suria

Misteri selimut hilang dari kondo terjawab! Guru ‘kaki’ hiking gigih masuk hutan cari comforter kesayangan - “Nak pergi malam, takut ada yang ikut balik”

Mohd Fadli (gambar kecil) berkongsi pengalaman memasuki hutan bagi mengambil 'comforter' milik isterinya yang diterbangkan oleh angin kuat.

"TINGGAL di rumah yang tinggi tidak selalunya indah."

Begitulah luahan seorang guru menerusi sebuah video di laman TikTok apabila selimut atau comforter milik isterinya diterbangkan angin dari rumah jenis kondominium yang didiami mereka.

Perkongsian itu mengundang lucu dalam kalangan netizen, terutama rakaman dari pandangan atas itu turut menunjukkan lokasi comforter dikesan 'mendarat' di kawasan hutan di seberang jalan dari kondominium.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara pilih jalan pintas... rider cuak masuk hutan, redah 'trek' motocross - "Kalau harimau baham, tinggal motosikal je... kalau pontianak?"

ARTIKEL BERKAITAN: Pelik mesin ATM dalam 'hutan' sampai tak berani keluar kereta, gadis siap pergi semula waktu siang... terkejut, rupa-rupanya dekat kubur! - "Seram fikir nampak hantu"

Malahan, perjalanan guru itu masuk ke dalam hutan dalam misi mencari comforter kesayangan isterinya turut dirakamkan.



'Comforter' (bulatan merah) yang terjatuh ke kawasan hutan.

Berkongsi pengalaman, guru berkenaan, Mohd Fadli Ab Salam berkata, insiden berlaku berhampiran kediamannya di kondominium dekat Gombak, Selangor, pada petang Jumaat.

Sebelum kejadian, lelaki berusia 31 tahun itu memberitahu, comforter yang dibasuh itu disidai untuk dikeringkan di balkoni rumahnya di tingkat 26, pada waktu pagi.

"Biasanya kalau sidai baju akan gunakan pengepit supaya tidak diterbangkan angin. Tapi memandangkan comforter tu besar dan cukup berat, jadi memang sidai tanpa guna pengepit.

"Kami baru sedar kehilangan comforter tu kira-kira pukul 10 malam apabila anak perempuan saya nak guna untuk tidur," katanya kepada mStar.



Kawasan hutan di sebelah kondominium yang didiami Mohd Fadli sekeluarga.

Mohd Fadli berkata, kehilangan comforter itu mencetuskan tanda-tanya sebelum isterinya mengesan sesuatu apabila melihat sekitar pemandangan bawah dari tingkap bilik tidur mereka.

"Isteri nampak comforter warna biru 'terdampar' di sebalik semak-samun di hutan depan kondominium. Dengan cahaya yang samar-sama dari lampu jalan, boleh nampak comforter tu.

Saya masuk hutan seorang saja. Isteri tengah berpantang bersalin. Kalau tak, saya ajak dia masuk hutan cari sekali.

MOHD FADLI AB SALAM

"Kami percaya ia mungkin disebabkan oleh angin kuat di sebelah petang. Tapi tak sangka pula angin kuat tu boleh menerbangkan comforter yang berat tu.

"Saya fikir takkan nak masuk hutan malam-malam. Lagipun isteri saya baru bersalin anak kedua kami pada 10 Februari lalu, bimbang ada sesuatu yang balik mengikut nanti... jadi saya bercadang untuk pergi cari esoknya," ujarnya yang berminat melakukan aktiviti pendakian.



Mohd Fadli berpengalaman melakukan aktiviti 'hiking'.

Menurut guru sains di sekolah rendah itu, misi mencari comforter itu bermula seawal pukul 7 pagi dan dia perlu memanjat tebing yang agak tinggi.

"Saya dan isteri sebenarnya dah biasa masuk hutan dan melakukan aktiviti hiking. Kami akan baca doa memohon perlindungan dan keselamatan setiap kali masuk ke hutan.

"Hutannya tidaklah begitu tebal, tapi pokok-pokoknya besar. Walaupun sering nampak monyet-monyet berkeliaran dekat hutan tu sebelum ini, tapi apa yang lebih membimbangkan saya adalah ular sebab ada banyak semak-samun selain lubang di sana sini.

"Saya masuk hutan seorang saja. Isteri tengah berpantang bersalin. Kalau tak, saya ajak dia masuk hutan cari sekali," ujarnya secara berseloroh.

Mohd Fadli yang berasal dari Besut, Terengganu berkata, misi yang mengambil masa kira-kira 10 minit itu menemukannya dengan comforter yang hilang, dan dibawa balik ke rumah untuk dicuci semula.



Isteri dan anak perempuan Mohd Fadli bersama 'comforter' yang ditemui semula.

Insiden comforter milik isterinya yang diterbangkan oleh angin kuat tidak dipandang remeh, kerana katanya, ia boleh mengakibatkan kejadian yang tidak diingin berlaku.

"Comforter tu tak ringan walaupun diterbangkan angin kuat. Mujur, ia jatuh ke dalam hutan sebelah kondominium. Tak dapat nak bayangkan kalau jatuh di tengah jalan.

"Lebih membimbangkan kalau ia menimpa kereta atau penunggang motosikal yang melalui kawasan itu, yang boleh mengakibatkan kecederaan.

"Sebagai pengajaran, selepas ni memang kena sidai comforter guna pengepit. Atau nak mudah, hantar ke kedai dobi untuk cuci," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain