suria
mStar - Urban.Versatil

Lima mayat didakwa hilang dari kubur, rupanya bukan kejadian pertama... Penduduk syak ada kaitan ilmu ghaib

Kes kehilangan mayat berkemungkinan berunsurkan jenayah atau perbuatan khianat. -Gambar hiasan AI

MISTERI kehilangan lima mayat yang digali dari kubur mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengarahkan siasatan terperinci.

Menurut polis, mayat-mayat berkenaan didapati hilang dari tapak pembakaran mayat di kampung Maninathpur yang terletak di tebing Sungai Baitarani, daerah Bhadrak, pada malam Khamis lalu.

Inspektor dari Balai Polis Bhandaripokhari, Rajlakshmi Nayak berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung pada Ahad berhubung kehilangan lima mayat tersebut.

"Saya telah menerima aduan daripada penduduk kampung Maninathpur mengenai kehilangan lima mayat dari tapak pembakaran mayat kampung," katanya.

Menurut beliau, kesemua mayat yang dilaporkan hilang adalah individu yang meninggal dunia dalam tempoh dua bulan lalu.

Difahamkan, ini bukan kejadian pertama berlaku di kampung tersebut. Pada tahun 2016 dan 2017, dua mayat dilaporkan digali semula dari kubur masing-masing. 

Selain itu, tiga lagi mayat turut dilaporkan hilang pada Jun 2023, menyebabkan penduduk tampil membuat laporan polis.

Penduduk kampung mengesyaki kehilangan tersebut mungkin ada kaitan dengan amalan ilmu ghaib, eksperimen saintifik atau tujuan lain yang tidak diketahui.

Mereka juga mendakwa pihak berkuasa sebelum ini tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap aduan yang dikemukakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bhadrak, Manoj Rout, telah mengarahkan pihak Balai Polis Bhandaripokhari menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian kehilangan mayat yang berulang kali itu.

Kes berkenaan kini dalam siasatan lanjut pihak polis. -Agensi

Artikel Lain