suria
mStar - Urban.Versatil

HR cuba pecat jurutera elektrik ikut ‘pintu belakang’, telefon suruh hantar surat letak jawatan... Guna alasan buta warna!

Pekerja berhak mengetahui alasan dan sebab sekiranya diberhentikan kerja. -Gambar hiasan AI

TINDAKAN sebuah syarikat mengarahkan pekerjanya meletak jawatan secara mengejut tanpa alasan munasabah mengundang rasa tidak puas hati banyak pihak.

Difahamkan pekerja berkenaan diarahkan pihak sumber manusia (HR) untuk berbuat demikian hanya selepas dia selesai menjalani tempoh percubaan selama empat bulan.

"Kawan saya tiba-tiba kena panggil dengan HR dan dipaksa letak jawatan atau syarikat ambil tindakan dengan alasan dia tidak sihat daripada segi perubatan. Tapi kenapa tiba-tiba cakap macam tu selepas empat bulan probation?

"Kenapa tidak daripada awal? Lepas tu apabila kawan saya tak letak surat berhenti, esoknya terus hubungi lagi dan bagi masa dua jam je untuk putuskan atau syarikat sendiri akan hantar surat berhenti kerja," cerita seorang wanita di Thread.

Setiap syarikat mempunyai syarat dan peraturan berbeza perlu dipatuhi pekerja. -Gambar hiasan AI

Tambah pengadu, rakannya yang bekeja dalam bidang kejuruteraan elektrik meminta pihak syarikat yang beroperasi di Petaling Jaya itu mengemukakan alasan secara bertulis berhubung arahan supaya dia meletak jawatan sebelum bersetuju untuk berbuat demikian.

Namun, pihak HR memaklumkan tiada sebarang alasan bertulis akan diberikan dan memutuskan untuk meneruskan dengan mengeluarkan surat penamatan perkhidmatan.

Bagaimanapun pekerja tersebut akhirnya hanya diberikan surat tidak disahkan jawatan (not confirmed) sebelum perkhidmatannya ditamatkan pada hari sama.

"Yang liciknya, siap pesan jangan WhatsApp. apa-apa terus call. Tak nak kena report dekat JTK (Jabatan Tenaga Kerja) ke? Teruk betul pihak pengurusan macam ni.

"Sudahlah bagi kerja mengarut tak kena dengan skop kerja. Suruh buat perangkap tikus? Apa yang mengarut sangat," jelas individu berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja tak puas hati dipaksa hadir program hujung minggu, HR minta utamakan syarikat sebelum keluarga

ARTIKEL BERKAITAN: Staf Gen Z berhenti kerja selepas sehari lapor diri... Merajuk ditegur tak pandai mengira - “Dia kata kami tak mahu ajar”

Kongsi individu itu lagi, pihak syarikat menggunakan alasan buta warna bagi menyokong tindakan mereka untuk tidak mengesahkan jawatan pekerja terbabit.

Namun alasan berkenaan dikatakan cukup meragukan.

"HR kata sebab buta warna, tapi itu ujian pra-pekerjaan dan dibuat di klinik panel juga. Sepatutnya dalam bulan pertama dah tahu. Tapi kenapa masih kekalkan sampai bulan keempat?

"Apabila ditanya, HR jawab sebab nak bagi pengalaman bekerja di sini. Tapi apabila semak surat tawaran kerja, tak ada pun dinyatakan secara khusus tentang isu buta warna.

"Apabila ditanya lagi, dia kata ia merangkumi semua. Sedangkan ada rakan sekerja lain yang pegang jawatan sama dengan kawan saya, walaupun buta warna, tiada masalah pun," katanya.

Perkongsian kisah tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya menyarankan agar perkara itu dirujuk kepada JTK.

"Nak berhenti kerja boleh, tapi tulis dalam surat dipaksa atau disuruh untuk berhenti tanpa sebab.

"Sebenarnya kalau jenis suruh call terus memang dia sudah rancang tu dan dia akan fikir ke depan sebab memang dia tahu akan kena report dekat JTK.

  • Pekerja dipaksa letak jawatan selepas empat bulan probation.
  • Diberi tempoh dua jam sebelum diugut dengan surat penamatan.
  • Isu rabun warna dibangkitkan walaupun ujian dibuat awal.
  • Alasan bertulis tidak diberikan pihak HR.
  • Netizen gesa rujuk kes kepada JTK.

"Lepas ni kena berhubung melalui mesej dan jangan jawab call sebagai bukti. Tapi sakitnya kena macam ni, semoga terus bertabah," komen beberapa netizen.

Cara tuntut bela melalui JTK

JTK akan menyiasat aduan-aduan perburuhan di antara pekerja dan majikan bagi memastikan pematuhan majikan terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan.

Pekerja boleh memfailkan aduan berhubung pelanggaran terma dan syarat perkhidmatan atau apa-apa isu lain yang berkaitan pekerjaan.

Pengadu boleh membuat aduan melalui pelbagai kaedah termasuk melalui surat, e-mel, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), Aplikasi Working for Workers (WFW) atau hadir sendiri ke Pejabat Tenaga Kerja yang berdekatan.

Maklumat yang diperlukan untuk membuat aduan adalah seperti berikut:

-Butiran lengkap pengadu

-Butiran lengkap pihak yang diadu 

-Isu-isu aduan

-Salinan dokumen sokongan seperti surat lantikan atau kontrak perkhidmatan dan penyata gaji terkini.

Artikel Lain