suria

Keluarga bertahan 20 tahun demi rumah pusaka, jadi mangsa individu talam dua muka... sanggup hantar hantu raya angkara dengki - “Tuan dia tak suka kami tinggal di rumah tu”

Seorang pemuda berkongsi kisah gangguan yang dialami keluarganya gara-gara hasad dengki manusia.

ANGKARA hasad dengki, manusia sanggup melakukan apa sahaja termasuk perbuatan syirik demi mencapai kepuasan sendiri.

Itulah yang dialami oleh keluarga ini yang menjadi 'mangsa' kepada individu yang bersikap sedemikian, sehingga mereka terpaksa berpindah daripada rumah pusaka yang diduduki selama hampir 20 tahun itu.

Hanya mahu dikenali sebagai Wan, pemuda ini berkata gangguan yang dialami keluarganya bermula selepas hampir dua tahun mereka menduduki rumah pusaka arwah nenek yang diwasiatkan kepada bapanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Beberapa kali ‘diganggu’, ibu 2 anak paling seram saat kereta mainan bergerak sendiri... apa kata ustaz memang mengejutkan! - “Kalau jadi lagi, terfikir nak pindah”

ARTIKEL BERKAITAN: Bagai nak luruh jantung... 3 remaja terserempak entiti seram pukul 1 pagi, salah seorang hampir demam terkejut - “Sampai ke tempat tu, dah tak ada”

"Sebetulnya, kami enam beradik dan ibu bapa menetap di Pahang sebelum itu, dan ketika saya berusia empat tahun, barulah ayah bawa kami semua berpindah ke rumah pusaka yang terletak di Gombak Setia ni.

"Tahun pertama duduk semuanya tak ada masalah. Masuk tahun kedua dan seterusnya, barulah ada tanda-tanda. Kejadian bermula bila mak perasan tubuh badan kakak dan adik ada kesan lebam selepas bangun tidur.

"Dalam masa yang sama, adik kecil kerap menangis bila waktu malam. Ayah pula ketika itu ada masalah susah nak tidur malam," ceritanya kepada mStar.



Menurut Wan, gangguan bermula selepas lebih setahun keluarganya menghuni rumah berkenaan.

Dek kerana perkara tersebut berterusan berlaku, Wan berkata bapanya menjemput seorang kenalan yang merupakan seorang ustaz untuk datang meninjau sekitar kediaman itu.

Menurutnya, apa yang diberitahu oleh ustaz berkenaan benar-benar membuatkan mereka sekeluarga terkejut dan sama sekali tidak menyangka ada individu yang tergamak 'menghantar sesuatu' untuk membuatkan mereka sekeluarga menderita.

"Ustaz beritahu, memang ada gangguan dan orang tersebut sebenarnya menghantar hantu raya. Benda itu dihantar oleh tuan dia untuk halau kami keluar sebab dia tak suka kami tinggal di rumah pusaka tu.

"Masa proses rawatan dan pemulihan dijalankan, kakak saya beberapa kali kena rasuk. Ustaz tu berdialog dengan 'benda' yang ada dalam badan kakak. Dan 'dia' kata tuannya hantar untuk bunuh seseorang.



Menurut Ustaz yang 'merawat' rumahnya, gangguan berkenaan dipercayai angkara hantu raya yang dihantar seseorang yang dikenali keluarga mereka. Gambar hiasan.

"Daripada penerangan ustaz tersebut, beliau beritahu ciri-ciri orang yang aniaya kami. Memang terkejut sebab ciri-ciri yang dihuraikan ustaz itu tepat walaupun dia tak pernah berjumpa dengan orang itu.

"Tak sangka, depan kami baik, rupa-rupanya di belakang, dia mahu buat kami sekeluarga hidup menderita," cerita pemuda berusia 26 tahun ini.

Tambahnya, sepanjang lima tahun pertama menghuni rumah pusaka berkenaan, gangguan yang dialami mereka sekeluarga begitu hebat.

Menjangkau tahun-tahun berikutnya, gangguan tetap berlaku malah Wan sendiri pernah terlihat kelibat yang menyeramkan selain sering mengalami masalah sesak nafas setiap kali mahu melelapkan mata pada waktu malam kerana 'ditindih'.

Berhati-hatilah dengan talam dua muka. Depan keluarga kita bukan main baik, tapi di belakang pula sebaliknya.

WAN



"Akhirnya, hampir 20 tahun duduk rumah tu dan bertahan, ayah buat keputusan untuk jual rumah pusaka tu sebab selagi kami tinggal di situ, selagi itulah 'benda' tu akan ganggu dan buat kami tak tenang.Keputusan untuk jual tu selepas sebulat suara dengan adik beradik dia.

"Sayang memang sayang sebab rumah tu banyak sangat kenangan. Walaupun berat nak buat keputusan tersebut, tapi ia terpaksa dilakukan juga," katanya sambil menambah, mereka sekeluarga berpindah dari rumah pusaka itu pada 2017.

Menurut Wan, ibu dan bapanya kini menetap di Bangi, Selangor selepas menjual rumah pusaka berkenaan.



Sejak berpindah pada 2017, keluarga Wan tidak lagi mengalami gangguan mistik.

"Alhamdulillah, sejak itu keluarga kami tak lagi diganggu. Terasa tenang dan aman. Mungkin individu tu dah puas hati, jadi dia dah berhenti ganggu.

"Tak sangka pula perkongsian ni viral. Ramai yang komen dan hantar mesej di Direct Message (DM) kongsi pengalaman mereka. Ada yang sedang lalui benda sama. Jadi saya cuba bantu setakat yang boleh berdasarkan pengalaman keluarga.

"Cuma apa yang boleh saya katakan, tak usahlah buat benda syirik macam ni, kepuasan hanya sementara di dunia... di akhirat kelak kena tanggung.

"Lagi satu, berhati-hatilah dengan talam dua muka. Depan keluarga kita bukan main baik, tapi di belakang pula sebaliknya. Pengalaman ini memang tak akan dilupakan oleh kami sekeluarga," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain