suria

Beri tip ‘nilai paling tinggi’ masih tak dapat lenyapkan rasa bersalah, wanita ini jumpa sendiri rider OKU! - “Sabar satu jam Allah kirim rezeki sampai RM5,000”

Bonda Nor dan suami akhirnya berpeluang bertemu dan menyampaikan sumbangan kepada Rizuam (dua, kanan). Foto: Facebook Bonda Nor

BEBERAPA hari lalu, coretan seorang pelayar yang juga penulis buku motivasi, Bonda Nor, mengenai kisah seorang rider Orang Kurang Upaya (OKU) benar-benar meninggalkan kesan kepada pengguna media sosial.

Menerusi coretannya, wanita berkenaan meluahkan rasa bersalah kerana berprasangka buruk terhadap rider berkenaan gara-gara pesanan makanannya lewat tiba.

Namun segala-galanya terjawab selepas dia tergerak untuk memeriksa inbox di dalam aplikasi berkenaan dan tanpa diduga, rider tersebut merupakan seorang individu OKU pendengaran dan pertuturan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mengidam Yong Tau Fu tapi geram pesanan lewat tiba, bergenang air mata penulis novel ketika tahu keadaan sebenar rider - “Call berulang kali nak tarik perhatian tengok inbox”

Bagi menebus rasa bersalah sekali gus menghargai tindakan penuh bertanggungjawab rider berkenaan, Bonda Nor tanpa teragak-agak terus memberikan tip 'nilai paling tinggi' menerusi sistem penghantaran berkenaan.

Menerusi perkongsian terbaharu di Facebook, Bonda Nor meluahkan rasa gembiranya selepas berpeluang bertemu semula dengan rider berkenaan, beberapa hari selepas insiden itu.



Suami Bonda Nor menyerahkan sumbangan berupa wang tunai dan naskhah buku kepada Rizuam bagi menghargai sikap mulianya.

"Walaupun dah bagi tips pada dia melalui sistem Grab Pay, hati saya tetap rasa tak best. Saya rasa bersalah sebab salah sangka pada dia. Dan saya rasa perlu bagitau masyarakat supaya tak buat salah macam saya.

"Jadi saya tuliskan kisah tersebut di FB untuk peringatan bersama. Bahkan saya juga call pihak Grab untuk mengesan siapa rider OKU yang hantar makanan tu.

"Menunggu dari sehari ke sehari. Kecewa sebab tak dapat feedback seterusnya. Namun, Allah Maha Baik. Dia tahu keinginan saya mahu menebus rasa bersalah itu.

"Tiba-tiba, seorang lelaki bernama Asyraf inbox saya di Facebook. 'Saya kawan Rizuam, rider OKU Kuala Terengganu. Ini nombor telefon dia'. Ya Allah, berderau darah!" tulisnya.



Rizuam (kanan) turut ditemani dua sahabatnya ketika pertemuan bersama Bonda Nor.

Dengan bantuan Asyraf yang juga seorang rider, wanita tersebut dan suaminya mengatur pertemuan dengan rider OKU yang menyentuh hati mereka tempoh hari bagi menyampaikan sumbangan ikhlas.

Tanpa diduga kata Bonda Nor, ramai yang turut menyelitkan sumbangan untuk pemuda itu selepas dia menguar-uarkan mengenai pertemuan yang sedang diaturkan itu.

"Rizuam datang jumpa saya dan suami dengan kaki terhincut-hincut. Rupa-rupanya dia baru kemalangan balik kerja waktu malam. Terlanggar kerbau, katanya. Sejenis gigih! Masuk kerja pukul 10 pagi hingga 10 malam!

Rezeki orang gigih dan amanah pada tugas. Sebab sabar satu jam, Allah kirimkan rezeki sampai RM5,000.

BONDA NOR

PENULIS BUKU/PELANGGAN GRAB FOOD

"Alhamdulillah, hari ini dapat sampaikan rezeki Rizuam sebanyak RM5,000 sumbangan team Akademi Bonda Nor dan team speaker Ekspres-i. Juga saya bagi planner Semangat! dan buku Bahagia Tanpa Syarat.

"Begitulah. Rezeki orang gigih dan amanah pada tugas. Sebab sabar satu jam, Allah kirimkan rezeki sampai RM5,000," tulisnya sambil menambah, pertemuan tersebut turut disertai oleh Asyraf yang bertindak sebagai penterjemah.

Tambah wanita tersebut, dia turut sebak bercampur kagum apabila kedua-dua pemuda berkenaan menunjukkan pencapaian mereka sebagai rider.

"Bahkan apabila Rizuam tunjukkan pencapaiannya di sistem pesanan GrabFood, saya teruja melihat lencana pujian. Apa feedback customer? Antara nombor 1 hingga 5, semuanya memilih 5!



Tangkapan skrin (screenshot) mesej dihantar oleh Rizuam yang terharu dengan sumbangan yang diterimanya.

"Sebelum berpisah, saya sampaikan pada mereka, kata-kata Ustazah Asma Harun yang dituliskannya pada tulisan viral saya itu. Tentang OKU pekak dan bisu. Mereka sangat mulia, bonda. Mulut mereka tidak pernah menyakiti orang lain. Telinga mereka tidak pernah bermaksiat'.

"Dan sewaktu melihat Asyraf bersungguh menyampaikan pada sahabatnya kata-kata inspirasi itu dengan menggunakan bahasa isyarat, saya sebak! Benar kata ustazah, mereka ini kelompok terpelihara. Tak banyak dosa," tulisnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain