suria

Bakal genggam segulung ijazah, Queen of Part Timer ini dah berjaya kumpul 6 uniform kerja - “Saya mahu kaya pengalaman”

Video TikTok yang dikongsikan Nurin menunjukkan dia mengenakan pakaian seragam ketika bekerja sambilan di lokasi berlainan.

TAK kaya duit tak apa, asalkan kaya pengalaman.

Bekerja secara sambilan ketika musim cuti semester untuk mencari seberapa banyak pengalaman bukanlah sesuatu yang baru bagi penuntut universiti.

Selain ingin mencari duit poket, siswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Puncak Alam yang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Insurans ini berkata dia mempunyai alasan tersendiri untuk tidak duduk di rumah sahaja setiap kali cuti semester.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan glamor setiap masa! Model sambilan buat pengakuan ikhlas, tak malu dedah dirinya kerja cleaner, cuci tandas - “Orang tak tahu apa kita lalui”

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah buat 2 kerja sambil belajar, pelajar tak datang konvo hanya sebab gagal dapat anugerah dekan kini raih jualan RM40,000 sebulan - “Pendidikan tetap penting”

Menariknya, Nurin Alina Abdul Halim, 22, pernah bekerja sambilan di enam tempat berlainan setiap kali cuti semester bagi mendapatkan pengalaman berbeza.

"Queen of part timer," tulisnya di kapsyen Video TikTok yang tular.

Pelajar yang menetap di Kota Damansara, Selangor itu berkata dia langsung tidak menyangka videonya akan tular kerana ia dihasilkan selepas mendapat insipirasi menerusi satu video menarik yang memaparkan fesyen baju yang bertukar-tukar.

Ketika sedang mengemas biliknya, dia terjumpa kesemua baju yang pernah dipakai untuk bekerja dan secara tiba-tiba timbul rasa rindu terhadap tempat kerja lama. Oleh itu, tercetuslah idea video bertukar-tukar baju seragam kerja sambilannya.



Nurin (dua, kanan) bersama rakan sekerja di restoran Nandos.

Sehingga kini video tersebut mendapat 33,000 tanda suka dan 900 komen dalam kalangan pengguna aplikasi TikTok.

"Saya betul-betul tak sangka video itu boleh viral. Saya rasa banyak lagi video yang menarik dan style.

"Idea nak rakam video itu tercetus apabila saya mendapat inspirasi daripada Chemell yang popular di TikTok.

"Saya tak pandai berfesyen, cuma banyak baju kerja sahaja," ujarnya.

Lebih mesra disapa Nurin, katanya dia mula bekerja sambilan sejak usianya 18 tahun lagi.

Tambahnya lagi, setiap kali cuti semester dia pasti bekerja sambilan untuk mencari pengalaman baharu kerana baginya ia sangat berguna di masa akan datang.



Gadis yang gemar menimba pengalaman kerja ini juga mempunyai hobi bermain alat muzik.

Nurin pernah bekerja dengan beberapa syarikat seperti di Jakel di Kuala Terengganu, Texas Chicken dan Nandos di One Utama, McDonald’s Bandar Utama, KyoChon, Setia City Mall dan Ikea di Damansara.

"Baru empat tahun saya mula bekerja sambilan ini. Kerja sambilan bukan bermaksud Sabtu dan Ahad sahaja. Selalunya saya bekerja dua tiga bulan terus masa cuti semester.

"Jarang saya bekerja semasa tempoh kuliah sebab takut ganggu pelajaran. Tetapi jika ada yang panggil saya untuk tolong mereka sehari dua saya akan pertimbangkan.

"Pengalaman inilah banyak mengajar saya dan jadikan saya seseorang yang berkeyakinan tinggi," ujarnya lagi.

Kenapa saya tak putus kerja sambilan ini sebab saya nak kaya dengan pengalaman. Bukan duit saya pentingkan tetapi saya hargai pengalaman.

NURIN ALINA ABDUL HALIM

SISWI IPTA

Dalam pada itu, ramai pula di ruangan komen hairan bagaimana gadis ini mempunyai kesemua baju tersebut.

"Saya faham ramai yang tertanya-tanya macam mana saya boleh ada semua baju tu.

"Saya tak pasti mereka yang komen ada pengalaman kerja sambilan atau tidak. Kebanyakan kerja sambilan, mula nak masuk kerja baju kena beli dengan duit sendiri. Jadi bila dah habis kerja tak perlu pulangkan pada mereka.

"Ada juga syarikat yang mereka bagi percuma kepada pekerja. Sebab itulah saya ada semua baju. Cuma macam KyoChon, mereka tak bagi tetapi saya ramai kawan masa kerja kat sana dulu. Kawan yang bagi masa saya kerja untuk ganti baju kalau tak sempat basuh," jelasnya.



Nurin mengakui pengalaman bekerja di pelbagai syarikat banyak membentuk dirinya.

Anak ketiga daripada enam beradik ini sempat berkongsi pandangannya mengenai kerja sambilan.

"Kenapa saya tak putus kerja sambilan ini sebab saya nak kaya dengan pengalaman. Bukan duit saya pentingkan tetapi saya hargai pengalaman.

"Pengalaman ini bukan sahaja mematangkan saya tetapi banyak mengubah saya dari segi cara berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan banyak lagi.

"Sebab itu tak terkejut kalau ada budak master atau PhD yang bekerja di restoran dan sebagainya. Mereka ini lebih utamakan pengalaman daripada duit," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain