SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun dipercayai membunuh ibu saudaranya selepas berlaku pertengkaran kecil di rumah mereka pada Ahad, 15 Februari lalu.Difahamkan suspek menetap bersama mangsa, Durga Bansod, 60, di Vasai, Maharashtra, India. Kes itu terbongkar pada Isnin apabila anak perempuan mangsa yang menetap di Boisar gagal menghubungi ibunya walaupun membuat panggilan berulang kali. Bimbang dengan keadaan itu, wanita berkenaan menghubungi abangnya yang tinggal berdekatan dan memintanya memeriksa keadaan ibu mereka.Menurut polis, kedua-dua telefon bimbit mangsa dipecahkan oleh suspek bagi menghalang sebarang panggilan dibuat terhadap mangsa.Setibanya di rumah, lelaki itu mendapati pintu pagar utama berkunci. Dia yang mengintai melalui tingkap, terkejut melihat kaki ibunya berlumuran darah di atas lantai bilik sebelum segera memaklumkan polis.Sepasukan polis yang tiba tidak lama kemudian berjaya memasuki rumah dengan menanggalkan kepingan tingkap bilik mandi.Siasatan awal mendapati kepala mangsa cedera parah dipercayai dipukul menggunakan batang buluh.Suspek yang turut berada di rumah dilihat dalam keadaan gementar, menutup muka dan berulang kali memandang ke arah bilik tempat mayat disorokkan.Keadaan itu sekali gus membuatkan pihak polis mengesyakinya sebagai pelaku jenayah berkenaan.Ketika disoal siasat, suspek menangis dan mengaku melakukan pembunuhan tersebut. Dia turut memberitahu dibantu seorang rakan bagi melupuskan mayat dan memusnahkan bukti.Menurut polis, motif kejadian berpunca daripada pertengkaran gara-gara televisyen di rumah mereka mengalami gangguan dan mangsa dilaporkan memarahi suspek.Berang dengan tindakan mangsa, suspek mengambil sebatang buluh dan memukul kepala sehingga mangsa rebah. Suspek dan rakannya kini ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak polis. -Agensi