suria

Selalu padam gambar sendiri kerana rasa diri buruk, anak manja mak akhirnya terkilan - “Tanpa mereka aku kosong”

Dua foto yang disunting Muhammad Fahmi bersama imej arwah ibu. Foto ihsan Muhammad Fahmi Naquib Mohd Azaly

FOTO seorang anak muda pada majlis konvokesyen selepas tamat pengajian yang dimuat naik di laman sosial Instagramnya pada Isnin lalu mencuri tumpuan warganet.

Selain ucapan tahniah beberapa pengikut di laman sosialnya, mereka turut memberikan kata-kata semangat agar pemuda itu terus kuat menjalani kehidupan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tanya nak bunga masa konvo, pemuda ini kata datang pun dah cukup, “Tengok abah depan mata, terubat kerinduan pada arwah mak”

ARTIKEL BERKAITAN: Belajar di ICU, keputusan pun cemerlang, hasrat abah sarung jubah tak kesampaian, “Ingat pesan buat sampai habis”

Dan jika diamati, imej ibu pemuda berkenaan sebenarnya disunting dan ‘ditampal’ pada gambarnya bersama bapanya.

Antara perkongsian seorang pemuda di laman sosial.

Muhammad Fahmi Naquib Mohd Azaly, 20, mengaku foto tersebut disunting kerana ibunya telah meninggal dunia pada 26 Mac 2018, akibat komplikasi buah pinggang.

“Sebenarnya majlis konvokesyen tu hanya ada ayah dan ahli keluarga lain yang datang. Mak dah meninggal dunia, cuma saya sunting ‘masukkan’ arwah mak dalam gambar itu untuk nampak seolah-oleh dia turut ada.

“Ia bukan gambar pertama yang saya buat suntingan dengan foto mak, tapi ada dua lagi gambar lain. Gambar edit yang pertama saya muat naik genap setahun pemergian mak,” katanya mengenai ibunya, Allahyarham Zarina Haron kepada mStar.

Muhammad Fahmi terkilan kerana banyak gambar bersama arwah ibu dipadam.

Muhammad Fahmi berkata, sejak kecil lagi dia begitu rapat dengan ibunya, apatah lagi sikap manjanya begitu terserlah sebagai anak bongsu daripada dua beradik.

Graduan Diploma Teknologi Elektronik dari Kolej Vokasional (KV) Klang itu berkongsi kisah di sebalik suntingan gambar tersebut bersama ibunya.

Saya sentiasa mendoakan arwah mak dan bila orang melihat gambar tu juga diharapkan mereka juga mendoakan dan sedekahkan Al-Fatihah.

MUHAMMAD FAHMI

“Saya dari kecil tak suka bergambar, pemalu orangnya. Tapi mak selalu ajak saya bergambar bersama, kadang-kadang saya tolak sebab segan bila tengok saya buruk.

“Bila dah ambil gambar dan nampak muka atau gaya saya kelihatan buruk, saya cepat-cepat padam dari telefon atau kamera sebab segan,” katanya.

Kenangan... Muhammad Fahmi semasa kecil bersama ibu.

Disebabkan tabiat itu, Muhammad Fahmi yang berasal dari Klang, Selangor itu tidak mempunyai koleksi gambar terkini bersama arwah ibunya.

“Yang ada pun gambar masa kecil, dan yang terakhir adalah dua tahun lalu masa hari raya. Itu pun tak banyak sebab dulu mana ada telefon untuk ambil gambar selalu.

“Sudahnya, saya tak ada gambar-gambar terbaru bersama mak. Sekarang ni saya rasa sangat terkilan sebab dah banyak padam foto kenangan bersama arwah,” tambahnya.

Gambar (bawah) dirakamkan semula pada Hari Raya tahun ini dan disunting untuk menyamakan dengan gambar lama (atas).

Malahan katanya, salah satu daripada tiga gambar yang disuntingnya itu ‘dirakamkan semula’ untuk diabadikan sebagai kenangan terindah.

“Ada gambar saya bersama mak dan ayah di pekarangan rumah nenek pada Hari Raya, masa tu saya masih belajar di sekolah rendah.

“Kemudian masa raya tahun ini saya minta ayah bergambar bersama di lokasi yang sama, di lokasi yang sama menggunakan kerusi yang sama. Bezanya cuma kedudukan saya dan mak di kedua-dua gambar,” katanya.

Gambar terakhir dengan ibu, turut bersama abang dan bapanya pada Hari Raya 2017.

Menurut Muhammad Fahmi, setiap gambar hasil suntingannya itu mengubati kerinduannya pada arwah ibu selain memberi ketenangan buat dirinya.

“Bila ada gambar edit tu, saya rasa seolah-olah mak ada di sisi saya. Saya sentiasa mendoakan arwah mak dan bila orang melihat gambar tu juga diharapkan mereka juga mendoakan dan sedekahkan Al-Fatihah.

“Saya ingat pesanan terakhir mak sebelum dia dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia empat hari kemudian, mak kata jaga ayah elok-elok dan belajar rajin-rajin jadi insan yang berjaya,” katanya yang bercita-cita untuk bergelar jurutera elektronik.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain