HASRAT seorang wanita menikmati makan malam pada Sabtu bertukar episod duka apabila dia mendakwa dikenakan caj selepas terpaksa membatalkan tempahan susulan kematian ahli keluarga terdekat.Wanita dikenali sebagai L itu sebelum ini membuat tempahan untuk dua orang di restoran mewah, namun membatalkannya pada Jumaat selepas saudara rapatnya meninggal dunia secara mengejut. Menurut L, dia menghubungi pihak restoran atas dasar ihsan dan memohon agar caj pembatalan diketepikan."Dalam keadaan masih bersedih, saya minta pertimbangan, tapi mereka tetap berpegang pada polisi 72 jam,” katanya.Kejadian dilaporkan berlaku di Singapura.Berdasarkan polisi restoran, pelanggan perlu membuat pengesahan kad kredit sebanyak S$200 (RM700) bagi setiap seorang untuk mengesahkan tempahan. Jika pembatalan dibuat kurang dari 72 jam, deposit berjumlah S$400 (sekitar RM1,400) tersebut akan hangus.L turut menawarkan untuk menjadualkan semula tempahan ke tarikh lain, namun pihak restoran memaklumkan bahan untuk menu khas malam itu sudah diperoleh dan disediakan lebih awal, dan tidak boleh digunakan semula.Menurut restoran berkenaan, caj pembatalan dikenakan bagi menampung kos bahan mudah rosak serta kehilangan pendapatan akibat ketidakhadiran pelanggan.L bagaimanapun mempersoalkan tindakan itu, malah mendakwa dia disarankan mencari individu lain untuk menggantikan tempatnya bagi mengelakkan caj dikenakan.“Kalau betul untuk tampung kos bahan, kenapa boleh dikecualikan kalau ada orang ganti?” soalnya.Tidak berpuas hati, L meninggalkan ulasan satu bintang di Google dan mendakwa restoran itu sepatutnya boleh mengisi kekosongan kerana Hari Valentine lazimnya penuh.Pihak restoran kemudian tampil membalas ulasan tersebut dengan menjelaskan tiada senarai menunggu pada hari berkenaan dan caj S$200 seorang adalah sebahagian daripada polisi yang dipersetujui ketika membuat tempahan.Mereka turut mendakwa L menggunakan kata-kata kesat ketika perbualan telefon.“Seperti mana kami mahu menunjukkan belas ihsan, anda juga perlu menunjukkan perkara sama kepada kami,” menurut kenyataan balas itu.-Agensi