suria
mStar - Urban.Versatil

Pemilik gudang buntu fikir mangkuk tandas hilang... Rupanya dicuri warga emas berusia 76 tahun! Dah 3 bulan guna di rumah sendiri

Seorang warga emas ditahan kerana mencuri mangkuk tandas dari sebuah gudang. -Gambar hiasan

MISTERI kehilangan sebuah mangkuk tandas dari sebuah gudang akhirnya terungkai apabila polis menahan seorang lelaki warga emas berusia 76 tahun yang mengaku mencurinya untuk kegunaan sendiri.

Pemilik gudang berkenaan sebelum ini melaporkan kehilangan sebuah mangkuk tandas dan tangki air pada November lalu. 

Kehilangan satu unit sahaja menimbulkan tanda tanya kerana barangan tersebut sukar dijual semula, apatah lagi tanpa dokumen sah. 

Tambahan pula, tandas yang diperbuat daripada porselin tidak mempunyai nilai lebur seperti logam, sekali gus menjadikan motif kecurian itu kelihatan ganjil.

Siasatan polis berdasarkan rakaman kamera keselamatan mendapati seorang lelaki telah memasuki gudang melalui pintu 'shutter' yang tidak berkunci sebelum melarikan mangkuk tandas tersebut. 

Suspek kemudian dikenal pasti sebagai Kumi Yotsumoto, penduduk Chiryu, sebuah bandar di Wilayah Aichi, Toyota City.

Ketika disoal siasat, Yotsumoto mengaku mencuri tandas berkenaan dan memberitahu bahawa dia telah memasangnya di rumahnya dan menggunakannya sejak tiga bulan lalu. 

Difahamkan, suspek mempunyai pengalaman bekerja sebagai tukang bina atau kontraktor yang terlibat dalam pembinaan rumah dan bangunan kediaman, yang memudahkannya memasang tandas tersebut sendiri.

Jarak antara Toyota City dan Chiryu adalah kira-kira 30 minit perjalanan dengan kereta, menimbulkan persoalan mengapa suspek sanggup pergi sejauh itu untuk mencuri tandas berkenaan.

Walaupun mengaku mencuri mangkuk tandas, Yotsumoto menafikan mengambil tangki air yang turut dilaporkan hilang. 

Polis dijangka menjalankan pemeriksaan lanjut, termasuk menyemak nombor siri komponen yang dipasang di rumah suspek bagi membantu siasatan.

Dari sudut perundangan, barangan curi sepatutnya dipulangkan kepada pemilik asal. 

Namun, memandangkan tandas tersebut telah digunakan selama beberapa bulan, besar kemungkinan pemilik gudang tidak lagi berminat untuk menerimanya semula.

Kes kini masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa. -Agensi

Artikel Lain