suria

Peritnya 5 tahun menunggu, diperli gemuk punca sukar hamil... akhirnya impian terkabul pada usia 36 tahun - “Saya tutup mulut-mulut orang...”

(Kiri) Hasni Farlina dikurniakan cahaya mata selepas lima tahun menunggu. (kanan) Bayi sulung Hasni Farlina, Mateen Uwais yang berusia dua bulan.

WANITA mana yang tidak gembira apabila penantian untuk menimang zuriat sejak bertahun-tahun lamanya, akhirnya dimakbulkan Tuhan.

Begitu jugalah kisahnya dengan wanita bernama Hasni Farlina Mohd Sani apabila dia dikurniakan cahaya mata pertama selepas lima tahun menunggu.

Bergelar ibu pada usia 36 tahun, Hasni Farlina menganggap anugerah tersebut adalah ganjaran di atas doa usahanya yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hilang mood, kawan selamba tanya soalan tentang ‘tak lekat zuriat’ ketika keluar sambut anniversary dengan suami

ARTIKEL BERKAITAN: Zuriat hadir selepas 20 tahun berendam air mata, perkongsian wanita ini saat disahkan hamil umur 41 tahun buat ramai rasa nak menangis syukur - “Saya mula terfikir nak culik anak orang”

"Di usia 36 tahun tahun baru Kakyong jadi seorang ibu, satu keajaiban. Satu perkara yang tidak disangka-sangka. Tapi ianya satu perkara yang tak pernah putus asa, doa. Dan satu perkara yang Kakyong yakin Allah akan bagi bila tiba masanya," tulisnya pada satu perkongsian di Facebook.

Berkongsi cerita dengan mStar, Hasni Farlina berkata dia tergerak untuk membuat perkongsian di laman Facebook kerana mahu menggunakan medium tersebut bagi berkongsi pengalaman bersama kenalan serta pengikutnya.

"Sebagai pemilik sebuah restoran, saya banyak kawan-kawan, kenalan dan customer yang ada masalah zuriat. Jadi, pada saya, Facebook paling sesuai jadi tempat untuk saya menulis dan share pengalaman," katanya kepada mStar.

Menimang cahaya mata yang diberi nama Mateen Uwais Muhammad Haziq Firdaus pada Oktober lalu, wanita ini mengakui dia juga tidak terkecuali menerima soalan 'maut' berkaitan zuriat daripada orang sekeliling.



Perkongsian Hasni Farlina mengenai isu zuriat di laman Facebook.

"Tiap kali hari raya atau ke kenduri kahwin mesti ada yang bertanya, 'bila lagi nak ada anak?'. Dan lebih memeritkan bila orang terdekat mengatakan 'gemuk sangat sebab tu tak boleh dapat anak'. Ya, saya seorang yang obes.

"Selepas perkahwinan pertama gagal, saya perbaiki apa kelemahan saya. Wujudkan sebuah keluarga yang harmoni, happy, tiada stres dan tiada tekanan," cerita pemilik restoran Kelapa Leleh Kampor Original yang terletak di Kampar, Perak ini.

Namun bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, wanita ini tidak pernah berhenti berikhtiar untuk dianugerahkan zuriat sebagai pengikat kasih sayang bersama suami.

"Saya ada pergi berurut kesuburan dan mendapatkan rawatan kesuburan di pakar sebab saya ada masalah haid. Selepas berubat, haid datang lancar. Dan atas nasihat doktor, saya kurangkan berat badan sebanyak 10 kilogram.

Siapa yang tak terharu, penantian lama dan saya menutup mulut-mulut orang yang mengatakan gemuk tak boleh mengandung.

HASNI FARLINA MOHD SANI

IBU

"Selain itu, jangan stres. Cukupkan rehat. Saya akui, sebagai owner bisnes, saya sangat sibuk. Untuk dapatkan zuriat, semua ni tak boleh. Minda dan badan kita perlu relaks dan tidak stres.

"Selain itu, jangan putus doa. Niat di hati perlu ada. apa yang di katakan dalam hati, akan menjadi satu doa. Pada saya, kebahagiaan rumah tangga juga main peranan untuk mendapatkan zuriat," ujarnya.

Berkat sabar dengan ujian, wanita ini disahkan hamil pada Mac lalu selepas lima tahun penantian.

"Mulanya rasa tak sedap badan, rasa nak tidur je, makan tak lalu. Dan saya acuh tak acuh je check UPT, sebab takut kecewa. Tapi tengok-tengok naik double line. Syukur tak terkata.

"Malam tu juga saya call mak dan yang terdekat beritahu saya hamil. Siapa yang tak terharu, penantian lama dan saya menutup mulut-mulut orang yang mengatakan gemuk tak boleh mengandung," ceritanya lagi.



Hasni Farlina turut berkongsi tip buat pasangan yang sedang menantikan cahaya mata, berdasarkan pengalamannya sendiri. Gambar hiasan

Memahami betapa perit bagi setiap pasangan yang berdepan dengan masalah zuriat, Hasni Farlina turut menitipkan kata-kata semangat agar mereka tidak berputus asa dan percaya kepada rezeki Allah.

"Penantian itu satu ujian. Sabar, usaha dan doa. Betulkan diri kita, bebaskan diri kita dari stres dan bahagiakan diri kita. Sediakan diri kita untuk menanti zuriat. Bila kita dapat pada masa yang tepat, kita akan betul-betul menghargai.

"Usaha berubat. Kedua-dua suami isteri buat rawatan. Jangan salah menyalah.

"Individu luar, hentikan menuding jari pada wanita, isteri atau menantu sekiranya tak ada zuriat. Kita perlu tahu zuriat adalah anugerah Allah. Kita perlu positif dan bukan beri tekanan atau gelaran seperti mandul. Kita patut buang sikap negatif," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain