MENCABUT bulu hidung menggunakan penyepit boleh membawa risiko kesihatan serius jika dilakukan tanpa pengetahuan yang betul.Perkongsian oleh Public Health Malaysia menjelaskan bahawa tabiat ini wajar dihentikan segera kerana ia melibatkan kawasan sensitif pada wajah dikenali sebagai 'Segitiga Kematian' (Triangle of Death). Kawasan tersebut merangkumi bahagian dari pangkal hidung di antara dua mata hingga ke kedua-dua bucu bibir atas, membentuk seakan-akan segi tiga.Apa yang membimbangkan, salur darah di kawasan ini mempunyai sambungan langsung ke rongga di pangkal otak, dikenali sebagai sinus kavernosus (cavernous sinus).Dari sudut perubatan, mencabut bulu hidung secara paksa akan menarik keluar akar bulu tersebut dan meninggalkan luka mikroskopik yang terbuka.Luka ini menjadi 'pintu masuk' kepada bakteria, memandangkan rongga hidung sememangnya dipenuhi kuman, debu dan mikroorganisma yang ditapis daripada udara sekeliling.Apabila bakteria memasuki folikel yang tercedera, ia boleh menyebabkan jangkitan seperti bisul di dalam hidung.Lebih membimbangkan, jika jangkitan tersebut merebak ke dalam salur darah di kawasan Segitiga Kematian, kuman berpotensi bergerak terus ke otak.Keadaan ini boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti jangkitan selaput otak (meningitis), pembentukan nanah di otak, gangguan penglihatan sehingga buta, koma, malah dalam kes tertentu boleh membawa maut.Walaupun kes kematian jarang dilaporkan, risikonya tetap nyata dan tidak boleh dipandang ringan.Sehubungan itu, orang ramai disarankan untuk menguruskan bulu hidung dengan cara yang lebih selamat seperti berikut:1. Trim (potong), jangan cabutGunakan gunting kecil khas yang mempunyai hujung tumpul untuk memotong bulu hidung yang terkeluar tanpa mencederakan kulit atau akar bulu.2. Gunakan alat pemotong bulu hidungAlat 'nose hair trimmer' berkuasa bateri lebih selamat kerana ia hanya memotong bahagian luar bulu tanpa menjejaskan folikel.3. Elakkan kaedah waxingJangan sesekali mencabut bulu hidung secara menyeluruh sama ada di salun kecantikan atau menggunakan kit sendiri di rumah kerana ia boleh mencetuskan risiko jangkitan.Secara asasnya, bulu hidung memainkan peranan penting sebagai penapis semula jadi yang menghalang habuk dan kotoran daripada memasuki saluran pernafasan.Justeru, usaha untuk kelihatan kemas tidak seharusnya mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan.