suria

Zuriat hadir selepas 20 tahun berendam air mata, perkongsian wanita ini saat disahkan hamil umur 41 tahun buat ramai rasa nak menangis syukur - “Saya mula terfikir nak culik anak orang”

Seorang wanita berkongsi pengalamannya yang menunggu hampir 20 tahun sebelum akhirnya dikurniakan zuriat. -Gambar hiasan

ANUGERAH terindah bagi setiap wanita yang berumah tangga sudah tentunya bergelar seorang ibu.

Namun begitu, rezeki setiap pasangan suami isteri tidak sama.

Ada yang perlu menunggu sehingga bertahun-tahun lamanya, ada pula yang dikurniakan zuriat tidak berapa lama selepas bernikah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada zuriat bukan alasan kahwin lain! Hampir 20 tahun baru dapat anak, tapi layanan tetap sama - “Sampai meninggal ayah tak tahu saya dah tahu”

ARTIKEL BERKAITAN: “Terlalu harap untuk lekat” - Wanita mengaku sedih setiap kali datang haid, benci lihat semua perkongsian tentang kehamilan

Sebagaimana perkongsian seorang pelayar wanita bernama Nor Farah Dilah di Facebook, dia dan suami diuji apabila terpaksa menunggu selama 20 tahun, sebelum dikurniakan seorang cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.

Menurut pelayar ini, sepanjang tempoh tersebut, dia sentiasa ditemani dengan air mata mengenangkan nasib diri yang masih belum mampu menghadiahkan zuriat buat suami sebagai penyambung keturunan.



Wanita tersebut sering berendam air mata mengenangkan nasib diri yang belum dikurniakan zuriat walaupun telah hampir 20 tahun mendirikan rumah tangga.

"Saya bernikah pada tahun 1998. Zuriat? Ya, anak, penyeri rumah tangga. Semua wanita impikan. Begitu juga saya dan suami. Keluarga sikit tak kisah, bagi mereka itu semua Allah yang punya kuasa.

"Tapi tidak bagi saya, saya sangat teringin zuriat sendiri. Begitu juga suami. Suami sering ingatkan saya, sabar ya sayang.

"Saya seperti wanita mental bila menjelang 10 tahun perkahwinan, air mata peneman, sejadah bersiram air mata setiap hari, saya sangat cemburu dengan wanita yang melahirkan zuriat.

"Bila kawan-kawan bersalin, saya balik rumah dan kurungkan diri berhari-hari. Allah, di mana silap saya sampai begini saya diuji. Allahhuakhbar, rapuhnya iman saya bila saya mula terfikir nak culik anak orang," tulisnya.

Sungguhpun begitu, dia tidak pernah putus memanjatkan doa kepada Tuhan agar diberikan walau hanya sekali peluang untuk bergelar ibu.



Wanita tersebut tidak putus memanjatkan doa agar diberikan rezeki untuk bergelar seorang ibu.

Dalam masa yang sama, dia juga bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang memahami dan sentiasa menitipkan kata-kata semangat buatnya.

"Setiap hari saya menunggu selama 20 tahun, sehingga saya jatuh sakit. Saya reda andai ini bahagian saya. Saya ke hospital untuk terima rawatan, ambil darah, urine test.

"Doktor datang kepada saya sambil tanya, puan sekarang umur berapa? Saya jawab 41 tahun. Doktor senyum, dia cakap 'puan hamil tau'. Serta merta, bergenang air mata saya. Allahuakbar, segala puji untuk Allah. Saya disahkan hamil empat bulan," ceritanya.

Saya genggam tangan dia, saya cakap 'abang, sayang mengandung empat bulan'. Sepantas kilat terkeluar dari mulut suami 'betul ke sayang? Syukur ya Allah'.

PELAYAR FACEBOOK

Tidak segera memberitahu suami, wanita itu mengambil keputusan untuk menunggu suaminya pulang kerja terlebih dahulu sebelum berkongsi berita gembira yang ditunggu-tunggu selama 20 tahun.

"Selesai solat, saya pegang tangan suami, saya tatap mata dia... tapi suami seperti biasa, 'sabar ya sayang, Allah belum beri kita rezeki'.

"Saya genggam tangan dia, saya cakap 'abang, sayang mengandung empat bulan'. Sepantas kilat terkeluar dari mulut suami 'betul ke sayang? Syukur ya Allah'.

"Tinggi suami menadah tangan mensyukuri rezeki Allah. Berderai air mata kami suami isteri. Suami ambil cuti seminggu, selama seminggu setiap malam dirinya di sejadah, tak henti bersyukur," ceritanya.

Menurutnya lagi, sepanjang tempoh sembilan bulan hamil, kandungannya tidak berdepan dengan masalah sehingga tiba saat untuk bersalin.



Hampir 20 tahun menunggu, akhirnya wanita berkenaan disahkan hamil pada usia 41 tahun.

"Bersalin ceasarean sebab anak besar. Pukul 11.00 malam saya masuk dewan bedah, pukul 11.15 malam saya dah nampak anak saya. Syukur ya Allah, bagi saya rasa jadi ibu.

"Anak saya berambut lebat hitam, kulit sangat cerah, perempuan, cukup sifat dan sempurna, berat 4.3 kilogram. Tak berhenti di mulut saya, syukur ya Allah, syukur Alhamdulillah.

"Satu-satunya anak tunggal saya kerana saya tidak dibenarkan hamil lagi memandangkan usia sudah 41 tahun. Puteri Marissa, dikau segalanya bagi mama dan papa. Alhamdulillah," tulisnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain