suria

Asyik pegang telefon tapi tak ambil gambar bayi, ada sebab kenapa si bapa terkilan lupa rupa jari anak – “Tak perlu posing hebat-hebat”

Seorang sahabat berkongsi rasa terkilan kerana tidak mengambil gambar arwah anak yang berusia beberapa bulan semasa hayatnya. -gambar hiasan/ foto Teresa K

SEKEPING gambar dapat mengabadikan kenangan terindah terutama bersama keluarga dan insan tersayang.

Seseorang itu juga dapat berkongsi kerinduan dan meluahkan perasaan terpendam seperti kesedihan dan kegembiraan menerusi foto.

Orang kata, sekeping gambar membawa 1001 pengertian dalam diri dan kehidupan.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu padam gambar sendiri kerana rasa diri buruk, anak manja mak akhirnya terkilan - "Tanpa mereka aku kosong"

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terdiam gambar konvo tadika RM20, tarik tangan anak tinggalkan dewan - "Tu motosikal bos dia, pinjam nak pergi konvo"

Namun, seorang lelaki berasa terkilan kerana tidak mengabadikan arwah anaknya yang berusia beberapa bulan sebagai kenang-kenangan.

"Aku dah mula lupa macam mana rupa jari anak aku," ujar seorang doktor memetik kata-kata sahabatnya.



Jari bayi yang diabadikan menerusi rakaman foto. foto Pa&Ma

Situasi tersebut ternyata mengundang rasa simpati dan dilema.

"Entah apa yang patut saya balas. Hanya mampu memberi kata semangat. Anaknya baru berusia beberapa bulan sebelum menemui Ilahi.

"Antara kekesalan sahabat ni dia jarang ambil gambar anaknya. Dia fikir anaknya masih kecil, jadi masa masih banyak.

"Selalu juga isteri beliau kata ambillah gambar anak lagi-lagi bila dia tengah buat bermacam aksi," tulis Dr Redza Zainol menerusi satu perkongsian di laman Facebook.

Berdasarkan pengalaman sendiri, sahabat doktor berkenaan memberi pesanan supaya mengambil gambar ana-anak sebanyak yang mungkin bagi mengelakkan situasi sama berulang.



Seorang ibu tersenyum melihat bayinya. -gambar hiasan/ foto SAM THAM/The Star

Menurut Dr Redza, rakannya itu mendedahkan bahawa dia sebelum ini lebih banyak menghabiskan masa menggunakan telefon untuk tujuan lain.

"Dia kata dia selalu pegang telefon. Tapi dia lagi suka guna telefon tu untuk balas mesej kawan atau baca itu ini di media sosial.

"Dia simpan telefon dalam poket, tapi entah kenapa berat betul dia nak keluarkan telefon untuk ambil gambar anak," katanya.

Ambil lah gambar anak. Bila mereka pergi tinggalkan kita, kita ada gambar mereka bersama kita ketika merindui

DR REDZA ZAINOL

Rakaman foto anak itu boleh dilakukan di mana-mana pada bila-bila masa, malah boleh juga mengambil gambar secara kandid atau spontan.

"Dia kata kalau nampak anak terlelap di sofa, di meja makan, ambil lah gambar dia. Ambil gambar dia masa dia tak perasan, tak perlu posing hebat-hebat.

"Ambil je gambar tu. Masa dia menangis, ambil gambar dia. Masa dia tersenyum ambil gambar dia. Ambil gambar tapak kaki dia, ambil gambar jari-jari dia.

"Masa berlalu pantas dan jika diizinkan Allah, dia akan semakin dewasa. Tanpa kita sedar, dia dah mula tinggalkan kita ke alam sekolah dan universiti," katanya.



Bayi yang baru lahir. - gambar hiasan/ foto LOW LAY PHON/The Star

Dr Redza bagaimanapun memberitahu, sahabatnya itu tidak berpeluang untuk merasai pengalaman itu dengan mengabadikan kenangan arwah anaknya menerusi foto.

"Untuk sahabat ni, dia tak berpeluang untuk merasa semua ini. Ambil lah gambar anak. Bila mereka pergi tinggalkan kita, kita ada gambar mereka bersama kita ketika merindui.

"Ambil lah gambar anak. Tunjukkan betapa comelnya mereka semasa kecil, tunjukkan betapa kita sayangkan mereka sejak kecil. Sahabat ni cuma ada beberapa gambar kenangan yang sempat diambil.

"Tapi tak banyak, itu sajalah yang tinggal. Betul kita taklah selalu teringat nak ambil gambar anak. Tapi kalau teringat, ambil terus gambar tu. Percayalah, anak dan pasangan kalian akan bersyukur sangat melihat gambar-gambar tu," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain