suria

Jadi rider selepas dibuang kerja, 2 beradik sengau dedah sebab hantar Musang King berdua... – “Kalau telefon terpadam habislah”

(gambar kanan) Syafiq (kanan) dan Amirul menceritakan kisah menghantar durian Musang King di rumah pelanggan tengah malam.

TULAR kisah dua penghantar makanan, yang terpaksa menebalkan muka menghantar pesanan durian Musang King ke pintu rumah pelanggan pada pukul 12.30 tengah malam.

Dalam kejadian minggu lalu, seorang pelanggan berkongsi kisah dua penghantar makanan dengan kedua-duanya sengau dan salah seorang daripada mereka mempunyai bibir sumbing.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan maklumat yang disampaikan oleh suami dan anak lelakinya yang bertemu dua beradik itu, rupa-rupanya mereka diuji dengan pelbagai dugaan termasuk masalah tayar motosikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Hantar Musang King di tengah malam... banyak dugaan 2 rider sengau, sumbing lalui dari Batu Caves ke Bangi - "Rumah kami bukan terakhir"

Bercakap kepada mStar, salah seorang daripada dua beradik itu, Mohamad Syafiq Haikal Rosli mengakui dia bersama abangnya, Amirul Hafizan mengalami masalah pertuturan iaitu sengau sejak lahir, sambil menambah dia juga memiliki bibir sumbing.

Rakaman CCTV menunjukkan dua penghantar makanan tiba lewat di rumah pelanggan. -foto Facebook Nur Farina binti Abdullah

Pemuda berusia 23 tahun itu berkata, dia dan abangnya berumur 27 tahun bekerja sebagai penghantar makanan sejak Mac lalu, selepas masing-masing diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.

"Saya pernah bekerja di tapak pembinaan, manakala abang pula di sebuah hotel, kedua-duanya di Kuala Lumpur. Kami kemudian diberhentikan kerja pada Mac lalu.

"Sejak itu, kami bersama-sama buat kerja hantar makanan untuk meneruskan kehidupan di bandar," katanya yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan kepada mStar.

Namun, disebabkan hanya mempunyai sebuah motosikal, pemuda yang lebih mesra disapa Syafiq itu berkata mereka melakukan tugas penghantaran bersama-sama setiap hari.

Penghantar makanan mengepam tayar motosikal.

"Sebelum diberhentikan kerja pun memang ada satu motor je, kami akan hantar antara satu sama lain. Kalau nak beli satu motor lagi tak mampu.

"Abang saya lebih selesa bawa motor, manakala saya lebih pakar bab guna aplikasi Waze dan tunjuk jalan. Saya yang membonceng di belakang akan galas beg makanan," ujarnya yang datang ke Kuala Lumpur tiga tahun lalu untuk bekerja.

Mengenai kisah penghantaran durian Musang King yang menjadi tular minggu lalu, anak keempat daripada enam beradik itu mendedahkan mereka sebenarnya perlu membuat penghantaran ke 10 rumah pada malam berkenaan.

"Seawal pukul 8 malam, kami bergerak ke beberapa lokasi iaitu Cheras, Bukit Jalil, Kajang dan Bangi termasuk lokasi penghantaran terakhir di Semenyih.

"Bagaimanapun, penghantaran terganggu berikutan hujan selain motor kami mengalami masalah. Kami menaiki motor dalam keadaan lampu yang tidak berfungsi," katanya.

Syafiq berpengalaman bekerja di tapak pembinaan. -foto ihsan Mohamad Syafiq Haikal Rosli

Tambahan pula katanya, sesetengah kawasan dalam perjalanan ke rumah pelanggan di Bangi, Selangor itu tidak mempunyai kemudahan lampu jalan.

"Rumah pelanggan tu di Bangi Lama, jadi ada jalan yang tiada lampu. Telefon saya yang ada maklumat pelanggan pula bermasalah sebab dah rosak, jadi kejap-kejap terpadam.

Kalau ada rezeki lebih, nak beli satu lagi motor untuk memudahkan kami berdua menghantar makanan. Kami baru buat simpanan bulan lalu, harapnya urusan kami dipermudahkan

MOHAMAD SYAFIQ HAIKAL ROSLI

"Bila lalu jalan gelap, kami berhenti dahulu untuk tunggu mana-mana kereta yang lalu dan ikut dari belakang sekiranya di laluan yang sama. Perjalanan kami malam tu bergantung pada cahaya lampu kereta lain.

"Kalau kereta guna jalan lain, kami terpaksa tunggu kereta lain pula. Sebab memang tak nampak jalan. Tayar angin pula kurang dalam perjalanan, jadi tak boleh memecut laju," katanya mengenai beberapa punca kelewatan pesanan dihantar kepada pelanggan.

Dua beradik ini berharap urusan penghantaran sentiasa dipermudahkan. -foto ihsan Mohamad Syafiq Haikal Rosli

Dia dan abangnya bagaimanapun bersyukur kerana urusan mereka dipermudahkan pada malam itu dengan bantuan salah seorang pelanggan yang meminjamkan pam tayar untuk mengisi angin pada tengah malam, malah pelanggan terbabit juga memahami masalah yang dihadapi mereka.

"Syukur alhamdulillah. Memang menduga pada malam tu. Dalam banyak dugaan, yang paling beri kesan adalah telefon saya. Sebab kalau telefon saya terus terpadam, habislah malam tu, tak dapat nak hantar sebab aplikasi serta maklumat pelanggan ada di dalamnya.

"Kami bersyukur juga pelanggan terakhir di Semenyih juga tidak merungut disebabkan masalah yang berlaku. Kami sampai rumah yang terakhir pada kira-kira pukul 1.20 pagi.

"InsyaAllah kalau ada rezeki lebih, memang nak beli satu lagi motor untuk memudahkan kami berdua menghantar makanan. Kami baru buat simpanan bulan lalu, harapnya urusan kami dipermudahkan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain