Seorang mangsa yang terkena tembakan mendakwa dia dibenarkan pulang walaupun peluru tidak dikeluarkan ketika menerima rawatan. -Foto Channel7/Thaiger
IBU bapa kepada tiga remaja yang menjadi mangsa serangan individu tidak dikenali mendakwa sebuah hospital di Bangkok, Thailand gagal memberikan rawatan sewajarnya walaupun kecederaan yang dialami anak mereka begitu serius.Aduan itu disalurkan kepada setiausaha kepada Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia (M-Society), Thanakrit Jit-areerat, bagi mendapatkan perhatian pihak berkuasa. Menurut ibu bapa berkenaan, anak mereka yang berusia antara 15 hingga 16 tahun itu diserang sekumpulan lelaki ketika menunggang motosikal. Menurut mereka mangsa tidak mengenali penyerang dan menafikan mempunyai sebarang konflik sebelum ini.Dalam kejadian tersebut, seorang mangsa ditetak di kepala dengan pisau, seorang lagi ditembak di bahagian lengan, manakala mangsa ketiga mengalami kecederaan paling parah.Ibu kepada remaja yang ditembak mendakwa anaknya dibenarkan keluar hospital walaupun peluru masih berada di dalam lengannya.Mereka berpendapat peluru itu sepatutnya dikeluarkan terlebih dahulu sebelum dibenarkan pulang.Susulan aduan berkenaan, Thanakrit memaklumkan beliau telah berhubung dengan pihak hospital untuk mendapatkan penjelasan lanjut.Pihak hospital menjelaskan bahawa mangsa yang cedera di kepala telah menerima jahitan dan menjalani pemeriksaan sinar-X sebelum doktor mengesahkan keadaannya stabil dan boleh pulang.Bagi remaja yang terkena tembakan, hospital memaklumkan imbasan sinar-X tidak menunjukkan kerosakan pada tisu atau organ penting, dan tidak semua kes tembakan memerlukan pembedahan untuk mengeluarkan peluru.Bagaimanapun,Thanakrit berkata remaja yang terkena peluru itu akan dipindahkan ke Hospital Rajavithi untuk rawatan lanjut. -Agensi