suria

Bau memang ‘copy ori’ tapi hati-hati... Pusat Racun Negara senarai 5 bahan berisiko dalam minyak wangi tiruan

Elakkan daripada membeli barang tiruan termasuklah minyak wangi. -Gambar hiasan AI

PASARAN minyak wangi dengan harga mampu milik semakin meluas sehingga ada dijual pada harga serendah RM10 sebotol.

Tidak hanya kerana harganya yang murah, kebanyakan minyak wangi ini datang dalam pelbagai variasi haruman jenama terkenal dengan bau 'copy ori' yang jauh lebih mahal harganya.

Namun di sebalik harga murah itu, pengguna sebenarnya perlu berhati-hati terhadap kandungan bahan kimia yang mungkin memberi kesan kepada kesihatan tanpa disedari.

Menurut Pusat Racun Negara, terdapat beberapa bahan berisiko tinggi yang mungkin digunakan dalam pembuatan minyak wangi tiruan dan ini termasuk;

1. Phthalate

Bahan ini digunakan untuk menstabilkan dan memanjangkan ketahanan bau minyak wangi. 

Namun, jenis tertentu seperti DBP dan DEHP dikenal pasti sebagai pengganggu hormon (endocrine disruptor) yang boleh menjejaskan keseimbangan hormon dalam badan.

Pendedahan berpanjangan dikaitkan dengan masalah kesuburan, gangguan perkembangan janin serta risiko kerosakan hati dan buah pinggang selain reaksi seperti ruam kulit, sesak nafas dan sakit kepala terutama bagi individu yang sensitif.

2. Paraben

Paraben digunakan sebagai bahan pengawet untuk menghalang pertumbuhan bakteria dan kulat dalam produk seperti minyak wangi. 

Namun, ia boleh bertindak menyerupai hormon estrogen dalam badan, sekali gus berpotensi mengganggu keseimbangan hormon.

Pendedahan berterusan dikaitkan dengan risiko gangguan reproduktif dan kebimbangan terhadap kaitannya dengan kanser payudara, walaupun bukti kajian masih belum dapat dipastikan. 

Pastikan minyak wangi yang dibeli bebas daripada bahan boleh membahayakan kesihatan. -Gambar hiasan

3. Benzene

Benzene ialah bahan pelarut yang boleh ditemukan dalam minyak wangi murah atau palsu serta sebagai pencemar daripada bahan mentah berkualiti rendah. 

Ia diklasifikasikan sebagai karsinogen yang berbahaya kepada manusia kerana dikaitkan dengan leukemia serta gangguan darah lain.

Pendedahan berpanjangan boleh menjejaskan sumsum tulang, mengganggu penghasilan sel darah serta melemahkan sistem imun.

4. Formaldehid

Formaldehid digunakan untuk mengekalkan ketahanan produk dan bau namun ia boleh menyebabkan iritasi mata, hidung dan tekak walaupun pada pendedahan rendah.

Pendedahan berterusan boleh mencetuskan masalah pernafasan seperti paru-paru, terutama bagi individu yang sensitif atau penghidap asma. 

Dalam jangka panjang, ia turut dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser saluran pernafasan seperti hidung dan tekak.

5. Metanol

Metanol dan ialah alkohol toksik yang kadangkala digunakan sebagai alternatif murah dalam minyak wangi tiruan. 

Berbeza dengan alkohol kosmetik biasa, bahan ini berbahaya kepada tubuh.

Pendedahan boleh menjejaskan sistem saraf, merosakkan organ dalaman serta memberi kesan kepada penglihatan hingga berisiko menyebabkan buta. 

Dalam kes serius, ia boleh membawa kepada keracunan yang mengancam nyawa.

Jelas Pusat Racun Negara, pengguna disarankan memilih minyak wangi daripada jenama dipercayai serta berdaftar, dan mengelakkan produk tiruan atau tanpa label kandungan.

Pengguna juga dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan harga terlalu murah, melakukan ujian pada kulit sebelum penggunaan serta memastikan penyimpanan yang selamat. 

Kesedaran terhadap risiko bahan kimia perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kesan buruk terhadap kesihatan dan nyawa.

Artikel Lain