suria

Lima tahun simpan kasut dalam kotak, sayang nak pakai... Sampai masa mahu bergaya tapak pula hancur berderai

Tapak kasut milik individu ini hancur selepas dipakai.

TULAR di media sosial tentang kasut milik seorang individu yang tapaknya kelihatan hancur berderai ketika dipakai.

Menerusi dua keping foto yang dikongsikan, tapak kasut tersebut dilihat reput sehingga meninggalkan serpihan seperti serbuk di lantai.

Menurut individu berkenaan kasut itu disimpan di dalam kotak selama lima tahun sebelum dipakai untuk acara tertentu, namun ia akhirnya rosak ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Situasi itu sebenarnya bukan sesuatu yang pelik, sebaliknya berkait rapat dengan proses sains dikenali sebagai hidrolisis.

Menurut Safety Jogger, kebanyakan kasut moden menggunakan bahan poliuretana (PU) pada bahagian tapak. 

Bahan itu digunakan pada kasut kerana ringan, fleksibel, tahan lasak serta mampu menyerap hentakan.

Namun begitu, PU mempunyai kelemahan tersendiri apabila berdepan proses penuaan yang dipanggil hidrolisis.

Hidrolisis adalah satu tindak balas kimia yang berlaku apabila molekul dalam bahan tersebut terurai akibat pendedahan kepada kelembapan, terutamanya wap air.

Proses ini berlaku secara perlahan dalam tempoh beberapa tahun, walaupun kasut hanya disimpan dan tidak dipakai.

Keadaan menjadi lebih cepat rosak apabila disimpan di tempat panas dan lembap, seperti dalam iklim tropika atau ruang tertutup yang kurang pengudaraan seperti rak atau laci.

Dalam keadaan paling teruk, tapak kasut akan kehilangan kekuatan sepenuhnya sebelum mula retak, pecah dan akhirnya hancur menjadi serbuk seperti yang dikongsikan.

Artikel Lain