suria

Kecoh gambar konvo rasmi graduan ‘ghaib’ semasa terima skrol, jurufoto beri jawapan... akan lebih teliti

Gambar graduan 'ghaib' di atas pentas ketika dirakam jurufoto rasmi menjadi tular di Twitter.

HARI konvokesyen merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap mahasiswa untuk meraikan kejayaan selepas bertahun-tahun menimba ilmu.

Pastinya momen-momen pada hari berkenaan akan dirakam sebagai kenangan untuk tatapan pada masa hadapan.

Selain foto bersama ibu bapa, rakan seperjuangan dan mereka yang sering memberikan sokongan, tentunya foto ketika berada di atas pentas sewaktu menerima skrol merupakan antara yang ‘wajib’ dirakam pada hari bersejarah tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak kuat nak naik pentas” - Sayu, isteri dedah suami berahsia sambung master sebab ‘takut malu’, meninggal selepas 4 hari disahkan kanser 

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu padam gambar sendiri kerana rasa diri buruk, anak manja mak akhirnya terkilan - “Tanpa mereka aku kosong”

Bagaimanapun baru-baru ini, tular sekeping gambar di mana seorang graduan yang mengambil skrol di atas pentas sewaktu Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-90 ‘ghaib’ ketika gambarnya dirakam jurufoto rasmi.

Berdasarkan gambar yang dimuatnaik seorang pelayar Twitter, hanya kelihatan tokoh akademik yang sedang berdiri dan bersedia menyampaikan skrol berada di atas pentas.

Gambar yang dimuatnaik bersama kapsyen ‘Resign je la jurufoto yang ambil gambar ni’ itu mencetuskan reaksi pelbagai daripada netizen, dengan ramai yang beranggapan insiden sedemikian tidak wajar berlaku memandangkan setiap graduan telah membelanjakan wang untuk foto mereka.

Gambar graduan yang dikatakan 'ghaib' yang tular di Twitter.

Tambahan pula ia adalah salah satu momen penting untuk dijadikan kenangan dalam hidup.

Namun tidak kurang juga yang menyifatkan gambar berkenaan sebagai sesuatu yang lucu.

Bagaimanapun, insiden berkenaan sebenarnya bukan seperti yang disangkakan.

Tampil menjelaskan perkara tersebut, pihak jurugambar rasmi yang bertugas mengambil gambar ketika itu berkata sebenarnya insiden gambar graduan ‘ghaib’ itu hanyalah salah faham.

Pihak Jurugambar Rasmi Konvokesyen UiTM Perak membuat penjelasan di Twitter.

“Sebenarnya ada kesilapan semasa urusan postage. Pihak kami termasukkan sekali gambar yang salah (rejected) dalam parcel graduan. Jadi graduan menerima empat. Kiranya terlebih satu. Gambar pentas standard, graduan akan dapat tiga gambar berlainan saiz,” kata wakil Jurugambar Rasmi Konvokesyen UiTM Perak itu kepada mStar.

Tambah wakil berkenaan, pihaknya terkejut apabila mengetahui gambar berkenaan viral di media sosial kerana menyangkakan graduan berkenaan diberi gambar yang salah.

Pihak kami memang ada minta first person yang viral untuk padam sebab nak elakkan salah sangka dari pihak lain, tapi yang masih viralkan lagi itu terpulang kepada mereka, sebab benda yang diviralkan itu tidak meminta penjelasan dari pihak kami, dan ini memberi persepsi negatif kepada pihak universiti.

WAKIL JURUGAMBAR RASMI KONVOKESYEN UiTM PERAK

“Apabila diteliti, memang ada kesilapan dari segi postage sebab didapati satu gambar salah (rejected) tersebut ada hilang satu. Dan kami teliti lagi kes graduan ini sudah pun diselesaikan sebelum ini,”ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, wakil tersebut berkata, pihaknya sememangnya menitikberatkan isu ini kerana ia melibatkan nama institusi pengajian tinggi itu sendiri.

“Namun kami beranggapan perkara ini menjadi iktibar buat pihak kami untuk pastikan kerja lebih teliti selepas ini.

“Pihak kami memang ada minta first person yang viral untuk padam sebab nak elakkan salah sangka dari pihak lain, tapi yang masih viralkan lagi itu terpulang kepada mereka, sebab benda yang diviralkan itu tidak meminta penjelasan dari pihak kami, dan ini memberi persepsi negatif kepada pihak universiti,” katanya lagi.

Sementara itu, graduan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Nurdibah turut menyifatkan isu berkenaan sudah selesai.

“Tapi actually gambar tu saya dapat semua full dan lengkap. Tak ada masalah apa pun, cuma dapat lebih saja yang ada satu kosong tu,” ujarnya ringkas. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
graduan, konvokesyen, jurugambar, jurufoto

Artikel Lain