suria

Hantar Musang King di tengah malam... banyak dugaan 2 rider sengau, sumbing lalui dari Batu Caves ke Bangi – “Rumah kami bukan terakhir”

Rakaman CCTV menunjukkan dua penghantar makanan tiba lewat di rumah pelanggan pada pukul 12.30 tengah malam. -foto Facebook Nur Farina binti Abdullah

MAKANAN yang dipesan lebih awal sepatutnya tiba sekitar pukul 9 atau 10 malam, tapi jam menunjukkan pukul 12 tengah malam, masih tak kunjung tiba.

Lebih mengejutkan apabila penghantaran tersebut akhirnya sampai di depan pintu pagar rumah pelanggan pada pukul 12.30 tengah malam, ketika pelanggan itu lena dibuai mimpi.

Mujur ada suami dan anak lelaki yang setia menunggu sehingga pesanan diterima di tangan, sebelum terbongkar satu kisah di sebalik kelewatan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan wanita cuak... nampak rider menggigil tangan, basah kuyup redah hujan lebat hantar makanan - "Apa salahnya kasi tips"

ARTIKEL BERKAITAN: Rider 'bersuara', minta jangan berhenti order makanan ketika hujan walau undian tunjukkan majoriti pelanggan lebih pentingkan nyawa mereka

Menerusi perkongsian yang kini tular, perasaan sayu seorang pelanggan menyaksikan kejadian itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pekarangan rumahnya.

Pelanggan berkenaan, Nur Farina Abdullah berkata, dia pada awalnya membuat pesanan durian Musang King di sebuah kedai di Batu Caves, Selangor pada 9 Disember lalu.



Penghantar makanan mengepam tayar motosikal.

Wanita berusia 30an itu memberitahu, urusan penghantaran dilakukan oleh peniaga durian tersebut dan ia bukan kali pertama membuat pesanan di kedai yang sama.

"Sudah dua tahun saya pesan durian di kedai ini. Walaupun jarak antara kedai dan rumah saya di Bangi, Selangor agak jauh tapi saya dah berkali-kali buat pesanan yang sama.

"Sebabnya kualiti yang dijamin dan memuaskan. Sebelum ini, saya dan keluarga tak pernah mengalami masalah dari segi penghantaran," katanya kepada mStar.

Bercerita lanjut, kata Nur Farina, dia cuba menghubungi penghantar makanan yang ditugaskan oleh pengusaha kedai durian tersebut setelah melewati waktu serahan.

"Saya mesej di WhatsApp tapi tak dibalas, call berkali-kali juga tidak dijawab. Bila sampai di rumah saya pukul 12.30 tengah malam, rupa-rupanya ada dua orang yang datang, seorang tunggang motosikal dan seorang lagi galas beg besar yang menyimpan pesanan.

"Suami beritahu mereka adalah adik-beradik, tapi kedua-duanya sengau (masalah pertuturan) dan salah seorang daripada mereka mempunyai bibir sumbing," ujarnya.



Jaminan kualiti membuatkan Nur Farina sekeluarga membeli durian itu meskipun lokasinya jauh dari kediaman mereka.

Menurut ibu kepada seorang anak lelaki berusia 17 tahun itu, perjalanan mereka dari Batu Caves ke Bangi diduga dengan angin tayar kurang sehingga terpaksa meminta bantuan suaminya untuk meminjam pam.

"Handphone mereka nampak dah uzur. Skrin telefon dan retak, jadi salah seorang daripada mereka kena pegang telefon betul-betul untuk melihat Waze (aplikasi navigasi) kerana mereka tak tahu jalan ke rumah kami.

Saya percaya nyawa tidak mungkin melayang hanya kerana makanan sampai lambat sedikit. Kita sebagai pelanggan perlu ada kesabaran

NUR FARINA ABDULLAH

"Mereka kelihatan berpeluh dan keletihan. Apa yang mengejutkan adalah rumah kami bukan yang terakhir mereka hantar order, tapi ada pelanggan lain menunggu di Semenyih.

"Bayangkan, mereka selesai pam tayar hampir pukul 1 pagi, pukul berapa mereka nak sampai ke destinasi seterusnya? Daripada beg yang digalas mereka ada kerja penghantaran lain, tapi sanggup jadi runner pula selepas habis kerja. Betapa susahnya mereka nak cari duit," ujarnya sambil menambah tip diberikan kepada penghantar makanan tersebut.



Nur Farina (kiri) bersama anak lelaki (tengah) dan suami.

Nur Farina yang merupakan kaunselor keluarga berkata, perkongsiannya di laman sosial bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa keadaan di luar jangka boleh berlaku ketika penghantar makanan keluar mencari rezeki.

"Masih ada segelintir masyarakat yang melayan rider seperti hamba. Bila mereka terlewat hantar makanan, terus dimaki atau disepaknya.

"Kita kena selami masalah yang mereka hadapi, mungkin ada sesuatu berlaku yang menyebabkan kelewatan itu. Kita sebagai pelanggan perlu ada kesabaran.

"Saya percaya nyawa tidak mungkin melayang hanya kerana makanan sampai lambat sedikit. Saya percaya mereka sebagai rider bekerja untuk cari rezeki dan mahukan keberkatan. Jangan sesekali hina mereka sekiranya terlewat hantar pesanan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain