suria

Gara-gara pilih jalan pintas... rider cuak masuk hutan, redah ‘trek’ motocross – “Kalau harimau baham, tinggal motosikal je... kalau pontianak?”

Irsyad (kiri) terkejut dengan jalan pintas yang terpaksa dilaluinya seperti trek motocross.

SIAPA sangka seorang penghantar makanan berhadapan cabaran ketika mahu menghantar pesanan ke rumah pelanggan.

Seperti trek sukan ekstrem motocross, pemuda berkenaan terpaksa melalui lorong-lorong kecil bertanah merah dan berlumpur yang dikelilingi semak-samun dan berlukar.

"Aku tak tahulah aku hantar makanan ke aku pergi motocross. Hujung sana hutan dah... motor ni boleh naik ke woi!?" luah pemuda itu menerusi satu video yang dikongsikan di laman sosial menunjukkan keadaan jalan tanah merah yang berbukit.

ARTIKEL BERKAITAN: Hantar Musang King di tengah malam... banyak dugaan 2 rider sengau, sumbing lalui dari Batu Caves ke Bangi - "Rumah kami bukan terakhir"

ARTIKEL BERKAITAN: Jadi rider selepas dibuang kerja, 2 beradik sengau dedah sebab hantar Musang King berdua... - "Kalau telefon terpadam habislah"

Penghantar makanan tersebut, Muhammad Irsyad Azhar berkata, kejadian berlaku pada Selasa lalu, ketika menghantar pesanan dari Johor Bahru ke Gelang Patah di Johor.



Terpaksa melalui kawasan hutan untuk ke rumah pelanggan.

Berkongsi pengalaman, remaja berusia 17 tahun itu memberitahu, lokasi penghantaran yang berpandukan aplikasi navigasi, sistem kedudukan global (GPS) adalah sejauh 21 kilometer (km).

"Laluan bagi pilihan pertama tu saya rasakan agak jauh, jadi saya memilih pilihan lain yang lebih dekat iaitu hanya 15 km. Mungkin sebab kena pusing jauh di lebuh raya.

"Walaupun jalan yang saya pilih ni masanya lebih singkat, tapi saya fikir mungkin sebab jalan sesak. Kalau naik motor tak ada hal, selit-selit macam biasa," katanya kepada mStar.



Kawasan lopak air. -foto ihsan Muhammad Irsyad Azhar

Lebih mesra disapa Irsyad, katanya, namun ketika pertengahan jalan di Gelang Patah, laluan menerusi pilihan GPS tersebut membawanya ke satu jalan berlumpur.

"Mula-mulanya saya fikir laluan lori sebab ada kilang berdekatan. Tapi lama-kelamaan jalan semakin sempit, sesuai untuk dijadikan laluan motosikal.

"Rumah pelanggan di kawasan perumahan biasa, bukannya dalam hutan. Tengok jalan berlumpur memang ada kesan tayar motosikal, tapi betul ke jalan ni," ujarnya yang berasal dari Skudai, Johor.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak bercadang untuk berpatah balik bagi menggunakan laluan lain kerana perjalanan akan mengambil masa lebih panjang.



Kesan tayar motosikal yang disaluti lumpur selepas dibasuh.

"Nak tak nak, saya teruskan juga. Saya kena naik dan turun bukit dua kali, melalui lopak air dan laluan sempit sehingga motosikal saya terkena ranting semak-samun.

"Paling tak dapat dilupakan apabila motosikal saya terperangkap dalam lumpur sehingga tayar berpusing. Tapi saya ingat tips jangan pulas enjin kalau tayar masuk lumpur, tapi tolak motosikal perlahan-lahan dari kawasan lumpur tu.

Nak tak nak, saya teruskan juga. Saya kena naik dan turun bukit dua kali, melalui lopak air dan laluan sempit sehingga motosikal saya terkena ranting di semak-samun

MUHAMMAD IRSYAD AZHAR

"Memang berlumpurlah tayar motosikal dan kasut, dah macam main motocross. Tiga kali juga lalu jalan berlumpur mungkin disebabkan hujan sehari sebelumnya," katanya sambil menambah bertugas sebagai penghantar makanan sejak November lalu.

Menurut Irsyad, perjalanan di dalam hutan ibarat trek motocross sepanjang kira-kira tiga kilometer itu akhirnya berjaya dilepasi sebelum tiba ke destinasi dengan selamat.



Irsyas menjadi penghantar makanan di Johor Bahru dan kawasan sekitar.

"Kemudian saya lalu jalan biasa untuk balik semula ke Johor Bahru. Saya dah serik. Masa tu terfikir kalau ada harimau atau ular di sebalik semak-samun tu.

"Sampai saya terfikir, kalau harimau baham ni, orang tak jumpa saya. Yang tinggal hanya motosikal je. Syukur alhamdulillah selamat," katanya.

Malah kata Irsyad, selepas ini dia akan lebih berhati-hati dalam membuat pilihan perjalanan menggunakan aplikasi navigasi agar kejadian tidak berulang.

"Kalau siang terfikir harimau dan ular yang keluar, kalau malam memang confirm saya patah balik sebab terbayangkan pontianak pula yang muncul," ujarnya secara berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!