suria
mStar - Urban.Versatil

Gempar! Penduduk temukan 8 kepala dalam guni... Terselit nota berbaur amaran

Polis menjalankan siasatan selepas penemuan lapan kepala di dalam dua guni. -Foto AFP

LAPAN kepala manusia ditemukan di dalam dua guni oleh penduduk di sebuah bandar, sekali gus mendorong pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Menurut Komander Polis Guayas, Kolonel Marcelo Castillo, lapan kepala yang dipenggal itu ditemukan bersama sekeping nota bertulis No stealing allowed (dilarang mencuri).

Kejadian mengejutkan itu berlaku di daerah Naranjal yang terletak di Guayas, Ecuador di Amerika Selatan.

Pihak polis percaya insiden tidak berperikemanusiaan itu berkemungkinan berpunca daripada konflik antara kumpulan penjenayah tempatan.

Pendakwa raya yang bertugas kemudiannya mengarahkan semua sisa mayat itu dipindahkan ke bilik mayat di Naranjal bagi menjalani pemeriksaan forensik.

Memetik laporan media tempatan pada Rabu, semua mangsa dipercayai lelaki berusia antara 16 hingga 22 tahun dan tujuh daripada lapan mangsa sudah dikenal pasti setakat ini.

Ahli keluarga mangsa yang dikenal pasti dilaporkan enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

Sementara itu, doktor forensik daerah berkenaan, Fidel Penaranda, memaklumkan kepala-kepala tersebut dipercayai dipenggal kira-kira 60 jam sebelum ditemukan.

Penemuan lapan kepala itu menjadikan jumlah keseluruhan yang ditemukan meningkat kepada 13, susulan lima kepala lain dijumpai tergantung di wilayah pantai pelancongan terkenal, Puerto Lopez, Manabi pada 11 Januari lalu. -Agensi

Artikel Lain