suria

Ibu 4 anak confident bawa bas seluruh pelusuk negara, tak kisah orang perkecil kemampuan diri - “Ada yang takut nak naik”

Aksi wanita ini yang kelihatan tenang membawa bas ternyata mencuri perhatian ramai.

BUKAN mudah untuk seorang wanita menceburi bidang yang didominasi kaum adam.

Namun, Nuratira Nordin, 25, yang juga ibu kepada empat cahaya mata membuktikan sebaliknya.

Menerusi beberapa video di laman TikTok, aksi bersahaja wanita itu memandu bas ternyata mencuri perhatian ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak sayang martabat wanita ke?” - Pelumba BMX bertudung kalis kecaman, sokongan bertambah selepas buat video TikTok

ARTIKEL BERKAITAN: 10 tahun suami tak makan pujuk, tiba-tiba jadi sporting habis! Ibu 2 anak terkejut dapat restu tunggang superbike - “Saya keluar ride, dia jaga anak”

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Atira mendedahkan mula menjadi pemandu bas sejak tiga tahun lalu.

"Suami saya ada perniagaan sendiri, buat pakej sewa bas. Jadi bila suami dah ada bas sendiri, why not kita sendiri jadi pemandu?

"Kali pertama bawa bas masa umur 22. Pada tahun itu juga saya ambil lesen. Selalu kalau bawa rombongan dengan bas, saya partner dengan suami.

Atira dan suami kerap membawa rombongan dengan bas ke serata Malaysia.

"Biasanya kalau perjalanan jauh, kami bergilir-gilir bawa bas," ujarnya yang menetap di Melaka sewaktu dihubungi.

Menurut Atira, sepanjang tiga tahun berkecimpung serius, dia sudah membawa bas ke seluruh pelusuk Malaysia.

Dalam pada itu, dia yang berkahwin seawal usia 16 tahun dengan Muhammad Hafis Ismail, 31, mengakui sering ditegur sepanjang mengendalikan bas mahupun van.

Pada saya, kita kena yakin diri dan jangan dengar cakap orang.

ATIRA

Ujarnya, ada juga penumpang yang kurang yakin memandangkan dia seorang wanita yang mana hal itu dianggap sebagai satu perkara di luar kelaziman.

"Orang selalu tegur, ada yang takut nak naik dengan kita. Sebab selalunya lelaki bawa bas. Alhamdulillah setakat ini tiada lagi kejadian buruk berlaku.

"Memang mencabar bawa bas sebab ia besar. Tambahan pula kita bawa nyawa orang. Ada juga yang persoalkan.

"Mereka kata kenapa tak duduk rumah jaga anak? Kenapa perempuan bawa bas? Saya hanya pandang positif.

Lagi foto Atira bersama suaminya.

"Dalam masa sama, ramai juga kaum hawa yang mesej. Ada yang teringin bawa bas tapi takut.

"Pada saya, kita kena yakin diri dan jangan dengar cakap orang. Sekarang zaman ekonomi teruk, cari je apa-apa kerja asalkan boleh jadi punca rezeki. Tak kisah bawa bas pun," ujarnya lagi.

Satu trivia menarik dirinya, Atira mendedahkan dia memiliki lesen memandu kereta dan bas, namun tidak pernah mengambil lesen motosikal.

Namun katanya, dia boleh memandu motosikal tetapi tidak mengambil lesen kerana jarang menggunakan kenderaan ringan itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain