suria

Dua tahun berkenalan, Hafiz Suip kongsi detik pertemuan dengan isteri... “Arwah ibu minta saya bernikah”

Hafiz (kiri) berkongsi detik pertemuan bersama isteri.

PENYANYI Hafiz Suip berkongsi kisah perkenalannya bersama isteri, Fiona Safiyya yang bermula secara tidak dirancang ketika 'Konsert Hafiz Suip -Perjalananku' yang berlangsung pada 13 Oktober 2024 di Kuching, Sarawak.

Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 36, berkata detik perkenalan mereka berlaku ketika dia sedang mencari penyanyi undangan bagi menggantikan Adira untuk konsert berkenaan.

"Perkenalan kami bermula pada 2024 sewaktu konsert saya di Kuching, Sarawak. Waktu itu saya mencari penyanyi untuk menggantikan Adira. 

"Saya lepak satu kedai makan ini dan ada seorang wanita sedang menyanyi lagu Ku Akui. Suaranya merdu dan saya diberitahu individu itu ialah Fiona yang merupakan seorang penyanyi. 

Hafiz (kiri) dan Fiona bernikah pada 13 Februari lalu.

"Saya pun Google nama Fiona John. Memang betullah dia penyanyi. Saya cakap nak bawa dia jadi penyanyi undangan konsert saya. Daripada situlah kami mula berkenalan dan berkawan," katanya kepada mStar. 

Hafiz berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Yang Engkau Mahukan yang diadakan di Hotel St. Giles Boulevard, Kuala Lumpur pada Khamis. 

Mengimbau detik sebelum mendirikan rumah tangga, Hafiz mendedahkan arwah ibunya, Halizawati Salleh pernah menyuarakan hasrat untuk melihat dia berkahwin dengan Fiona.

"Waktu itu ibu pesan dekat saya, 'kau ni tengah dalam proses cerai, jadi kena buat betul-betul (niat)'. 

ARTIKEL BERKAITAN: Hafiz Suip kembali bergelar suami

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen sibuk cari identiti isteri Hafiz Suip… Rupanya ejen insurans hebat, pernah sertai program realiti nyanyian

"Maksudnya ibu suruh saya buat dengan cara yang betul (bernikah). Itu sebab saya cakap dengan Fiona kita kena tunaikan permintaan ibu. 

"Sepatutnya tarikh nikah nak pilih pada hari lahir Mama (15 Februari) tetapi ayah pesan untuk tidak melewat-lewatkan pernikahan, jadi kami pilih 13 Februari," ujarnya. 

Dalam pada itu, Hafiz memberitahu dia tertarik dengan sikap prihatin yang ada pada Fiona sejak awal perkenalan mereka.

"Saya suka dengan sikap prihatin yang ada pada Fiona. Dia tahu macam mana nak kawal lelaki seperti saya. 

Perkenalan kami bermula pada 2024 sewaktu konsert saya di Kuching, Sarawak.

HAFIZ SUIP 

PENYANYI

"Alhamdulillah, sebenarnya ini pun atas restu arwah ibu juga. Macam saya pernah cakap, ibu adalah keutamaan saya. 

"Masa awal perkenalan dulu pun perkara pertama saya lakukan adalah bawa Fiona bertemu dengan ibu," jelasnya.  

Sementara itu, Fiona yang juga merupakan seorang ibu tunggal mengakui bukan mudah untuk memulakan kehidupan berumah tangga semula apatah lagi dia sudah mempunyai cahaya mata.

Hafiz dan Fiona (kiri) mahu membina kehidupan lebih baik.

"Sudah tentu nak mulakan semula kehidupan berumah tangga ini bukan sesuatu yang mudah. Apatahlagi saya sudah mempunyai cahaya mata. 

"Tapi itulah kata orang ini adalah takdir Tuhan. Alhamdulillah bila berjumpa dengan Hafiz, kebetulan kami lalui perkara lebih kurang sama (penceraian) tetapi mungkin jalan cerita yang berbeza. 

"Masing-masing ada pengalaman yang boleh kita pelajari dan jadikan pengajaran. Apa yang sudah berlalu biarlah berlalu, kami mahu bina hidup baharu," katanya.  

Pada 13 Februari lalu, Hafiz kembali sah bergelar suami kepada Fiona dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah dewan di Petrajaya Kuching. 

Majlis yang diadakan secara tertutup itu hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat.

Hafiz (kanan) tertarik dengan Fiona sejak pertemuan pertama.

Untuk rekod, Hafiz sebelum ini pernah berkahwin dengan Nureffy Jasreel pada 2016 dan sah bercerai pada Mei tahun lalu. 

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 9, dan Muhammad Alkaf Zayne, 6.

Fiona yang berbangsa Bidayuh pula sebelum ini pernah berkahwin dengan seorang lelaki berketurunan Cina dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. 

Fiona bagaiimanapun berpisah dengan jejaka tersebut kira-kira lima tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Berikut

Intan Najuwa hamil anak kedua

Artikel Lain