suria

Yuran tertangguh malu nak minta mak ayah, nasib baik anak Tuaran ini kreatif... duit jual gelang penyelamat pelajar UPSI

Gambar kanan menunjukkan Rafhanah menggunakan hasil jualan gelang mutiaranya untuk membiayai yuran pengajian dan perbelanjaannya. Gambar kiri pula ketika dia menamatkan pengajian peringkat Diploma di UPSI. Foto ihsan Rafhanah Manja@Ridzwan.

PERASAAN gementar pada hari keputusan peperiksaan dikeluarkan pastinya dirasai oleh semua pelajar pusat pengajian tinggi termasuklah ketika membuat semakan secara dalam talian.

Namun malang bagi seorang gadis kerana tidak berpeluang untuk menyemak keputusan peperiksaannya disebabkan masih belum melunaskan tunggakan bayaran yuran.

Jadi, tentu sekali wujud perasaan bercampur baur antara teruja dan tidak kerana memikirkan keperluan melangsaikan hutang bagi membolehkan keputusan disemak. Akhirnya dia terpaksa menjual gelang kesayangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang lupakan kereta idaman, adik jual motor... 2 anak KL cari rezeki di Pantai Timur - “Dulu kerja orang jantan sekarang perah santan”

ARTIKEL BERKAITAN: Guru sebak terlihat ‘sisi’ lain pelajarnya ketika bertembung adik, selama ini hanya dianggap penghibur kelas

“Saya tak tak dapat tengok keputusan hari ini sebab tak habis bayar yuran dan malu nak minta duit mak ayah. Jadi saya ada jual gelang swarovski inspired! Memang cantik sangat,” tulis gadis itu di laman Twitter sehingga menjadi tular.


Rafhanah tidak dapat menyemak keputusan peperiksaan kerana terdapat tunggakan bayaran yuran pengajian.

Gadis berkenaan, Rafhanah Manja@Ridzwan berkata, dia sepatutnya mahu menyemak keputusan peperiksaan di laman web pelajar, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), tetapi menurut status kewangan di laman berkenaan, dia masih mempunyai tunggakan baki yuran sebanyak RM804.

Pelajar berusia 23 tahun itu mengakui sedih kerana tidak dapat menyemak keputusan pada hari berkenaan tetapi cuba bersikap positif dengan berusaha untuk menyelesaikannya menerusi inisiatif sendiri. 

“Bukan saya tak mahu minta duit daripada mak ayah, tapi saya tak nak menyusahkan mereka. Saya ada lima adik yang masih belajar yang menjadi tanggungan mak ayah.


Rafhanah turut menjual gelang mutiara di gerai sekiranya berpeluang untuk berbuat demikian.

“Sebagai anak sulung, saya perlu berusaha sendiri untuk meringankan beban mereka. Jadi, saya jual gelang home made sebagai punca pendapatan,” katanya kepada mStar.

Rafhanah yang berasal dari Tuaran, Sabah berkata, dia mula berjinak-jinak dengan perniagaan gelang mutiara secara dalam talian sejak 2015.

Hasil jualan itu digunakannya untuk membiayai yuran dan perbelanjaannya apabila menyambung pengajian dari peringkat diploma di UPSI di Tanjung Malim, Perak.

Saya sebenarnya tak suka orang memberikan bantuan kepada saya tanpa sebab. Bila ada yang bagi duit macam tu je, saya tanya ‘tak nak beli gelang ke?

RAFHANAH

“Saya jual gelang menggunakan mutiara dari Sabah. Kalau saya usaha lebih, keuntungan sebulan boleh mencecah sehingga RM3,000.

“Cukuplah untuk saya tampung perbelanjaan saya. Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan kerana saya belajar sepenuh masa,” ujar pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Biologi) itu.

Antara gelang dan aksesori yang dihasilkan Rafhanah.

Dia bagaimanapun menjelaskan ia bukanlah kali pertama mengalami masalah tunggakan bayaran, kerana pernah melaluinya sebelum ini.

Sehubungan itu, Rafhanah perlu berusaha lebih keras untuk mendapatkan pelanggan yang berminat dengan gelang mutiara yang direka sendirinya.

“Saya datang daripada keluarga yang sederhana, tak ada la susah dan tak juga senang. Minat berniaga ini membuat saya mahu mencari pendapatan sendiri,” ujarnya sambil menambah ibu dan bapanya masing-masing bertugas sebagai guru dan operator dandang (boiler).

Rafhanah akhirnya dapat melunaskan tunggakan baki yuran pengajiannya.

Menurut gadis itu, terdapat beberapa pihak yang sudi memberi sumbangan kewangan tanpa mahu membeli gelangnya sejak perkongsiannya di laman sosial menjadi tular.

“Saya sebenarnya tak suka orang memberikan bantuan kepada saya tanpa sebab. Bila ada yang bagi duit macam tu je, saya tanya ‘tak nak beli gelang ke?’.

“Mak ayah sendiri pun saya malu nak minta duit, apatah lagi dengan orang yang saya tak kenal,” katanya.

Rafhanah berkata, dia akhirnya berjaya melunaskan bayaran tunggakan yurannya pada petang Jumaat, dua hari selepas membuat posting berkenaan.

“Tapi saya masih belum semak keputusan sebab baru buat pembayaran, mungkin Isnin depan baru bayaran tu diproses memandangkan cuti umum pada Sabtu dan Ahad,” ujarnya.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
UPSI, yuran, gelang, mutiara, dandang, Tuaran

Artikel Berkaitan

Artikel Lain