suria

Bukan sekadar genetik, rupanya ini ‘rahsia’ orang Cina miliki kulit cantik... Atikah Suhaime siap kongsi resipi ibu mentua!

Atikah mendedahkan rahsia kulitnya semakin licin selepas berumah tangga.

UMUM mengetahui bahawa masyarakat Cina sering dikaitkan dengan kulit yang licin, cerah dan tampak sihat sehingga sering menjadi bualan serta pujian ramai.

Namun di sebalik kelebihan tersebut, timbul persoalan sama ada ia sekadar faktor genetik semata-mata atau sebenarnya dipengaruhi oleh amalan gaya hidup tertentu yang diamalkan sejak sekian lama.

Menerusi media sosial, beberapa individu tampil berkongsi pemerhatian dan pengalaman mereka, secara tidak langsung memberi gambaran tentang amalan yang mungkin menjadi antara ‘rahsia’ di sebalik keadaan kulit yang cantik dalam kalangan orang Cina.

Seorang wanita menceritakan pengalamannya ketika bersekolah, di mana dia sering melihat rakan-rakan berketurunan Cina membawa bekalan makanan yang ringkas tetapi sihat. 

Menu seperti nasi bersama sup jernih, sup herba, sayur-sayuran, kekacang serta lauk yang dimasak tanpa minyak berlebihan menjadi pilihan harian. 

Masyarakat Cina memang terkenal dengan sup rempah ratus yang kaya dengan khasiat. -Gambar hiasan AI

Malah, mereka juga dilihat kurang mengambil makanan berempah seperti sambal tumis atau kari.

Menurutnya lagi, tabiat minum air kosong dalam kuantiti yang banyak juga antara perkara paling ketara, apabila sebotol air bersaiz besar mampu dihabiskan dalam tempoh separuh hari sahaja.

Seorang lagi individu berkongsi perspektif berbeza selepas dia mendalami bidang penjagaan kulit dan kesihatan. 

Hasil pemerhatian serta pergaulan rapat dengan rakan-rakan berketurunan Cina, dia mendapati mereka sangat menekankan aspek pemakanan seimbang serta pengambilan makanan tambahan untuk kesihatan.

Katanya, kebanyakan hidangan yang diamalkan lebih tertumpu kepada protein, sayur-sayuran dan buah-buahan, dengan pengambilan karbohidrat yang lebih terkawal.

Walaupun pada awalnya kelihatan asing, namun diet sedemikian didapati memberi rasa kenyang yang lebih lama serta memberi kesan positif terhadap kesihatan tubuh secara keseluruhan.

Atikah mendirikan rumahtangga dengan Lokman sejak dua tahun lalu.

Selain itu, amalan mengurangkan makanan bergoreng dan konsisten mengambil suplemen juga dilihat sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

Selain itu, pelakon Datin Atikah Suhaime turut berkongsi pengalaman peribadi selepas mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Datuk Lokman Teh yang berketurunan Cina pada 21 Januari 2024.

Menurut Nur Atikah Mohd Suhaime, 34, antara perubahan yang ketara adalah amalan pengambilan sup yang disediakan oleh ibu mentuanya. 

Sup berasaskan ayam yang direbus dalam tempoh lama bersama kurma merah itu dikatakan memberi kesan positif terhadap kulitnya, menjadikan ia lebih licin.

Tambahnya, sup tersebut disediakan tanpa perasa tambahan seperti garam, namun kaya dengan khasiat semula jadi yang dipercayai menyumbang kepada kesihatan dalaman termasuk keadaan kulit.

Walaupun perkongsian ini bersifat pengalaman individu, ia menunjukkan faktor seperti pemakanan seimbang, pengambilan air mencukupi serta gaya hidup sihat memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti kulit seseorang.

Artikel Lain