suria

Tiada siapa perasan! Seluar dalam ajaib mampu tapis 99 peratus bau kentut, boleh ‘melepas’ tanpa was-was

Bau kentut yang busuk boleh mengundang ketidakselesaan kepada orang sekeliling. -Gambar hiasan AI (kiri)

SEBUAH jenama pakaian dalam antarabangsa tampil dengan inovasi luar biasa dengan memperkenalkan produk didakwa mampu menangani bau kentut secara efektif.

Pelancaran Shinesty Fart-Blocking Underwear juga didakwa sebagai pakaian dalam pertama di dunia direka khas untuk meneutralkan bau kentut sehingga 99 peratus pada peringkat molekul.

Menurut syarikat itu, teknologi digunakan terletak pada gentian fabrik pakaian dalam, di mana proses peneutralan bau berlaku melalui mekanisme elektrostatik yang inovatif.

ARTIKEL BERKAITAN: Patutlah baju cepat pudar, bau hapak! Ramai asal boleh je sidai pakaian, rupanya teknik ‘terbalik’ simpan 4 rahsia besar

Ketua Pegawai Eksekutif Shinesty, Chris White berkata, produk tersebut dihasilkan bagi menangani isu yang sering dianggap sensitif namun dialami oleh semua orang.

"Semua orang kentut, tetapi tiada siapa mahu dikenang kerananya. Kami tidak berhasrat untuk menghentikan kentut, sebaliknya mahu menghentikan kesannya," katanya.

Dalam pada itu, satu kajian dijalankan penyelidik dari University of Maryland mendapati purata individu melepaskan gas sebanyak 32 kali sehari, sekali gus menunjukkan isu tersebut adalah perkara normal dalam kehidupan seharian.

Mengulas lanjut, Shinesty menjelaskan bahawa pakaian dalam tersebut berfungsi dengan menukar gas penyebab bau kepada garam yang tidak berbau apabila ia melalui fabrik khas berkenaan. 

Teknologi tersebut menggunakan rawatan peneutralan bau elektrostatik yang disasarkan khusus kepada molekul penyebab bau.

Menariknya, keberkesanan fabrik itu boleh dikekalkan dengan hanya mencucinya seperti biasa, di mana proses cucian akan mengaktifkan semula cas elektrostatik untuk memastikan fungsi peneutralan bau terus optimum.

Produk inovatif itu dibangunkan dengan kerjasama syarikat teknologi dari Switzerland, Livinguard Technologies, yang mengambil masa kira-kira lima tahun bagi membangunkan teknologi kawalan bau tersebut.

Keberkesanan pakaian dalam ini turut diakui oleh Intertek, syarikat multinasional dalam bidang jaminan, pemeriksaan, pengujian produk dan pensijilan, yang mengesahkan produk tersebut mampu meneutralkan sehingga 99 peratus bau.

Artikel Lain