dan kini sama-sama membantu menguruskan bisnes tersebut.

Sofia berkata perkongsian itu dibuat dengan harapan orang ramai dapat memberikannya semangat dan turut mendoakan kejayaannya.

"Lagi ramai doa lagi bagus. Mana tahu Allah SWT angkat doa salah seorang daripada mereka, ” ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain