suria

Hanya bermodalkan kerajinan, wanita kongsi resipi jus ‘shot’ 4 bahan... “Bukan setakat merah-merah, auto glowing”

Selain menyihatkan kulit, jus shot mempunyai banyak kebaikan seperti membantu proses penghadaman. -Foto Threads @chesalwanieyyy

MENJELANG sambutan Hari Raya Aidilfitri pelbagai petua kecantikan mula dikongsikan di media sosial.

Daripada tip penjagaan kulit sehinggalah kepada amalan pemakanan sihat, ramai tidak mahu melepaskan peluang tampil berseri ketika bertemu keluarga serta rakan-rakan pada hari raya.

Antara mencuri perhatian ialah perkongsian seorang pengguna di aplikasi Threads, @chesalwanieyyy berkongsi resipi ringkas membuat jus ‘shot’ menggunakan bahan semula jadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Sempat lagi nak ‘prep’ wajah menjelang Aidilfitri... Ini cara elak kulit kusam walau berpuasa, barulah ‘glowing’ di pagi raya!

"Hanya bermodalkan kerajinan dan kecekalan untuk buat jer, confirm raya ni kulit bukan setakat merah-merah, tapi auto glowing sekali," katanya.

Berikut adalah bahan-bahan dan cara penyediaannya:

Bahan-bahan

Sebatang lobak merah

Sebiji lemon

Sebiji oren

Tiga inci halia

Cara penyediaan

1. Potong semua bahan di atas kepada saiz kecil bagi memudahkan proses mengisar.

2. Masukkan kesemua bahan ke dalam pengisar jus bersama segelas air minum.

3. Kisar sehingga semua bahan menjadi lumat.

4. Tapis jus ke dalam jag, kemudian tuangkan ke dalam botol kecil. Kuantiti bahan tersebut boleh menghasilkan kira-kira lima botol kecil jus shot.

5. Simpan di dalam peti ais dan minum satu botol setiap hari.

Buah-buahan yang dipotong kecil dikisar bersama segelas air. 

Selain bahan yang digunakan dalam resipi tersebut, sebenarnya terdapat pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang sering dijadikan jus shot. 

Antaranya termasuk nanas, epal hijau, ubi bit, timun serta kunyit yang masing-masing mempunyai manfaat tersendiri untuk kesihatan dan kecantikan.

Amalan meminum jus shot semakin popular kerana ia dipercayai memberikan pelbagai kebaikan kepada tubuh badan jika diambil secara konsisten, seperti:

Meningkatkan sistem imun

- Bahan seperti lemon, halia dan kunyit kaya dengan antioksidan serta vitamin C yang membantu menguatkan sistem imun badan.

Meningkatkan tenaga

- Kandungan nutrien dalam jus shot mampu memberikan rangsangan tenaga secara semula jadi tanpa kesan sampingan seperti minuman berkafein.

Membantu penghadaman

- Bahan seperti halia, nanas dan lemon sering digunakan kerana ia membantu memperbaiki sistem penghadaman.

Menyokong proses detoksifikasi

- Bahan seperti oren, lemon atau ubi bit yang membantu tubuh menyingkirkan toksin, sekali gus memberi kesan positif kepada kesihatan kulit dan badan secara keseluruhan.

Artikel Lain