suria

Terharu sampai nak menangis, pemuda tak sangka keluarga angkat sudi meriahkan majlis konvo – “Kejut saya bangun sahur, sediakan sejadah untuk solat”

Ridzuan (kanan) bersama keluarga angkatnya pada hari konvokesyen. foto ihsan Mohamad Ridzuan Che Mohamad Zin

SIAPA yang tidak sedih apabila tiada keluarga hadir pada majlis konvokesyen, yang mungkin berlaku sekali seumur hidup.

Lebih menghibakan, hari bersejarah itu bakal menyaksikan kegembiraan rakan-rakan sekuliah bersama keluarga masing-masing yang datang memberikan sokongan.

Walaupun keluarga kandung tidak hadir pada majlis konvokesyen, namun seorang pemuda Melayu tetap berbesar hati dengan kehadiran keluarga angkatnya yang berbangsa India.

ARTIKEL BERKAITAN: Penuntut UiTM tak sangka Aunty Jothi 'halang' beli sari di Little India sebenarnya ada niat lebih baik - "Berkali-kali saya tanya sebab tak percaya"

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap tahun wanita India ini tak pernah 'missed' datang surau,"Dia sedekah, hantar borang minta buat tahlil..."

Pemuda berkenaan, Mohamad Ridzuan Che Mohamad Zin berkata, kejadian berlaku pada 2017 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor.



Hubungan akrab Ridzuan dan Ganesan sejak 13 tahun lalu.

Jelasnya, kedua-dua ibu bapanya tidak dapat hadir pada hari konvokesyen di atas faktor kesihatan selain jarak perjalanan yang jauh dari rumah di Kelantan.

"Mak ayah memang tak sihat, rumah pula jauh untuk datang ke Shah Alam. Jadi, saya dah tahu lebih awal yang mereka tidak akan ada bersama pada hari konvo.

"Tapi sekental mana pun, saya akui boleh menangis dalam hati sebab tak ada keluarga yang dapat datang pada masa itu," kata pemuda berusia 36 tahun itu kepada mStar.

Lebih mesra disapa Ridzuan, dia bagaimanapun menerima kejutan yang tidak disangka-sangka iaitu kira-kira seminggu menjelang majlis konvokesyen.



Ridzuan (hadapan) dan keluarga Ganesan (belakang, kiri) seperti satu famili.

Dia yang ketika itu tamat pengajian dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal berkata, keluarga angkatnya berbangsa India menyuarakan hasrat untuk hadir memberikan sokongan.

"Masa tu saya betul-betul terkejut dan terharu. Keluarga angkat saya dari Seberang Perai, Pulau Pinang sanggup datang berjumpa saya.

"Macam tak percaya meraka hadir pada hari konvo. Dalam hati memang rasa nak menangis, tapi menangis kegembiraan sebab terharu sangat," ujar anak kedua daripada enam beradik itu dengan nada teruja.

Menurut anak kelahiran Gua Musang, Kelantan itu, dia mula mengenali keluarga S. Ganesan, 60, ketika melakukan latihan semasa kerja (on job training) di Pulau Mutiara itu, 13 tahun lalu.

.

Ridzuan (kanan) dan isteri (dua, kanan) bersama keluarga Ganesan di majlis perkahwinan saudara keluarga angkatnya.

"Ketika itu saya baru bekerja dan Ganesan jadi senior saya dan banyak membantu dalam melatih saya. Hubungan kami rapat dari rakan sekerja kepada keluarga angkat.

"Isteri dan anak-anak dia juga rapat dengan saya. Keluarga saya di Kelantan juga mengenali mereka dan pernah bertemu antara satu sama lain," ujarnya sambil menambah Ganesan merupakan bapa tiga anak.

Rakyat Malaysia boleh menjadi satu keluarga yang harmoni dan aman-damai sekiranya masing-masing menghormati budaya dan agama antara satu sama lain

MOHAMAD RIDZUAN CHE MOHAMAD ZIN

Ridzuan yang telah mendirikan rumah tangga kagum dengan keperibadian keluarga Ganesa yang begitu baik, bermurah hati dan menghormatinya.

"Mereka begitu mengambil berat. Saya pernah bermalam di rumah mereka dan sehelai sejadah disediakan mereka untuk kemudahan saya bersolat.

"Bila datang di bulan Ramadan, mereka akan kejutkan saya untuk bangun sahur, memasak dan makan bersama-sama. Waktu buka puasa pun mereka temankan makan bersama," ujar bapa kepada seorang anak itu.



Ridzuan sering memakai Jippa setiap kali sambutan Deepavali.

Ridzuan yang bertugas sebagai operator pusat kawasalan tren di Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sering menziarahi keluarga angkatnya setiap kali sambutan Deepavali, dengan mengenakan pakaian tradisional masyarakat India, Jippa.

"Sepanjang 13 tahun kami berkeluarga, 12 kali saya datang pakai baju Jippa yang baharu ketika Deepavali, kecuali tahun ini disebabkan pandemik Covid-19.

"Saya bersyukur mengenali keluarga Ganesan. Bagi saya, rakyat Malaysia boleh menjadi satu keluarga yang harmoni serta hidup aman-damai sekiranya masing-masing menghormati budaya dan agama antara satu sama lain," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain