suria

Anak pelik ‘bapa T20’ berkira duit dengan keluarga, pakai pun baju bundle... tapi pemurah dengan masyarakat - “Ayah berbelanja macam orang susah”

Bapa Han mengamalkan gaya hidup sederhana dengan membeli baju bundle dan menggunakan kereta Axia. foto baju bundle (gambar hiasan) foto ONG SOON HIN/The Star

BUKAN semua orang dilahirkan dengan kesenangan dan kemewahan.

Begitulah senario yang dialami oleh seorang pemuda yang dilahirkan dari keluarga B40 iaitu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dengan pendapatan di bawah RM4,849.

"Ayah aku pernah hidup dari golongan B40 berasa miskin cabok bawa van buruk (masa aku baru lahir) sampailah direzekikan ke T20 sekarang ni. Tapi walaupun sekarang gaji dia dah lima angka, dia hanya bawa Axia, downgrade dari Alza. Pakai telefon pun harga RM400. Aku kadang pelik," tulisnya menerusi satu ciapan di laman Twitter sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terdiam gambar konvo tadika RM20, tarik tangan anak tinggalkan dewan - "Tu motosikal bos dia, pinjam nak pergi konvo"

ARTIKEL BERKAITAN: Yuran tertangguh malu nak minta mak ayah, nasib baik anak Tuaran ini kreatif... duit jual gelang penyelamat pelajar UPSI

Berkongsi pengalaman, pemuda berkenaan berkata, bapanya yang berasal dari Felda Ulu Tebrau di Johor bermula mencari pendapatan sampingan di ladang kelapa sawit.



Perkongsian Han di laman Twitter.

Hanya mahu dikenali sebagai Han, katanya, bapanya kemudian menyambung pengajian di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) di Segamat, Johor sebelum bertugas sebagai guru.

"Masa ayah jadi guru pun gaji dia masih rendah. Masih dalam golongan B40. Dari pakai motosikal, ke van lama ke kereta Kancil.

"Sekarang ni selepas hampir 30 tahun, ayah masih bergelar guru. Dengan gajinya sekarang dicampur elaun dan bisnes hartanah yang dilakukannya, ayah masuk kumpulan T20 dengan sumber pendapatan lima angka," ujar pemuda berusia 24 tahun itu kepada mStar.

Walaupun kini boleh dikatakan hidup semakin senang, Han berkata, bapanya bersikap merendah diri dengan mengekalkan amalan gaya hidup sederhana.

"Dari pakai kereta Alza, tukar kepada Axia. Ayah kata sebab bayaran ansuran bulanan lebih rendah. Lagipun kata ayah, sekarang tiada keperluan untuk membawa ramai orang dalam satu kereta. Saya sendiri sudah ada kereta sendiri,” ujarnya yang berasal dari Johor Bahru.



Bapa Han hidup susah dengan memulakan pekerjaan di ladang kelapa sawit. -gambar hiasan / foto KAMARUL ARIFFIN/The Star

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, gaya hidup serba sederhana itu bukan sahaja dipraktikkan untuk bapanya sendiri, malah buat seisi keluarga.

"Cara ayah berbelanja macam orang susah, dia tidak bermewah-mewah. Kalau masuk kedai baju bundle (pakaian terpakai) tu dah biasa bagi kami sekeluarga, baju harga serendah RM5.

"Kalau anak-anak minta mainan punyalah susah, tapi kalau bab pendidikan... ayah memang tak berkira. Cakaplah nak beli buku apa pun, ayah okay sangat siap nak yang berkualiti," tambahnya.

Setiap benda kami kena usaha sendiri walaupun ayah ada je duit. Ayah tak pernah kasi duit senang-senang macam tu je sebab dia pernah hidup susah

HAN

Han yang bekerja sendiri berkata, bapanya mendidik anak-anak untuk berusaha bagi mendapatkan sesuatu selain memberikan ganjaran sekiranya cemerlang dalam pelajaran.

"Setiap benda kami kena usaha sendiri walaupun ayah ada je duit. Bila saya dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan di sekolah, ayah belikan saya konsol video game (permainan video).

"Saya juga buat simpanan daripada duit belanja untuk beli telefon. Bila ayah tahu saya dah kumpul separuh, ayah top up (tambah) untuk belikan saya telefon yang baru.

"Ayah tak pernah kasi duit senang-senang macam tu je sebab dia pernah hidup susah, kena masuk ladang angkat buah sawit sehingga berjaya kumpul duit beli motor RXZ," katanya.



Dari anak Felda menjadi kumpulan B40, bapa Han kini bergelar T20.

Namun, apa yang paling membuatkan Han begitu kagum dengan bapanya adalah sikapnya yang pemurah dan bertolak ansur walaupun berada dalam kelompok T20.

Mengulas lanjut, bapanya menyediakan rumah sewa dengan kadar sewa bulanan hanya RM300 berbanding kadar sewa purata di kawasan sekitar antara RM700 hingga RM850.

"Ayah kenakan kadar sewa RM300, tapi ayah bayar RM400 untuk ansuran rumah teres satu tingkat tu. Ayah tak ambil untung pun.

"Penyewa pula sejak tahun lepas kehilangan kerja kesan daripada pandemik Covid-19, sampai tak dapat bayar sewa. Tapi ayah kata tak perlu bayar sewa dahulu sehinggalah penyewa tu dapat kerja nanti.

"Ayah kata kalau ada rezeki lebih, tolonglah mereka yang memerlukan. Ada duit lebih jangan sibuk nak hidup bergaya, tapi bila masyarakat susah, kita tak dapat tolong," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain