SEORANG lelaki tidak menyangka kegembiraannya memenangi hadiah utama pada majlis makan malam tahunan syarikat bertukar menjadi detik memalukan.Dia mendapati iPhone 17 Pro Max yang diterima pada Sabtu rupanya sekadar gurauan. Lelaki yang dikenali sebagai Jiang Jing dan pekerja lain pada mulanya yakin ia adalah telefon sebenar selepas menerima kotak telefon lengkap dengan beg jenama.Invois pembelian dengan harga 9,988 yuan (RM6,600) turut diberikan sekali bersama hadiah dalam kejadian di Guangdong, China itu.Teruja dengan kemenangan itu, dia memilih untuk membuka kotak berkenaan di rumah bagi membuat kejutan kepada isterinya.Namun sebaik sahaja dibuka, lelaki itu tergamam apabila mendapati isinya hanyalah dua coklat, tiga lolipop dan beberapa keping jubin seramik.“Saya sangka saya paling bertuah malam itu, rupanya saya yang paling ‘terkena’,” katanya menerusi video yang tular di media sosial.Menurut Jiang, gurauan tersebut adalah idea pengurus pasukannya dan bukannya keputusan rasmi syarikat tempatnya bekerja.Difahamkan, hadiah tempat kedua pada majlis sama hanyalah sebiji bantal.Walaupun mengakui tidak terlalu memerlukan telefon tersebut, Jiang berkata dia berasa dipermainkan dan menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada individu yang merancang gurauan berkenaan.-Agensi