suria

Dikagumi kerana 7 semester dapat 4 Flat, Neelofa pun offer hadiah... graduan dedah hampir tukar jurusan - “Saya pernah menangis, banyak kali”

Athirah menamatkan pengajian di UUM Sintok, Kedah dengan keputusan cemerlang sehingga menerima Anugerah Pelajaran Diraja - Pingat Jaya Cemerlang. Foto ihsan Nur Athirah Rushami Zien

SANGAT luar biasa! Begitulah gambaran warganet mengenai seorang graduan yang mendapat anugerah dekan pada setiap semester dengan keputusan cemerlang 4.0 flat selama tujuh semester!

Menerusi video yang tular di media sosial, graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah itu menamatkan pengajian dengan Purata Markah Keseluruhan (PMK) 3.99.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan itu menerima Anugerah Pelajaran Diraja - Pingat Jaya Cemerlang yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah yang juga Canselor UUM pada Majlis Konvokesyen UUM, minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kau belajar main-main macam mana nak dapat” - Tragis kisah selempang pink... abah sebak, mak merajuk 2 hari

ARTIKEL BERKAITAN: Belajar di ICU, keputusan pun cemerlang, hasrat abah sarung jubah tak kesampaian, “Ingat pesan buat sampai habis”

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu pernah dapat markah corot 38/100, tapi siapa sangka remaja ini catat keputusan SPM 9A!

Aura beauty with brain gadis itu turut menarik perhatian selebriti, Neelofa yang memuji Nur Athirah Rushami Zien kerana kepintarannya.

“Seorang wanita muda yang bijak dan merendah diri. Tahniah buat kamu! Tolong tag dia dalam respons jika sesiapa mengenali dia. Saya ingin meraikan kejayaannya dengan hadiah,” tulis Neelofa di akaun Twitter miliknya.

Tulisan Neelofa di laman sosial yang memuji kepintaran Nur Athirah.

Bercakap kepada mStar, Nur Athirah mengakui amat terkejut kerana kisahnya menjadi tular dan berharap ia menjadi titik permulaan baginya untuk menyumbang semula kepada masyarakat dan negara.

Namun, graduan berusia 23 tahun itu berkata, tiada sebarang rahsia kejayaan yang berbeza dengan orang lain tetapi percaya ia adalah berkat doa daripada ibu bapa dan mereka yang lain.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur walaupun sebenarnya saya percaya ramai juga graduan lain yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Dari sudut lain, saya percaya anugerah ini datang bersama tanggungjawab untuk berbakti semula kepada orang lain.

“Saya percaya kita perlu back to basic sebagai pelajar. Walaupun bunyi agak cliche tetapi saya rasa fokus dalam kelas amat penting, bersungguh-sungguh dalam membuat sesuatu walaupun sekecil-kecil tugasan dan tahu keutamaan.

“Berada dalam persekitaran yang baik juga amat penting. Saya bersyukur dikurniakan keluarga dan rakan-rakan yang sangat menyokong,” katanya yang juga penerima Biasiswa Majlis Raja-Raja kepada mStar.

Nur Athirah bersama ibu bapanya yang banyak memberikan sokongan.

Nur Athirah yang berasal dari Arau, Perlis itu pernah diuji dengan kesusahan sehingga hampir menukar jurusan pengajiannya meskipun meminati subjek falsafah.

Jelasnya, jurusan itu menggabungkan tiga komponen yang berbeza menjadikan cara untuk memahami dan menguasai setiap bidang tersebut juga amat berlainan.

“Program ini merupakan yang pertama di Malaysia, ramai mempunyai persepsi negatif dan tidak yakin terhadap bidang ini seperti kebolehpasaran bidang tersebut yang masih amat baharu di Malaysia.

Saya pernah menangis, banyak kali. Bila diingat semula rasa berbaloi untuk melalui semua itu. 

NUR ATHIRAH

“Ketika itu masih di tahun pertama. Belum ada graduan jurusan berkenaan ketika itu sekali gus sukar untuk meyakinkan kami. Saya dan rakan sekelas hampir memohon untuk menukar bidang pada awalnya.

“Saya pernah menangis, banyak kali. Bila diingat semula rasa berbaloi untuk melalui semua itu. Alhamdulillah, semuanya berjaya bergraduasi pada tahun ini,” ujar anak ketiga daripada lima beradik itu.

Keluarga turut hadir memberi sokongan pada majlis konvokesyen di UUM.

Dalam pada itu, Nur Athirah yang sebenarnya berpewatakan ceria dan menyukai makanan pedas amat terkejut dengan komen positif Neelofa mengenai dirinya.

“Saya bersyukur wanita hebat seperti Neelofa menghargai kejayaan kecil yang tidak setanding dengan kejayaan beliau. 

“Beliau antara individu hebat yang dikagumi oleh banyak pihak. Beliau benar-benar memberi inspirasi. Ucapan daripada beliau sudah cukup bermakna dan menginspirasikan buat saya.

So sweet of you, kak Neelofa. Terharu… anda benar-benar memberi inspirasi!” ujar Nur Athirah yang merancang untuk menyambung pengajian selain berhasrat untuk menceburi dunia akademik atau korporat pada masa akan datang.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain