suria

Pelanggan wanita cuak... nampak rider menggigil tangan, basah kuyup redah hujan lebat hantar makanan – “Apa salahnya kasi tips"

Video yang dirakamkan oleh seorang pelanggan menunjukkan seorang penghantar makanan kelihatan kesejukan dengan tangannya menggigil.

KEADAAN cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini dengan kekerapan hujan di beberapa tempat di negara ini, memberi dugaan buat penghantar makanan.

Sebelum ini tular mengenai poll (undian) yang menunjukkan ramai memilih untuk tidak membuat pesanan menggunakan servis penghantaran makanan ketika hujan.

Namun, penghantar makanan atau rider sendiri meminta supaya pesanan tidak dihentikan ketika cuaca buruk itu kerana mereka perlu mencari rezeki tanpa mengira masa.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider 'bersuara', minta jangan berhenti order makanan ketika hujan walau undian tunjukkan majoriti pelanggan lebih pentingkan nyawa mereka

ARTIKEL BERKAITAN: Rider basah kuyup luar rumah pelanggan, ramai 'panas hati' sampai ada yang menangis - "Dah order tu standby lah siap-siap!"

Terbaharu, tular satu rakaman video menunjukkan seorang rider tidak menghiraukan dirinya basah kuyup dan sanggup meredah hujan lebat demi menghantar pesanan pelanggan.



Makanan selamat dihantar dalam keadaan baik.

Lebih menghibakan, tangan rider itu kelihatan menggigil ketika menggunakan telefon bimbitnya dipercayai kerana kesejukan dalam cuaca basah itu.

"Tengok sampai habis. Ya Allah mulianya dia kerja musim macam ni. Moga murah rezeki abang dan semjua rider," tulis seorang gadis di laman sosialnya sehingga menjadi tular.

Berkongsi kisah kepada mStar, gadis itu, Nor Wahida Syafiqa Mohamad Salleh memberitahu, kejadian berlaku waktu tengah hari di Pasir Puteh, Kelantan pada Khamis lalu.



Sedia menjalankan tugas meskipun ketika hujan lebat.

Gadis berusia 21 tahun it berkata, hujan berterusan di daerah itu sejak hari sebelumnya telah menyebabkan paras air naik dan melimpah di beberapa kawasan.

"Masa rider tu datang hantar makanan di kedai tempat saya bekerja di pekan, air baru melimpah. Di tempat-tempat lain ada yang naik hingga paras buku lali dan betis.

"Alhamdulillah, rider tu hantar makanan tengah hari dalam keadaan baik, sebelum bergegas untuk beredar," katanya kepada mStar

Saya fikirkan juga itu adalah punca rezeki mereka. Kita kena fikir mereka mungkin ada keluarga, anak bini, mak ayah yang perlu ditanggung

NOR WAHIDA SYAFIQA MOHAMAD SALLEH

Lebih mesra disapa Wahida, dia pada mulanya serba-salah untuk membuat pesanan berikutan cuaca buruk mengganggu perjalanan penghantar barang yang menggunakan motosikal.

"Jujurnya, saya risau sebab hujan lebat. Saya fikir keselamatan rider di luar sana, terutama keadaan mereka semasa menjalankan tugas ketika cuaca itu.

"Pada masa sama, saya fikirkan juga itu adalah punca rezeki mereka. Kita kena fikir yang mereka mungkin ada keluarga, anak bini, mak ayah yang perlu ditanggung," katanya.



Wahida mahu menyampaikan mesej kepada penghantar makanan dan pelanggan menerusi perkongsiannya.

Menurut jurujual itu, dia percaya bahawa rezeki itu adalah nikmat Allah, dan sebagai pelanggan, dia juga boleh membantu mengikut kemampuannya.

"Kalau tak ada order, rider tak akan dapat upah. Kalau ada order, kita sebagai pelanggan kena faham dan sabar serta tak boleh merungut kalau rider hantar lambat.

"Walaupun itu tanggungjawab dia hantar pesanan tanpa mengira hujan ke tak, kita sebagai pelanggan kalau ada rezeki lebih, apa salahnya kasi tips," ujar anak ketiga daripada enam beradik itu.



Wahida mahu menyampaikan mesej kepada masyarakat menerusi video yang dikongsikannya.

Dalam pada itu, Wahida turut menasihatkan semua penghantar makanan supaya mementingkan aspek keselamatan ketika bertugas terutama ketika hujan.

"Memang cari rezeki untuk keluarga, tapi kena fikirkan soal keselamatan juga. Perkongsian saya bukan semata-mata untuk menunjukkan kegigihan mereka untuk mencari rezeki.

"Tapi kita sebagai pelanggan juga digalakkan untuk berkongsi rezeki dengan mereka. Jika kita berkongsi rezeki, insyaAllah rezeki kita dimurahkan. Amin," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain