suria

Masak, cuci kain tugas siapa? Pengantin diuji soalan ‘cepu emas’ sebelum tok kadi beri sijil nikah... isteri kerut dahi, terkejut jawapan suaminya tepat!

Ramai beranggapan lelaki yang membuat kerja rumah kerana isteri mereka queen control. - Gambar sekadar hiasan.

SUDAH menjadi rutin bagi seorang isteri untuk memasak dan mengemas rumah kerana mereka sudah terbiasa dengan suasana sebegitu sejak kecil lagi.

Namun perkongsian seorang wanita bernama Nurul Hidayah bahawa tugas melakukan kerja rumah sebenarnya tanggungjawab seorang suami menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Persoalan yang sering menimbulkan perbalahan ramai itu terjawab semasa wanita tersebut bersama suaminya pergi mengambil sijil nikah mereka di pejabat tok kadi sehari selepas diijabkabul.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak murung jadi ‘hamba’ kepada 3 adik lelaki malas bekerja, tidur sepanjang hari - “Ayah terbiasa biar mak buat kerja rumah, suami dilayan ibarat raja”

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sertai grup FB ‘Suami Masak Apa Hari Ini?’ Kaum isteri jangan tercabar... resipinya bukan calang-calang!

"Masa mula-mula sampai, tok kadi tu panggil saya dulu, tanpa suami. Dia suruh suami tunggu kat luar.

"Maka saya pun dengan rasa pelik bin hairan, masuklah ke pejabat tok kadi tu. Dah kenapa nak saya masuk seorang diri pula?" soalnya.



Wanita ini terkejut dengan soalan cepu emas tok kadi mengenai siapa yang bertanggungjawab melakukan kerja rumah.

Namun wanita itu terkejut dengan soalan yang ditanya tok kadi berkenaan sebaik dia masuk ke dalam pejabatnya.

"Soalan pertama tok kadi tu tanya, apa tugas isteri? Saya jawab, patuh kepada suami, menyediakan keperluan suami. Dia tanya lagi, dalam rumah tangga, siapa yang kena buat kerja rumah? Saya dengan naifnya menjawab... isteri.

"Tok kadi tu tanya lagi. Siapa yang kena memasak? Saya masih jawab isteri. Tok kadi tanya terus, siapa kena basuh kain? Dan saya masih jawab, isteri. Tok kadi tu tanya lagi, siapa kena jaga anak? Dan saya masih jawab isteri.

“Tok kadi tu tanya, kenapa isteri? Saya diam kejap cari jawapan. Lepas tu saya jawab, sebab dari dulu selalu tengok mak yang buat semua tu. Tok kadi tu geleng kepala. Saya dah salah jawab ke?" soalnya.

Tidak lama kemudian, wanita itu memberitahu giliran suaminya pula dipanggil tok kadi berkenaan.



Hakikatnya tugas mengemas rumah adalah tanggungjawab suami.

"Tok kadi tanya kat suami saya, kalau seorang suami menyidai kain, apa orang keliling akan cakap? Suami saya jawab, isterinya queen control. Saya tersenyum geli hati dengan jawapan suami saya.

"Tok kadi tu tanya lagi. Sepatutnya siapa yang kena buat semua kerja rumah? Suami saya jawab, 'suami'. Masa ni saya gelak terus sebab ingatkan jawapan dia salah.

"Dan tok kadi tu anggukkan kepala sambil senyum. Bagus kalau kamu tahu tugas kamu dan dia serahkan sijil nikah kami tanpa soalan lain," katanya.

Namun Nurul Hidayah berkata dia hairan selepas mendapat tahu bahawa semua jawapan yang diberikan suaminya tepat.

"Masa tu saya kerutkan dahi. Jawapan suami saya betul? Masa tu baru saya tahu kerja rumah adalah tugas suami. Itu pun suami saya yang beritahu. Jika isteri yang buat, itu adalah ehsannya terhadap suami.



Golongan wanita sudah terbiasa membuat kerja rumah meskipun mempunyai kerjaya.

"Suami boleh suruh tapi tak boleh marah isteri jika isteri tak nak buat. Tapi selalunya isteri akan buat tanpa disuruh kerana isteri tu dah diterapkan sejak dulu, kerja rumah kerja isteri, bukan suami sebab itu yang diajar sejak dulu.

"Dulu, isteri duduk di rumah, suami keluar bekerja. Dah tentulah isteri buat kerja rumah walaupun itu bukan kerjanya. Sekarang, sama ada isteri bekerja atau tak, cabarannya tak sama macam dulu.

Masa tu saya kerutkan dahi. Jawapan suami saya betul? Masa tu baru saya tahu kerja rumah adalah tugas suami. Itu pun suami saya yang beritahu. Jika isteri yang buat, itu adalah ehsannya terhadap suami.

NURUL HIDAYAH

Isteri

"Nak pulak dapat suami yang tak tahu soal agama. Yang dia tahu, suami punyai kuasa mutlak terhadap isteri. Yang dia tahu, isteri kena ikut cakap suami. Yang dia tahu, isteri berdosa kalau tak ikut cakap suami," katanya.

Jelasnya lagi, kita terlalu mengikut lumrah dan adat sehingga terlupa pada hakikat sebenar.



Sebenarnya suami dan isteri boleh saling membantu semasa di rumah kerana itulah kunci kebahagiaan rumah tangga.

"Malu bila suami dilihat buat kerja rumah, takut nanti orang kata kita ni isteri yang control suami. Takut orang kata suami tu dayus. Kalau dengan kawan-kawan pula, takut nanti digelar takutkan isteri.

"Sedangkan Rasulullah pun buat kerja rumah. Rasulullah pun jahit sendiri jubahnya yang koyak. Tak malu dengan Rasulullah ke? Lebih sedih bila keluarga suami pun tak tahu pasal ni.

"Bila anak lelakinya buat kerja rumah, menantu perempuan dah dipandang macam hantu dah. Sedangkan sepatutnya dia bangga kerana anak lelakinya mengikut sikap Rasulullah," katanya.

Justeru menerusi perkongsian tersebut wanita itu menasihati para suami supaya tidak mengambil kesempatan di atas ehsan isteri masing-masing.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain