suria
mStar - Urban.Versatil

Wanita disergah warga emas ketika buat transaksi di mesin ATM, akhirnya terselamat jadi mangsa scammer

Scammer sering menggunakan ayat yang sama bagi menakutkan mangsa. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita hampir menjadi mangsa penipuan ketika sedang melakukan transaksi di mesin ATM, gara-gara menerima arahan daripada individu tidak dikenali menerusi panggilan telefon.

Kejadian itu bagaimanapun berjaya dielakkan selepas seorang lelaki warga emas yang berada di belakangnya bertindak menegur dan meminta wanita tersebut menyemak semula nombor akaun penerima sebelum wang dipindahkan.

Situasi yang berlaku itu diceritakan semula oleh pengguna Threads, Cik Shah yang turut berada di lokasi berkenaan.

"Aku tengah beratur ATM, depan aku ada akak nak transfer duit cepat-cepat dengan ikut arahan seseorang dalam telefon. 

"Tiba-tiba pakcik belakang aku tegur, dik, jangan tekan lagi... nada dia macam maki orang sampai semua pandang dia. 

"Tapi akak tu marah, pakcik ni apa hal masuk campur? Dan pakcik tu tak balas marah, dia cuma cakap, bagi saya dengar 10 saat," ujarnya berkongsi keadaan tersebut.

Tambahnya, pengulangan ayat "jangan beritahu sesiapa, ini kes rahsia , membuatkan pakcik tersebut menggeleng kepala sambil menyatakan individu dalam panggilan adalah scammer.

Pada masa sama, pakcik tersebut meminta supaya nombor akaun penerima dibacakan semula sebelum memaklumkan bahawa akaun tersebut dipercayai milik pihak ketiga.

"Pakcik tersebut minta akak tu menghubungi nombor rasmi bank dan bukan nombor yang diberikan pemanggil.

"Dalam tempoh tersebut, pihak bank mengesahkan ia merupakan cubaan scam dan menasihatkan supaya transaksi dihentikan serta-merta," tambahnya sambil menyatakan pakcik tersebut mengakui pernah menjadi mangsa scam.

Ramai yang terpedaya dengan taktik scammer. -Gambar hiasan

Ramai yang terpedaya dengan taktik scammer. -Gambar hiasan

Jika anda hampir atau sudah menjadi mangsa scam, ini langkah yang boleh diambil.

1. Hentikan transaksi segera

Jika wang belum dipindahkan sepenuhnya, batalkan atau hentikan proses tersebut serta-merta.

2. Hubungi nombor rasmi bank

Gunakan nombor di belakang kad ATM atau laman web rasmi bank. Jangan sesekali menghubungi nombor yang diberikan pemanggil.

3. Aktifkan fungsi pembekuan akaun

Kebanyakan bank menyediakan ciri keselamatan untuk menyekat transaksi sementara bagi mengelakkan kerugian lebih besar.

4. Hubungi talian 997

Laporkan segera kepada National Scam Response Center (NSRC) bagi tindakan pantas mengesan dan membekukan aliran wang.

5. Buat laporan polis

Laporan rasmi penting untuk siasatan lanjut serta rekod perlindungan undang-undang.

6. Simpan semua bukti

Rekod nombor telefon, tangkap layar perbualan, butiran transaksi serta masa kejadian sebagai rujukan.

 

Artikel Lain